Cari Post lain disini

Wednesday, May 22, 2013

Bank Negara Malaysia Terbitkan "Buku Wang Saku" Dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga" Bagi Tahun 2005

Embargo : Untuk siaran segera
19 Jan 2005

Bank Negara Malaysia hari ini menerbitkan "Buku Wang Saku" (BWS) dan "Buku Perancangan dan Penyata Kewangan Keluarga" (BPPKK) bagi tahun 2005. Buku ini kini merupakan siri yang ketujuh sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1999. Penerbitan buku ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mempertingkatkan kesedaran awam tentang pentingnya pengurusan kewangan peribadi dan perancangan kewangan. BWS direka khusus untuk pelajar dengan tema pada tahun 2005 "Pendidikan Kewangan melalui IT". Ia memaparkan ilustrasi yang menonjolkan kepentingan pendidikan kewangan yang diajar dengan menggunakan teknologi maklumat, selaras dengan pelancaran laman web baru, duit saku.com. BWS khususnya digunakan oleh pelajar-pelajar sebagai alat pembelajaran bagi memupuk budaya dan tabiat pengurusan kewangan peribadi yang bijak. Sehingga kini dengan kerjasama bank-bank perdagangan di bawah Program Sekolah Angkat (PSA), sejumlah 3.3 juta naskhah BWS telah diedarkan kepada pelajar-pelajar di 7,098 buah sekolah di seluruh Malaysia. Buat kali pertama pada tahun ini, BWS diterbitkan secara berasingan bagi pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah. BWS bagi pelajar sekolah menengah menekankan ilmu perakaunan dan pendidikan kewangan sementara BWS bagi pelajar sekolah rendah menekankan tentang manfaat penggunaan laman web BWS sebagai alat untuk menambah pengetahuan dalam pendidikan kewangan. BPPKK 2005 atau Buku Akaun dan Perancangan Belanjawan Isi Rumah diterbitkan untuk membantu perancangan belanjawan dan pengurusan pendapatan, perbelanjaan, simpanan dan pelaburan keluarga masing-masing. Dalam buku ini juga diselitkan satu bahagian yang memaparkan konsep "Perancangan Hidup dan Belanjawan Keluarga" untuk setiap isi rumah. BPPKK juga telah diedarkan melalui saluran pengedaran terpilih semenjak tahun 1999 kepada rakyat Malaysia terutama wanita dan kumpulan pekerja dengan matlamat bagi memberi peluang kepada mereka supaya menjadi lebih bijak dalam pengurusan kewangan dan belanjawan. Buku-buku yang diterbitkan ini boleh didapati di Muzium Matawang Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur; cawangan-cawangan Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Trengganu, Kuching dan Kota Kinabalu; bank-bank perdagangan, Kedai Pos 2020 dan beberapa buah kedai buku terpilih. Semua sketsa dalam BWS dilakarkan oleh Y. Bhg. Dato' Mohd Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai "Lat". Pengedaran BWS 2005 ke sekolah-sekolah akan dilakukan oleh bank-bank perdagangan, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia dan Bank Kerjasama Rakyat (M) Berhad di bawah PSA.

Bank Negara Malaysia
19 Januari 2005

Sunday, May 12, 2013

Tahir Pemburu Barangan Nostalgik

Orang lama Pak Mat Tahir dalam akhbar kosmo 12 May 2013, pemilik blog http://koleksioldskool.blogspot.com . Aku memang selalu baca blog dia ni, teruskan mengumpul Pak Mat Tahir :D

Wednesday, May 1, 2013

Bank Negara Malaysia Lantik Dua Penolong Gabenor Baru

Embargo : Untuk siaran segera
1 Dis 2004

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan Encik Muhammad bin Ibrahim dan Puan Nor Shamsiah Yunus sebagai Penolong Gabenor, berkuatkuasa pada 1 Disember 2004.

Encik Muhammad bin Ibrahim akan bertanggungjawab terhadap penyeliaan Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Modal, Jabatan Kewangan dan Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing Bank Negara Malaysia. Beliau telah memulakan kerjayanya di Bank Negara Malaysia pada tahun 1984 setelah menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya dengan ijazah sarjana muda perakaunan. Beliau pernah berkhidmat di sektor kewangan, pengawalan dan penyeliaan perbankan, perancangan strategik, insurans dan perbankan luar pesisir. Beliau juga merupakan bekas Pengarah Urusan Danamodal Nasional Berhad antara bulan September 1999 dan Mac 2001, sebelum dilantik ke jawatan Pengarah Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Modal sehingga pelantikan ini. Encik Muhammad yang juga memegang ijazah sarjana dari Harvard University, juga merupakan seorang ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, ahli majlis Institut Akauntan Malaysia dan Rakan Kanan Institut Jurubank Malaysia.

Puan Nor Shamsiah Yunus pula akan bertanggungjawab terhadap Jabatan Sistem Pembayaran serta Jabatan-jabatan Penyeliaan Perbankan dan Insurans Bank Negara Malaysia. Beliau sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Pengawalan Bank, yang bertanggungjawab merumus dasar dan peraturan pengawalan bank ke arah membangunkan sektor perbankan Malaysia secara teratur. Beliau juga terlibat dengan penubuhan beberapa institusi bagi memperkukuhkan sistem perbankan sewaktu krisis kewangan Asia, termasuk Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, Danamodal Nasional Berhad, Perbadanan Penyusunan Semula Hutang Kredit, dan dalam membentuk Pelan Induk Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia. Beliau yang juga seorang Akauntan Bertauliah, merupakan graduan University of South Australia dalam jurusan Perakaunan. Beliau telah bertugas di Jabatan Pengawalan Bank sejak menyertai perkhidmatan Bank Negara Malaysia pada tahun 1987. Puan Nor Shamsiah juga merupakan ahli Lembaga Pelaburan Lembaga Tabung Haji.

Bank Negara Malaysia
1 Disember 2004



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute