Cari Post lain disini

Showing posts with label Siaran Akhbar BNM. Show all posts
Showing posts with label Siaran Akhbar BNM. Show all posts

Monday, July 1, 2024

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara

Embargo : Untuk siaran segera
1 Jul 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)

Duit syiling berbentuk segi empat tepat yang pertama di Malaysia ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 32.7 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM330 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan mempunyai berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM385. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Butiran terperinci mengenai duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (Pruf)

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.


Bahagian Hadapan – Bahagian atas duit syiling memaparkan teks “JUBLI INTAN”, menandakan ulang tahun ke-75 JPN. Bahagian kiri duit syiling memaparkan bayang warganegara Malaysia mengikut pelbagai peringkat umur, yang melambangkan fungsi utama JPN dalam pendaftaran peristiwa penting individu. Olahan imej folder pada bahagian kanan duit syiling menggambarkan kepelbagaian rekod pendaftaran yang dikendalikan oleh JPN sebagai agensi utama pengurusan rekod penduduk negara ini sejak tahun 1948. Diilhamkan oleh transformasi digitalnya yang selaras dengan Pelan Identiti Digital Nasional 2020, olahan bentuk iris melambangkan inisiatif pendigitalan terkini JPN.

Bahagian Belakang – Bahagian atas duit syiling memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik. Logo ulang tahun ke-75 JPN dipaparkan pada bahagian kanan syiling, berserta olahan gambaran cap jari pada bahagian kiri.

Teks “10 RINGGIT” dipaparkan pada bahagian bawah kiri duit syiling yang mewakili nilai mukanya.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.


Bahagian Hadapan – Sekelling bahagian atas duit syiling memaparkan teks “JABATAN PENDAFTARAN NEGARA” manakala sekeliling bahagian bawah memaparkan teks “JUBLI INTAN”. Reka bentuk ini diilhamkan oleh aspirasi pemodenan dan inisiatif transformasi digital JPN. Reka bentuk ini turut memaparkan imej cap jari yang dikelilingi oleh pelbagai ikon yang melambangkan peranan utama JPN dalam menguruskan rekod kelahiran, pengenalan, perkahwinan, kewarganegaraan dan kematian.

Bahagian Belakang – Sekeliling bahagian atas kiri duit syiling memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik, dengan logo ulang tahun ke-75 JPN dipaparkan pada sebelah kanan. Teks “1 RINGGIT” ditunjukkan pada bahagian bawah kiri duit syiling yang mewakili nilai mukanya, berlatarbelakangkan bayang olahan MyKad (kad pengenalan).

Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 11:00 pagi Isnin, 1 Julai 2024 hingga 11:00 malam Ahad, 14 Julai 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang Berjaya.
 
Lampiran: Spesifikasi Teknikal


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST).

Bank Negara Malaysia
1 Julai 2024

Wednesday, May 22, 2013

Bank Negara Malaysia Terbitkan "Buku Wang Saku" Dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga" Bagi Tahun 2005

