Cari Post lain disini

Wednesday, March 26, 2008

Lambang Apresiasi Wang

Abdullah Ismail mempunyai hobi mengumpul wang-wang lama dan antara simpanannya ialah wang Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1445. Mengapa dia meminati wang lama?


ABDULLAH ISMAIL bergambar bersama sebahagian daripada kira-kira 20,000 wang lama yang terdapat dalam koleksinya di Shah Alam, Selangor.


BERMULA daripada tiga keping duit kertas lama yang dihadiahkan bapanya ketika berusia 15 tahun, Abdullah Ismail menambah koleksi wang lama sehingga kini jumlahnya melebihi 20,000 keping. Jumlah ini mungkin lebih banyak memandangkan dia tidak merekodkan bilangannya.

Daripada tiga keping wang kertas ini iaitu satu dolar Malaya Borneo dengan lambang kapal layar, 10 dolar Malaya British Borneo dengan gambar kerbau dan sekeping wang kertas zaman Jepun, minat Abdullah untuk mengumpul duit-duit lama mula membuak-buak.

"Masa itu, saya bersekolah di tingkatan tiga. Ayah saya berikan saya wang yang telah lama disimpannya sebagai hadiah kerana dia tahu saya minat mengumpul wang. Sejak itu, saya mula 'jatuh cinta' terhadap wang lama dan mahu mengumpul lebih banyak lagi," kata Abdullah, 38, ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Koleksi persendiriannya mengagumkan. Walaupun belum cukup layak untuk digelar muzium, namun sedikit sebanyak, ia mampu membawa kita melayari sejarah wang silam di negara ini. Kebanyakan wang kertas milik Abdullah disimpan rapi di dalam album-album dan kebanyakan wang syiling pula disimpan secara berpaket di dalam peti.

Beliau bukan sekadar menyimpan wang dari zaman penjajahan British dan Jepun. Turut terdapat di dalam koleksi duit lamanya ialah duit zaman Kesultanan Melayu Melaka. Duit dari zaman Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1445 adalah antara yang paling lama usianya.


ABDULLAH ISMAIL turut mengumpul wang-wang luar negara termasuk yang tidak digunakan lagi pada hari ini.


Duit pada zaman itu diperbuat daripada timah dan merupakan antara wang terawal bertemakan Islam. Timah merupakan komoditi utama negeri-negeri Melayu ketika itu.

Berwarna seakan-akan hitam, bahagian depan duit ini tertera huruf jawi 'Sultan Muzaffar Shah'. Sementara belakangnya pula tertera tulisan yang berbunyi 'penolong kepada dunia dan agama'.

Mengakui mendapat kepuasan daripada hobi mengumpul duit lama, Abdullah berkata, dia seronok melihat perubahan wang dari satu zaman ke satu zaman.

"Kita dapat melihat perubahan wang. Misalnya, tengok duit Sultan Muzaffar ini, kita dapat tahu bagaimana bentuk wang pada zaman itu? Ia tidaklah sebulat duit syiling yang ada pada masa ini dan kelihatan dibentuk secara manual. Tetapi, kini...sains dan teknologi telah mengubah segalanya.

"Apapun jika anda amati, setiap zaman menjanjikan keunikan yang tersendiri. Bukan sahaja pada corak, tetapi juga bentuknya. Ada duit syiling yang berlubang di tengah dan ada yang bersegi-segi. Duit syiling satu sen pada zaman British berbentuk segi empat sama," ujar lelaki berasal dari Taiping, Perak ini. Dia turut menyimpan wang zaman Portugis dan Belanda.

Tambahnya lagi, wang juga boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Selain syiling dan wang kertas, ia juga boleh didapati dalam bentuk token seperti token saudagar yang juga terdapat dalam simpanan Abdullah.


DUIT-DUIT lama mempunyai keunikan tersendiri.


Pada tahun 1840-an, token yang mempunyai lambang ayam jantan dan tertulis tulisan jawi 'Tanah Melayu' itu telah digunakan secara meluas di Kedah dan negeri-negeri sekitarnya sebagai medium pertukaran.

Apabila syiling diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat pada tahun 1848, penggunaan token mula dilarang dan menjelang tahun 1853, token-token ini tidak lagi digunakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Selain token, ada juga medium pertukaran yang berbentuk kupon seperti kupon yang diperkenalkan British pada tahun 1941 yang digunakan dalam hal jual-beli getah kering.

Ditanya bagaimana cara dia mendapatkan wang-wang lama itu, Abdullah berkata, dia lazimnya akan bertukar-tukar dengan sahabat yang mempunyai minat yang sama, bertanya kepada orang-orang tua di kampung-kampung atau membelinya.

"Biasanya, saya bertukar-tukar dengan kawan-kawan. Tetapi, kalau pergi ke kampung-kampung, ada juga saya bertanyakan kepada mereka kalau-kalau mereka masih menyimpan duit lama.

"Ada juga yang saya beli atau bertukar dengan barangan lain yang saya miliki," jelasnya. Katanya, hal ini membuatkan penulis memahami mengapa terdapat beberapa barang antik di rumah Abdullah seperti seterika tembaga, radio lama, keris dan sebagainya.

"Saya dapat syiling Sultan Muzaffar Shah ini melalui pertukaran barangan dengan seorang kawan. Saya tukarkan seterika tembaga kepala ayam milik saya untuk dapatkan duit ini," ujarnya.

Abdullah memberitahu kos terbanyak yang dilaburkan untuk membeli sesuatu duit lama ialah RM1,200. Duit lama itu ialah wang kertas 10 dolar King George yang merupakan antara yang paling sukar didapati.

Ditanya yang mana satukah antara wang lama dalam koleksinya yang paling disayanginya, Abdullah berkata, tiga wang kertas yang diberikan ayahnya, Ismail Yusof, 70, dan sekeping wang kertas yang dibelinya buat kali pertama.

"Ia adalah duit pertama yang saya beli dengan wang poket sendiri selepas mula bekerja sebagai peniaga kedai runcit pada tahun 1989. Duit itu ialah wang kertas 10 sen yang dikeluarkan pada tahun 1941.


ANTARA wang kertas lama yang digunakan di negara ini ketika pemerintahan British dan Jepun.


Kata Abdullah, apa yang dilakukannya ini adalah sebagai lambang apresiasinya terhadap wang.

"Saya amat menghargai wang. Apabila saya melihat orang ramai membuang duit satu sen, saya rasa sedih. Orang tidak sedar, duit itu walaupun sekecil mana nilainya mungkin boleh membantu kita satu hari nanti," katanya yang turut menyimpan duit yang tidak lagi dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seperti wang kertas RM20, RM500 dan RM1,000 dan syiling RM1 berkeris emas.

Beliau mengakui koleksinya belum lengkap. Masih banyak yang perlu dicari dan sebagai pengumpul sejati, beliau tidak akan berhenti.

"Apabila sudah jadi hobi, saya rasa tidak puas selagi tidak melengkapkannya. Lagi susah mendapatkannya, lagi terasa mencabar," katanya sambil memberitahu dia merujuk buku-buku wang yang menghidangkan informasi yang sahih termasuk buku keluaran BNM untuk mengetahui tentang wang-wang lama.

1 comment:

Anonymous said...

assalammualaikum....
saya Norfa dari Teraju REka Sdn. Bhd. sebuah production house untuk program TV di RTM dan stesen swasta.
Untuk pengetahuan saudara, saya sedang menyiapkan satu skrip berkenaan sebuah rancangan bertajuk HOBI. atas tujuan itu, say berminat untuk mengetahui koleksi-koleksi yang saudara ada untuk dipaparkan di dalam TV sebagai salah satu episod.
Jika saudara tidak keberatan,saya ingin dapatkan maklumat yang ada untuk saya berhubung dengan saudara.Jika saudara tidak berminat...tidak mengapa. saya sekadar ingin memaparkan kepada umum minat saudara di samping memberi pelbagai info kepada masyarakat mengenai hobi saudara.
Urgent di sini agar saya mendapat maklum balas dari saudara secepat mungkin.

sekian sahaja..sekiranya saudara ada sebarang pertanyaan lanjut, saudara boleh menghubungi saya terus.

Norfa
Teraju Reka Sdn. Bhd
norfa08@yahoo.com.my



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute