KANGAR - Kerajaan sedang menimbangkan cadangan penggunaan semula syiling satu sen dalam usaha mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barangan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu akan diusulkan dalam mesyuarat Kabinet bulan hadapan.
“Saya akan cadangkan agar syiling satu sen digunakan semula. Jika harga barang naik satu sen, sebagai contoh, kenaikan harga barang menyebabkan harga teh tarik naik RM1.71 sen, jadi patut tambah satu sen sahaja, jangan tambah empat sen (digenapkan kepada lima sen terdekat menjadi RM1.75).
“Jadi tak salah kalau kita guna semula kerana satu ketika dulu kita pun guna satu sen,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020, semalam.
Menurutnya, perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) juga akan diadakan mengenai perkara itu.
“Kita akan bincang perkara ini dengan BNM, biar caj yang dikenakan mengikut kadar yang betul. Jadi ia tidak akan membebankan,” katanya.
Sementara itu, beliau meminta sektor swasta tidak mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada pengguna walaupun kos pengeluaran meningkat disebabkan kenaikan harga barang.
Sumber: Sinar Harian Online
No comments:
Post a Comment