Embargo : Untuk siaran segera
19 Jan 2005

Bank Negara Malaysia hari ini menerbitkan "Buku Wang Saku" (BWS) dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga" (BPPKK) bagi tahun 2005. Buku ini kini merupakan siri yang ketujuh sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1999. Penerbitan buku ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkatkan kesedaran awam tentang pentingnya pengurusan kewangan peribadi dan perancangan kewangan. BWS direka khusus untuk pelajar dengan tema pada tahun 2005 "Pendidikan Kewangan melalui IT". Ia memaparkan ilustrasi yang menonjolkan kepentingan pendidikan kewangan yang diajar dengan menggunakan teknologi maklumat, selaras dengan pelancaran laman web baru, duit saku.com. BWS khususnya digunakan oleh pelajar-pelajar sebagai alat pembelajaran bagi memupuk budaya dan tabiat pengurusan kewangan peribadi yang bijak. Sehingga kini dengan kerjasama bank-bank perdagangan di bawah Program Sekolah Angkat (PSA), sejumlah 3.3 juta naskhah BWS telah diedarkan kepada pelajar-pelajar di 7,098 buah sekolah di seluruh Malaysia. Buat kali pertama pada tahun ini, BWS diterbitkan secara berasingan bagi pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah. BWS bagi pelajar sekolah menengah menekankan ilmu perakaunan dan pendidikan kewangan sementara BWS bagi pelajar sekolah rendah menekankan tentang manfaat penggunaan laman web BWS sebagai alat untuk menambah pengetahuan dalam pendidikan kewangan. BPPKK 2005 atau Buku Akaun dan Perancangan Belanjawan Isi Rumah diterbitkan untuk membantu perancangan belanjawan dan pengurusan pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pelaburan keluarga masing-masing. Dalam buku ini juga diselitkan satu bahagian yang memaparkan konsep "Perancangan Hidup dan Belanjawan Keluarga" untuk setiap isi rumah. BPPKK juga telah diedarkan melalui saluran pengedaran terpilih semenjak tahun 1999 kepada rakyat Malaysia terutama wanita dan kumpulan pekerja dengan matlamat bagi memberi peluang kepada mereka supaya menjadi lebih bijak dalam pengurusan kewangan dan belanjawan. Buku-buku yang diterbitkan ini boleh didapati di Muzium Matawang Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur; cawangan-cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Trengganu, Kuching dan Kota Kinabalu; bank-bank perdagangan, Kedai Pos 2020 dan beberapa buah kedai buku terpilih. Semua sketsa dalam BWS dilakarkan oleh Y. Bhg. Dato' Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai "Lat". Pengedaran BWS 2005 ke sekolah-sekolah akan dilakukan oleh bank-bank perdagangan, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad di bawah PSA.

Bank Negara Malaysia
19 Januari 2005

Wednesday, May 1, 2013

Bank Negara Malaysia Lantik Dua Penolong Gabenor Baru

Embargo : Untuk siaran segera
1 Dis 2004

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan Encik Muhammad bin Ibrahim dan Puan Nor Shamsiah Yunus sebagai Penolong Gabenor, berkuatkuasa pada 1 Disember 2004.

Encik Muhammad bin Ibrahim akan bertanggungjawab terhadap penyeliaan Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Modal, Jabatan Kewangan dan Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing Bank Negara Malaysia. Beliau telah memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia pada tahun 1984 setelah menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya dengan ijazah sarjana muda perakaunan. Beliau pernah berkhidmat di sektor kewangan, pengawalan dan penyeliaan perbankan, perancangan strategik, insurans dan perbankan luar pesisir. Beliau juga merupakan bekas Pengarah Urusan Danamodal Nasional Berhad antara bulan September 1999 dan Mac 2001, sebelum dilantik ke jawatan Pengarah Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Modal sehingga pelantikan ini. Encik Muhammad yang juga memegang ijazah sarjana dari Harvard University, juga merupakan seorang ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ahli majlis Institut Akauntan Malaysia dan Rakan Kanan Institut Jurubank Malaysia.

Puan Nor Shamsiah Yunus pula akan bertanggungjawab terhadap Jabatan Sistem Pembayaran serta Jabatan-jabatan Penyeliaan Perbankan dan Insurans Bank Negara Malaysia. Beliau sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Pengawalan Bank, yang bertanggungjawab merumus dasar dan peraturan pengawalan bank ke arah membangunkan sektor perbankan Malaysia secara teratur. Beliau juga terlibat dengan penubuhan beberapa institusi bagi memperkukuhkan sistem perbankan sewaktu krisis kewangan Asia, termasuk Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, Danamodal Nasional Berhad, Perbadanan Penyusunan Semula Hutang Kredit, dan dalam membentuk Pelan Induk Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia. Beliau yang juga seorang Akauntan Bertauliah, merupakan graduan University of South Australia dalam jurusan Perakaunan. Beliau telah bertugas di Jabatan Pengawalan Bank sejak menyertai perkhidmatan Bank Negara Malaysia pada tahun 1987. Puan Nor Shamsiah juga merupakan ahli Lembaga Pelaburan Lembaga Tabung Haji.

Bank Negara Malaysia
1 Disember 2004

Friday, February 22, 2013

Duit Syiling RM1

Embargo : Untuk siaran segera
22 Nov 2004

Bank Negara Malaysia ingin membuat penjelasan berkaitan dengan artikel yang diterbitkan baru-baru ini mengenai duit syiling RM1 yang disyaki palsu. Artikel ini adalah tidak tepat dan mengelirukan dimana ia melaporkan bahawa duit syiling RM1 yang mempunyai simbol “RINGGIT” adalah palsu, sementara duit syiling yang mempunyai simbol “$” adalah tulen.

Duit syiling Malaysia RM1 mempunyai samada simbol “RINGGIT” atau “$”. Duit syiling RM1 yang mempunyai simbol “RINGGIT” telah diedarkan mulai 14 November 1993 berikutan penggunaan ringgit sebagai simbol matawang Malaysia. Duit syiling yang mempunyai simbol “$” pula telah diedarkan mulai 4 September 1989. Sila ambil perhatian bahawa kedua-dua duit syiling yang mempunyai simbol “$” atau “RINGGIT” adalah sah diperlakukan.

Ciri-ciri duit syiling RM1 adalah seperti berikut:
  1. Perkataan BANK NEGARA MALAYSIA adalah jelas dimana garisan halus adalah jelas kelihatan
  2. Simbol “RINGGIT” atau “$” dan angka 1 adalah jelas kelihatan
  3. Ukiran timbul motif bunga raya adalah sempurna dimana garisan halus jelas kelihatan
  4. Corak dan reka bentuk sarung keris di bahagian belakang duit syiling adalah jelas kelihatan
  5. Gerigi di bahagian tepi duit syiling adalah jelas kelihatan.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai duit syiling, sila hubungi Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang, Bank Negara Malaysia (tel: 03-2690 7417).

Bank Negara Malaysia
22 November 2004

Thursday, March 8, 2012

Keluaran Duit Syiling Peringatan 100 Tahun Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

Embargo : Untuk siaran segera
31 Mac 2005

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan sempena ulang tahun ke-100 keputeraan Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Ketiga-tiga duit syiling tersebut adalah sah diperlakukan (legal tender) dan mempunyai spesifikasi berikut :

1. Duit Syiling Peringatan Emas (peruf)

Duit syiling peruf ini diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 8.6 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan dijual pada harga RM1,008 sekeping. Kuantiti tempaan terhad kepada 100 keping sahaja.
 
2. Duit Syiling Peringatan Perak (peruf)

Duit syiling peruf yang mempunyai nilai muka RM10 diperbuat daripada perak dengan ketulenan 925 dan berat duit ini ialah 21.7 gram setiap keping. Ia dijual pada harga RM128 sekeping. Kuantiti tempaan terhad kepada 200 keping sahaja.
 
3. Duit Syiling Peringatan Tembaga-Nikel (kilatan istimewa dan peruf)

Duit syiling tembaga-nikel ini mempunyai nilai muka RM1 dan dijual pada harga RM8 setiap keping. Kuantiti tempaan ialah 25,000 keping sahaja.

Duit syiling peringatan ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan tembaga-nikel peruf. Manakala set 2 dalam satu mengandungi duit syiling perak dan tembaga-nikel peruf. Kedua-dua set tersebut masing-masing akan dijual pada harga RM1,208 dan RM168. Butiran terperinci mengenai spesifikasi kesemua duit syiling peringatan tersebut adalah seperti di Lampiran I.

Reka bentuk Duit Syiling

Reka bentuk sebelah hadapan ketiga-tiga duit syiling ini memaparkan potret Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj semasa detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan Malaysia. Manakala reka bentuk sebelah belakang duit syiling ini pula memaparkan lambang Kerajaan Malaysia dengan perkataan “BAPA KEMERDEKAAN” dan nilai muka duit syiling tersebut.

Tempat Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh The Royal Mint of Malaysia dan akan dijual mulai pada 1 April 2005 di lokasi berikut :

Coin Shoppe
The Royal Mint of Malaysia
Kompleks Kilang Wang
Lot 2, Persiaran Selangor, Seksyen 15
40740 Shah Alam, Selangor D. E.
(Tel. No: 03 - 55191611/2/3)
 
Lampiran I

Spesifikasi Teknikal

 
Nota :
Set 2-dalam-1 mengandungi duit syiling perak dan tembaga-nikel peruf;
Set 3-dalam-1 mengandungi duit syiling emas, perak dan tembaga-nikel peruf.

Bank Negara Malaysia
31 Mac 2005

Friday, March 2, 2012

Penerbitan Siri Kedua Siri Spesis Terancam Di Bawah Program Pendidikan Melalui Duit Syiling

Embargo : Untuk siaran segera
30 Jan 2005

Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit syiling Siri Spesis Terancam yang kedua di bawah program Pendidikan Melalui Duit Syiling. Siri kedua yang dipanggil Siri Burung ini membawa tema Spesis Burung Terancam. Ia dikeluarkan berikutan kejayaan pengeluaran Siri Spesis Terancam yang pertama yang bertemakan 'Haiwan Darat'.

Sama seperti Siri Haiwan Darat yang dikeluarkan pada tahun 2003, duit syiling Siri Burung menampilkan 12 spesis burung terancam yang terpilih yang akan dikeluarkan setiap bulan mulai bulan Januari 2005. Duit syiling dengan reka bentuk burung Barau-Barau merupakan spesis burung terancam yang akan membuka tirai Siri Burung, diikuti dengan 11 spesis burung terancam terpilih yang lain. Senarai penuh 12 spesis burung terancam dalam Siri ini adalah seperti di lampiran 1.

Duit syiling ini diperbuat daripada aloi emas nordic dengan nilai muka 25 sen dan harga jualan RM5 setiap satu. Duit syiling ini akan didatangkan di dalam kad duit syiling yang menarik dan berwarna-warni, lengkap dengan maklumat berkenaan spesis burung yang dikeluarkan.

Spesifikasi teknikal duit syiling ini adalah seperti berikut:


Rekabentuk Duit Syiling

Rekabentuk di sebelah hadapan duit syiling memaparkan satu daripada 12 haiwan terancam tersebut mengikut keluaran seperti dalam Lampiran I. Ciri-ciri lain termasuk perkataan 'ENDANGERED SPECIES SERIES' di bahagian atas duit syiling. Manakala di bahagian bawah tertera nama haiwan dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan nama saintifik bagi haiwan berkenaan. Di sebelah belakang duit syiling pula tertera nilai muka duit syiling dan logo untuk Siri Burung yang diwakili oleh Burung Kenyalang.

Pusat-pusat Jualan

Duit syiling Siri Burung ditempa dan diedarkan oleh The Royal Mint of Malaysia. Keluaran pertama duit syiling boleh diperolehi bermula dari 31 Januari 2005 dan 11 keluaran berikutnya boleh didapati mengikut jadual di lampiran 1. Duit syiling Siri Burung boleh didapati dilokasi berikut:
  1. Coin Shoppe, The Royal Mint of Malaysia, Shah Alam
  2. Muzium Matawang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur
  3. Taman Burung, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur
Bank Negara Malaysia
30 Januari 2005
 
Appendix I
Siri Spesis Haiwan Terancam Siri Burung

Senarai Siri Burung Terancam dan Jadual Keluaran


Bank Negara Malaysia
30 Januari 2005



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute