Pages

Saturday, February 13, 2010

Apa Itu RINGGIT, 'DOLLAR' & RIYAL?

Dalam konteks penggunaan di Kedah sekarang, perkataan 'Ringgit' yang sedang digunakan adalah menurut nama matawang Malaysia. Asalnya adalah terjemahan bebas bagi 'Dollar' yang digunakan dalam zaman penjajahan. Apabila Malaysia menterjemahkan 'Dollar' menjadi 'Ringgit', kerajaan-kerajaan Singapura dan Brunei hingga sekarang terus menggunakan perkataan 'Dollar' yang telah digunakan bersama sebelumnya.

Walau pun begitu, terjemahan 'Dollar' kepada 'Ringgit' bukanlah bermula sejak Malaysia mula menggunakan matawang barunya, tetapi telah lama digunakan, iaitu semenjak jenis 'Milled Dolar' mula beredar di Nusantara.

Perkataan 'Dollar' telah diperkenalkan Inggeris di Nusantara. Tetapi, perkataan ini bukanlah berasal dari orang Inggeris atau Belanda sendiri. Pada mulanya, iaitu sejak abad ke-16 lagi, sejenis matawang perak telah dikeluarkan dengan banyak di Eropah terutamanya negerı Austria kerana di negeri ini terdapat sebuah lombong perak yang terkenal di sebuah tempat bernama St. Jaochimsthal. Matawang perak jenis ini sangat digemari sebagai alat bayaran walau pun negeri lain juga telah sedia mengeluarkan matawang masing-masing. Penggunaan matawang ini sangat meluas di Eropah dan ia digelar sebagai 'Jaochimsthaaler'.

Perkataan Jaochimsthaler lama kelamaan disingkatkan kepada 'Thaler' sahaja. Orang Belanda menyebutnya 'Daalder' manakala orang Sweeden menulis sebagai 'Daler' dan orang Inggeris selesa menyebutnya sebagai 'Dollar' sahaja. Jenis matawang perak seperti yang dikeluarkan oleh Austria itu mempunyai berat tertentu. Berikutan sangat terkenalnya matawang jenis itu, maka banyak kerajaan lain yang mengeluarkan matawang perak dengan ukuran dan berat yang sama. Perkara ini tidak menjadi masalah bagi penerimaan luas kerana yang penting pada masa itu adalah 'isinya', iaitu berat perak itu sendiri, bukan negeri mana yang mengeluarkannya. Matawang seperti ini dianggap sebagai 'matawang perdagangan' yang diterima umum.

Antara kerajaan yang turut mengeluarkan matawang perak serupa ialah Sepanyol. Matawang Sepanyol yang telah sedia ada dikenali sebagai 'Real' atau 'Realle'. Matawang Sepanyol yang sepadan beratnya dengan matawang 'Thaler' adalah jenis '8 Real'. Oleh kerana Sepanyol adalah kuasa penjajahan yang sedang berkembang pada masa itu, maka matawang Sepanyol inilah yang tersebar lebih cepat dan meluas ke seluruh dunia. Matawang perak Sepanyol ini dicetak begitu banyak, terutamanya di Amerika Selatan (Latin), seperti Mexico, Peru dan Bolivia, untuk kegunaan di seluruh dunia.

Penerimaan matawang perak jenis '8-Real' sangat meluas dan akhirnya ia berubah menjadi matawang utama dunia, yang dikenali juga sebagai 'wang keras' (hard currency). Sebelum orang Belanda dan Inggeris membuat matawang perak yang serupa, mereka juga menggunakan matawang Sepanyol ini juga untuk sebarang pembayaran perniagaan di tanah jajahan di Nusantara. Matawang '8-Realles' yang dibawa oleh mereka ke sini digelarkan juga 'Dollar'. Sebab itu, dalam sumber penulisan Inggeris lama, pembayaran dikatakan dibuat dalam 'Dollar' walau pun sebenarnya matawang yang digunakan ialah matawang Sepanyol tersebut.

Thaler' dari Austria yang sangat terkenal di seluruh dunia, digelar 'Maria Theresa Thaler'.

Oleh kerana matawang perak ini telah menjadi 'piawai' bagi seluruh dunia, maka Negeri Kedah Darulaman pernah menjadikan asas untuk pengeluaran matawangnya dalam abad ke-17-18. Ini kerana pada masa itu emas semata-mata tidak mencukupi untuk dijadikan matawang untuk diedarkan. Walau pun begitu Kedah hanya mengeluarkan matawang perak Satu Riyal dan beberapa pecahannya. Terbukti Kedah juga pernah mengeluarkan matawang Setengah dan Suku Riyal.

Sedikit masa dahulu kita pernah dengar di Kedah orang menyamakan sebutan 'Satu Riyal' dengan 'Satu Ringgit', terutamanya dalam amalan keagamaan. Sebenarnya perkara ini tidak tepat kerana matawang 'Satu Riyal' yang pernah dikeluarkan di Kedah berlainan sama sekali dengan matawang perak 'Satu Ringgit' atau 'Dollar', yang beratnya sama dengan 'Lapan Real Sepanyol'. Matawang perak '8-REAL' jenis awal dikeluarkan tidak mempunyai ukuran besar yang teratur walau pun beratnya seragam. Matawang seperti ini dikenali juga oleh orang Melayu sebagai Riyal Batu (Cob Real). Matawang jenis ini mudah berlaku kecurian' kerana tepinya boleh 'dikacip' sehingga akhirnya ia akan kehilangan berat yang ketara. Apabila penggunaan mesin dikenali, matawang ditempa dengan cara baru. Matawang perak jenis baru ini mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik, iaitu di bahagian tepinya dibuat berigi-rigi supaya ia tidak dapat lagi dikacip untuk mencuri peraknya. Matawang ini dikenali sebagai 'Milled Dollar' dan jenis inilah yang disebut wang 'Ringgit' oleh orang Melayu. Oleh kerana matawang Sepanyol '8-Real' jenis 'Ringgit' ini dikenali juga sebagai 'Dollar' maka perkataan 'Ringgit' juga telah menjadi sinonim dengan perkataan 'Dollar'.

Ringgit Sepanyol atau 'Milled Dollar' yang mempunyai corak 'ringgit-ringgit' (rigi-rigi) di bahagian tepi.

Oleh kerana banyak kerajaan mengeluarkan matawang perak yang serupa terutamanya dari Eropah maka banyaklah jenis 'Ringgit' yang beredar di Kepulauan Melayu. Semua jenis matawang perak ini beredar dan laku diterima dengan nilai yang dikatakan 'Satu Ringgit'. Ringgit yang berbagai ini barudihentikan penggunaannya apabila Britain menubuhkan Straits Settlements dan matawang 'Dollar' baru dikeluarkan dan diedarkan dengan nilai Satu Ringgit, yang terdiri dari '100 sen'.

Sumber: Buku Sejarah Matawang Negeri Kedah dan Perlis

No comments:

Post a Comment