Cari Post lain disini

Wednesday, January 28, 2026

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun ke-80 Tahun Telekom Malaysia Berhad (1946 - 2026)

Pada Jan 2026, Telekom Malaysia Berhad (TM) telah melancarkan logo rasmi ulang tahun ke-80 TM. Susulan daripada pelancaran tersebut alangkah baiknya sekiranya TM berkerjsama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengeluarkan Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun ke-80 Tahun Telekom Malaysia Berhad (1946 - 2026).

Pengeluaran duit syiling ini akan menjadi satu bentuk penghargaan tertinggi terhadap peranan TM sebagai nadi transformasi digital negara sejak penubuhannya pada 1 April 1946. Selama lapan dekad, TM telah berevolusi daripada sebuah jabatan kerajaan (Jabatan Telekom) kepada sebuah entiti global yang memacu ketersambungan negara.

Sekiranya TM ada merancang untuk mengeluarkan duit syiling peringatan, mykoleksi rasa terpanggil untuk menyumbang idea. Ini merupakan salah satu projek suka-suka mykoleksi, mana tahu ianya boleh menjadi realiti. Sudah pasti mykoleksi dan peminat dunia hobi numsmatik akan menyambut baik berita ini.

Jom kita sama-sama melihat idea projek suka-suka mykoleksi ini

Duit syiling peringatan ini mykoleksi cadangkan dikeluarkan dalam 3 denominasi

1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 8 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM5,900 sekeping. Sebanyak 300 keping ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan setiap keping beratnya ialah 31.1 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM580 sekeping. Sebanyak 800 keping sahaja ditempa dengam bahagian hadapan dan belakang sebahagian berwarna.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada campuran beberapa logam terutamanya tembaga dalam kemasan tanpa kilat dan setiap keping beratnya ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan harga jualannya RM16.50 sekeping. Sebanyak 8,000 keping sahaja ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga boleh didapati dalam set 2 dalam 1 dan 3 dalam 1. Set ini 2 dalam 1 mengandungi duit syiling perak berwarna (pruf) dan duit syiling emas Nordic (pruf) manakala set 3 dalam 1 pula terdiri daripada duit syiling emas (pruf), duit syiling perak berwarna (pruf) dan duit syiling emas Nordic (pruf). Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini dan harga terdapat dalam Lampiran I.

Lampiran I

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 Telekom Malaysia Berhad (TM)

Spesifikasi Teknikal


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10% dan berdasarkan harga semasa bahan yang digunakan.

Reka Bentuk Duit Syiling

Duit syiling peringatan ini dikeluarkan khas untuk meraikan lapan dekad kecemerlangan dan inovasi Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam memacu transformasi digital negara.

1. Rekabentuk Bahagian Hadapan

Rekabentuk Bahagian Hadapan Duit Syiling

Bahagian hadapan memberikan penghormatan kepada warisan dan evolusi teknologi organisasi: 

  • Logo Sambutan 80 Tahun: Menampilkan angka "80" yang digabungkan secara artistik dengan identiti korporat TM untuk melambangkan kestabilan dan inovasi.
  • Slogan "TM Merentasi Generasi": Melambangkan peranan organisasi dalam menghubungkan rakyat Malaysia merentasi pelbagai zaman.
  • Latar Belakang Litar Digital: Corak litar bersepadu yang memenuhi latar belakang menggambarkan teras perniagaan dalam bidang ICT dan teknologi digital.
  • Sambutan Ulang Tahun: Terukir nama "80 TAHUN TELEKOM MALAYSIA BERHAD" pada bahagian atas secara melengkung.
  • Tahun Jubli (1946 – 2026): Menandakan garis masa sejarah 80 tahun organisasi tersebut yang bermula pada 1 April 1946 – 1 April 2026. 

2. Rekabentuk Bahagian Belakang

Rekabentuk Bahagian Belakang Duit Syiling

Bahagian belakang menonjolkan visi strategik dan keterhubungan global Malaysia:

  • Peta Malaysia (Jalur Gemilang): Peta Malaysia yang dihiasi corak Jalur Gemilang melambangkan kedaulatan, identiti kebangsaan, dan Integrasi Nasional.
  • Menara TM dan Latar Langit: Visual Menara TM atau dikenali juga sebagai Menara Rebung yang ikonik melambangkan kemajuan infrastruktur telekomunikasi, manakala lakaran latar langit bandar menunjukkan pembangunan moden Malaysia.
  • Jaringan Global: Latar belakang yang memaparkan peta dunia berbentuk sfera dengan garisan rangkaian melambangkan keterhubungan antarabangsa.
  • Identiti Pihak Berkuasa: Perkataan "BANK NEGARA MALAYSIA" tertera di bahagian atas sebagai institusi pengeluar rasmi.
  • Denominasi: Nilai muka “1 Ringgit”, "10 RINGGIT" dan “100 RINGGIT” terletak di bahagian bawah dengan tulisan atau ukiran yang jelas.

Cadangan Rekabentuk Kotak dan Kad Khas Duit Syiling (Coin Card)

Set 3 Dalam 1 Dalam Kotak Kayu

Kad Khas Duit Syiling (Coin Card)

Jualan Duit Syiling Peringatan

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun ke-80 Tahun Telekom Malaysia Berhad ini TIDAK DIJUAL kerana ianya hanyalah sebuah ilustrasi dan imaginasi kreatif daripada mykoleksi. Artikel ini TIDAK mempunyai sebarang kaitan rasmi dengan pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) mahupun Bank Negara Malaysia (BNM).

Namun, secara peribadi sekiranya duit syiling secantik ini benar-benar dikeluarkan untuk tempahan. Sudah pasti mykoleksi akan menjadi orang pertama yang membuat tempahan untuk membelinya, memang wajib memilikinya sebagai salah satu item koleksi numismatik.

Jika duit syiling ini betul-betul dikeluarkan, adakah anda sebagai peminat dunia hobi numismatik akan bersedia untuk membuat tempahan untuk membelinya?

Yang berharap.
mykoleksi

Tuesday, January 6, 2026

KONG Cash - Penghubung Fizikal ke Dunia Digital, Satu Analisis Evolusi Dunia Hobi Numismatik

KONG Cash, 100 $KONG/$CREDS

Dalam dunia yang semakin menuju ke arah pendigitalan sepenuhnya, muncul satu inovasi unik yang menggabungkan dunia fizikal dan digital yang dikenali sebagai KONG Cash. Boleh diakses melalui portal rasmi https://kong.cash, item ini bukanlah sekadar wang polimer hiasan tetapi merupakan bentuk "wang tunai kripto" fizikal yang pertama seumpamanya.

Ia dihasilkan oleh KONG Land iaitu sebuah entiti blockchain yang bertujuan memberi "fizikal" kepada aset digital. KONG Cash membolehkan pemilikan aset kripto seperti token $CREDS atau $KONG dilakukan secara luar talian (offline) melalui sekeping wang fizikal yang boleh dipindahkan dari tangan ke tangan.

1. Teknologi di Sebalik “Wang Pintar”

Rahsia keunikan KONG Cash terletak pada teknologi yang tertanam di dalamnya:
  • Teknologi SiLo (Secure Element): Setiap wang mempunyai cip komputer mikro (Silicon Locked) yang sangat tipis. Cip ini menyimpan kunci peribadi (private key) kriptografi yang tidak boleh diekstrak atau digodam secara digital menjadikan wang ini sebagai "peti besi" digital.
  • Integrasi NFC: wang ini dilengkapi dengan antena NFC (Near Field Communication). Dengan menyentuh telefon pintar pada bahagian wang yang bertanda "SCAN TO VALIDATE", 
  • Blockchain Ethereum: Beroperasi di atas rangkaian Ethereum di mana setiap wang mempunyai alamat dompet unik.
  • Ketahanan: Diperbuat daripada bahan polimer atau kertas bersekuriti tinggi untuk melindungi komponen elektronik daripada kerosakan fizikal.

2. KONG Cash Dalam Dunia Hobi Numismatik

Bagi pengumpul, KONG Cash bukan sekadar alat kewangan tetapi merupakan cabang baru dalam dunia hobi numismatik yang dipanggil Numismatik Kripto (Cryptonumismatics) atau Numismatik Fizikal + Digital (Phygital Numismatics).
  • Siri Ogos 2020 (The Early Classic): Wang denominasi 100 Creds (berwarna ungu/merah jambu) keluaran Ogos 2020 dianggap sebagai siri awal yang sangat bernilai. Dalam sejarah numismatik, siri pertama atau "First Generation" sentiasa mempunyai nilai premium yang lebih tinggi kerana faktor kelangkaannya (rarity).
  • Dua Nilai Serentak: 
Nilai Digital: Nilai token yang tersimpan di dalam cip (bergantung kepada harga pasaran kripto). 
Nilai Koleksi: Nilai sejarah dan keunikan fizikal wang itu sendiri (anggaran harga pasaran koleksi boleh mencecah RM90 – RM300+ bergantung kepada keadaan).

3.Status "Locked" vs "Claimed"

Apabila wang diimbas, status yang dipaparkan adalah kritikal bagi menentukan nilainya:
  • Status “Locked” bermaksud aset digital masih tersimpan di dalam cip. Wang polimer (kripto) ini dianggap "baru" dan mempunyai nilai pasaran tertinggi.
  • Status “Claimed” bermaksud aset digital telah dipindahkan ke dompet digital luar. Wang Polimenr ini kini berfungsi sebagai artifak sejarah tanpa nilai digital namun kekal sebagai item koleksi numismatik.

4. Sistem Dokumentasi atau Label Koleksi

Untuk penyimpanan profesional dalam album, maklumat berikut dicadangkan untuk disertakan sebagai label identifikasi:

Label Identiti KONG Cash
  • Item: KONG Cash (Physical Crypto Note)
  • Denominasi: 100 Creds ($Creds), warna merah jambu/Ungu
  • Siri: Ogos 2020 (Siri Terawal/Gen-1)
  • Status: Locked/Claimed

Spesifikasi Teknikal:
  • Hardware: SiLo Secure Element (Cip Mikro Tertanam)
  • Validation: Imbasan NFC via https://kong.cash
  • Blockchain: Ethereum Mainnet

5. Versi dan Denominasi Lain

KONG Land telah mengeluarkan beberapa siri "wang tunai" ini sejak pelancarannya pada tahun 2019. Antara versi yang pernah dikeluarkan termasuk:

Denominasi KONG Cash

6. Panduan Penjagaan dan Etika Penyimpanan

Sebagai seorang pengumpul berpengalaman, penjagaan wang pintar ini berbeza dengan wang kertas kapas biasa:
  • Integriti Litar: Jangan melipat wang, terutamanya di sudut kanan bawah. Kerosakan litar bermakna kerosakan akses kepada harta digital di dalamnya.
  • Larangan Laminate: Haba tinggi daripada mesin laminate akan merosakkan cip mikro secara kekal. Gunakan banknote sleeve (PVC-free) yang berkualiti.
  • Keselamatan Digital: Jangan mendedahkan kod QR atau membiarkan pihak ketiga mengimbas cip anda tanpa pengawasan, kerana akses fizikal adalah kunci kepada pemilikan aset digital tersebut.

7. Adakah Wang ini Selamat

Menyimpan KONG Cash sebenarnya lebih selamat berbanding menyimpan kata laluan kripto di dalam kertas biasa kerana:
  • Kunci peribadinya tersimpan di dalam cip fizikal yang tidak boleh digodam melalui internet.
  • Bahayanya hanya jika wang fizikal itu hilang atau dicuri, kerana sesiapa yang memegangnya, dialah pemilik aset tersebut.

8. Adakah Boleh dijadikan Pelaburan/Simpanan

Ia tidak salah untuk disimpan sebagai pelaburan jangka panjang tetapi anda perlu tahu:
  • Risiko Cip Rosak: Jika cip itu rosak selepas 10 tahun (kerana faktor cuaca atau kualiti komponen), nilai digital di dalamnya mungkin hilang selamanya.
  • Nilai Pasaran: Nilainya bergantung sepenuhnya kepada komuniti peminat KONG Land. Jika projek itu dihentikan atau dilupakan, nilainya mungkin jatuh.

Maklumat ini mykoleksi perolehi hasil carian dan pembacaan berkenaan wang kripto fizikal KONG Cash, banyak lagi yang perlu dikaji. Wang ini juga menjadi bukti peralihan zaman dan sebagai jambatan yang menghubungkan tradisi mengumpul wang kertas dengan masa depan blockchain. Menyimpan wang ini bermakna anda sedang menyimpan sebahagian daripada sejarah evolusi kewangan manusia. 

KONG Cash boleh dianggap sebagai aset digital/token/koleksi, menyimpannya adalah sama seperti anda menyimpan Bitcoin atau NFT. Memiliki wang kripto adalah tidak dilarang tetapi ia TIDAK dilindungi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) jika berlaku kerugina atau penipuan. Wang kripto ini juga bukan wang sah (legal tender), Ia adalah projek eksperimental dalam dunia kripto untuk menggabungkan aset digital dengan pengalaman fizikal. Anda tidak boleh menggunakannya untuk membayar beli-belah di kedai atau membayar hutang secara rasmi.

Sekiranya anda ada maklumat lain yang dianggap menarik tentang wang kripto, harap dapat berkongsi dengan mykoleksi supaya kita sama-sama tahu, dunia hobi numismatik ini sangat luas. Semoga kita semua sama-sama mendapat manfaat, in sha Allah mykoleksi akan sentiasa berkongsi ilmu baru tentang dunia hobi numismatik dengan anda. 

Teruskan support dan baca pekongsian mykoleksi, terima kasih

Nota:
Wang polimer “KONG CASH”/wang kripto fizikal ini mykoleksi dapat semasa pergi menyelam di stor buku terpakai, ianya adalah salah satu daripada item yang dijumpai oleh peniaga semasa menyemak helaian buku. Berkemungkinan wang dijadikan sebagai penanda buku atau pemilik asalnya sengaja simpan didalam buku.

Yang tiada wang Kripto,
mykoleksi

Wednesday, November 26, 2025

Rahsia Di Sebalik Tandatangan Gabenor Bank Negara Malaysia - Analisis Grafologi


Tandatangan bukan sekadar tanda nama, dalam dunia hobi numismatik ianya adalah identiti pada setiap helaian wang kertas dan sijil dimana menjadi saksi era dan kepimpinan seseorang Gabenor Bank Negara Tanah Melayu (BNTM) atau Bank Negara Malaysia (BNM).

Apabila kita meneliti setiap tandatangan bukan hanya tentang seni tulisan tetapi juga tentang grafologi iaitu ilmu yang mengkaji personaliti seseorang melalui corak tulisan tangan. Grafologi berasal daripada perkataan Greek grapho (tulis) dan logos (ilmu) digunakan untuk meneliti aspek psikologi, keperibadian, kestabilan emosi, serta gaya kepimpinan melalui bentuk, tekanan, dan arah tulisan tangan seseorang.

Dalam konteks sejarah kewangan negara, tandatangan Gabenor bukan hanya tanda sah perundangan pada wang kertas tetapi juga simbol keperibadian, falsafah kepimpinan, dan semangat zaman yang diwakili. BNTM/BNM diterajui oleh 10 gabenor bemula pada 1 Januari 1959 sehingga sekarang (2025), sangat menarik untuk kita mengetahui tentang analisis grafologi ini.

1. Tan Sri W H Wilcock (1 Januari 1959 - 26 Julai 1962)


Tandatangan: Huruf “W” dan “H” bersudut tajam dan tegak, diikuti “Wilcock” kecil dan tidak bersambung.

Analisis Grafologi:
  • Huruf kapital besar dan tajam melambangkan disiplin keras serta autoriti tinggi. Ciri ini amat penting dalam menubuhkan institusi kewangan baru.
  • Goresan tegak tanpa lengkung mencerminkan pemikiran logik dan analitis yang mendominasi, mengutamakan rasionaliti berbanding emosi.
  • Jarak huruf luas menandakan kecenderungan terhadap struktur organisasi kukuh dan ketidaksukaan terhadap campur aduk (compartmentalization).
  • Tekanan pena stabil menunjukkan kestabilan emosi dan konsistensi keputusan.
Jenis pen: tiada sumber menyatakan jenis pen yang digunakan untuk tandatangan.

Nota: Mungkin pen yang digunakan adalah dari jenis Fountain pen mata halus dan dakwat hitam pekat

2. Tun Ismail bin Mohamed Ali (27 Julai 1962 - 25 Julai 1980)
 

Tandatangan: Huruf “I” dan “A” seimbang dengan garis bawah halus.

Analisis Grafologi:
  • Tulisan tegak dan konsisten menunjukkan integriti dan kestabilan prinsip yang tinggi, mencerminkan ketekalan dalam dasar.
  • Garis bawah pendek menandakan keyakinan diri tanpa keangkuhan understated confidence), memimpin melalui contoh.
  • Tulisan mudah dibaca menggambarkan keterbukaan dan kejujuran (transparency), penting untuk membina kepercayaan awam.
  • Tekanan seragam menunjukkan tanggungjawab dan ketenangan mental yang berpanjangan, membolehkan beliau mengekalkan kestabilan selama 18 tahun.
Jenis pen: tiada sumber menyatakan jenis pen yang digunakan untuk tandatangan.

Nota: mungkin pen yang digunakan adalah dari jenis Fountain pen Parker (dakwat biru gelap).

3. Tan Sri Abdul Aziz bin Taha (26 Julai 1980 - 31 Mei 1985)
 

Tandatangan: Huruf “A” besar dan tajam, diikuti goresan bersambung panjang ke kanan.

Analisis Grafologi:
  • “A” besar menandakan cita-cita tinggi dan keazaman untuk meninggalkan warisan.
  • Goresan pantas ke kanan menunjukkan keberanian dan kecekapan bertindak, serta berorientasikan masa hadapan (future-oriented).
  • Hujung panjang menandakan visi jangka panjang dalam pembaharuan yang diperkenalkan.
  • Tekanan kuat di awal tetapi ringan di akhir mencerminkan semangat berhati-hati, permulaan yang bertenaga tetapi pelaksanaan yang penuh pertimbangan.
Jenis pena: tiada sumber menyatakan jenis pen yang digunakan untuk tandatangan.

Nota: mungkin pen yang digunakan adalah dari jenis Ballpoint Parker Jotter, tekanan sederhana dan licin.
4. Tan Sri Dato' Jaffar bin Hussein (1 Jun 1985 - 30 April 1994)
 

Tandatangan: Huruf “J” besar dan bulat diikuti goresan elegan bersambung.

Analisis Grafologi:
  • Lengkung besar menunjukkan karisma dan diplomasi yang tinggi, sesuai dengan latar belakangnya dalam perbankan komersial.
  • Tekanan seimbang melambangkan ketenangan di bawah tekanan dan kemampuan untuk mengurus situasi kompleks.
  • Tulisan menaik simbol optimisme dan keyakinan dalam prospek ekonomi negara.
  • Gaya mengalir menunjukkan pemikiran strategik yang holistik dan kreatif.
Jenis pen: tiada sumber menyatakan jenis pen yang digunakan untuk tandatangan.

Nota: mungkin pen yang digunakan adalah dari jenis Fountain pen Montblanc, dakwat hitam tebal.

5. Tan Sri Dato' Ahmad bin Mohd Don (1 Mei 1994 - 1 September 1998)
 

Tandatangan: Huruf “A” dan “D” tegak dan bersih tanpa hiasan.

Analisis Grafologi:
  • Goresan lurus menandakan rasionaliti dan ketelitian yang amat tinggi, tidak mudah digoyahkan oleh emosi.
  • Tekanan seragam menunjukkan kestabilan diri yang tidak berubah di bawah keadaan luar biasa.
  • Tiada lengkung berlebihan, fokus kepada fakta dan data mengesahkan beliau adalah teknokrat yang tegar.
  • Jarak huruf konsisten menunjukkan logik sistematik dan pendekatan yang tersusun dalam menyelesaikan masalah.
Jenis pen: tiada sumber menyatakan jenis pen yang digunakan untuk tandatangan.

Nota: mungkin pen yang digunakan adalah dari jenis Ballpoint rasmi pejabat, goresan tipis dengan tekanan ringan.

6. Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman (7 Sept 1998 - 30 April 2000)


Tandatangan: Ringkas, pantas, dan sedikit menjulang di hujung.

Analisis Grafologi:
  • Campuran huruf cetak dan sambung menunjukkan fleksibiliti dan adaptasi yang tinggi, penting untuk melaksanakan langkah pemulihan segera pasca-krisis besar.
  • Goresan cepat menggambarkan keupayaan membuat keputusan segera dan bertindak pantas.
  • Hujung menaik merujuk kepada semangat positif dan daya bangkit (resilience), fokus kepada pemulihan yang berjaya.
  • Ruang rapat menunjukkan fokus dan tumpuan kerja tinggi, mencerminkan kepimpinan yang intensif dalam tempoh singkat.
Jenis pen: tiada sumber menyatakan jenis pen yang digunakan untuk tandatangan.

Nota: mungkin pen yang digunakan adalah dari jenis Rollerball Montblanc atau Waterman (profesional moden), membenarkan kelancaran dan kelajuan dalam goresan.

7. Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (1 Mei 2000 - 1 Mei 2016)
 

Tandatangan: Huruf “Z” besar dengan lengkung lembut, seimbang kiri dan kanan.

Analisis Grafologi:
  • “Z” besar melambangkan kekuatan intelektual dan integriti yang tidak boleh dipersoalkan.
  • Lengkung lembut menunjukkan empati dan kestabilan emosi yang tinggi, mampu mengurus krisis global 2008 dengan tenang.
  • Tulisan bersambung menggambarkan intuisi tinggi dan sistematik, menunjukkan beliau berfikir secara holistik dan menghubungkan idea.
  • Tiada garis tajam menunjukan harmoni dan kawalan diri, seorang pemimpin yang teguh tetapi tidak agresif.
Jenis pen: LAMY Safari Black Fountain, pen ini pernah dipamerkan di Galeri Bank Negara, Sasana Kijang

8. Tan Sri Muhammad bin Ibrahim (1 Mei 2016 - 16 Jun 2018)
 

Tandatangan: Huruf “M” tebal dan kukuh, diikuti huruf kecil bersih tanpa sambungan.

Analisis Grafologi:
  • “M” tegap menunjukkan pemikiran analitikal yang kukuh dan berlandaskan data.
  • Tulisan bersih menggambarkan ketelusan dan kecekapan adalah keutamaan, tanpa hiasan yang tidak perlu.
  • Tiada hiasan tambahan, kerendahan diri dan fokus kepada hasil kerja.
  • Tekanan kuat di awal menunjukkan tenaga dan semangat tinggi dalam memulakan reformasi digital.
Jenis pen: Ballpoint BiC (FINE SABS 785), pen ini pernah dipamerkan di Galeri Bank Negara, Sasana Kijang

9. Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus (1 Julai 2018 - 30 Jun 2023)
 

Tandatangan: Huruf “N” besar, “S” bersambung lembut dan sedikit melengkung.

Analisis Grafologi:
  • “N” kukuh menggambarkan kekuatan dalaman dan keyakinan diri untuk memimpin dalam tempoh yang mencabar.
  • “S” lembut menggambarkan empati dan sensitiviti sosial, penting dalam menangani impak ekonomi pandemik.
  • Tulisan stabil menunjukkan kematangan membuat keputusan yang tidak tergesa-gesa.
  • Tekanan sederhana adalah keseimbangan antara rasional dan kemanusiaan dalam dasar monetari.
Jenis pen: tiada sumber menyatakan jenis pen yang digunakan untuk tandatangan.
Nota: mungkin pen yang digunakan adalah dari jenis Rollerball Lamy atau Pilot (moden dan ringan).

10. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour (1 July 2023 to 30 June 2028)
 

Tandatangan: Huruf “R” besar dan “G” terbuka dalam gaya minimalis moden.

Analisis Grafologi:
  • “R” tegak menunjukkan keyakinan dan prinsip kukuh yang diwarisi dari generasi terdahulu
  • “G” terbuka menunjukkan keterbukaan terhadap inovasi dan pandangan baru.
  • Goresan ringkas adalah efisiensi dan fokus kepada perkara utama (minimalis).
  • Tekanan stabil menggambarkan ketenangan dalam tanggungjawab besar dan transisi kepimpinan.
Jenis pen: tiada sumber menyatakan jenis pen yang digunakan untuk tandatangan.

Nota: mungkin pen yang digunakan adalah dari jenis Gel pen Cross Tech2 (dakwat biru gelap, gaya korporat moden).

Setiap tandatangan bukan hanya “garisan dakwat” pada wang kertas tetapi cerminan jiwa seorang Gabenor. Di sebalik setiap goresan, tersembunyi kisah keperibadian, visi, dan semangat zaman yang membentuk sejarah kewangan Malaysia.

Untuk makluman anda, mykoleksi bukanlah pakar dalam grafologi. Artikel ini mykoleksi hasilkan dengan bantuan beberapa aplikasi Kepintaran Buatan (AI) supaya kita sama-sama mendapat gambaran, mykoleksi mengalu-alukan kepada mereka yang pakar dalam grafologi untuk berkongsi maklumat untuk penambahbaikan dalam analisis ini.

Yang menulis dari Jiwa,
mykoleksi

Friday, November 7, 2025

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Edisi Terhad ASEAN25 dan DOSM75

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pengeluaran dua duit syiling peringatan edisi terhad bagi memperingati pencapaian yang berikut:
  1. Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 (ASEAN25)
  2. Ulang Tahun ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM75)
ASEAN25

Siri ASEAN25 terdiri daripada:

  • Sekeping duit syiling perak sterling pruf berwarna, dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.
  • Set dua keping duit syiling emas Nordic brilliant uncirculated (B.U.) yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram setiap satu dan nilai muka RM1 bagi setiap syiling. Duit syiling kategori ini dijual sebagai satu set yang mengandungi dua keping duit syiling bagi menyerlahkan keunikan reka bentuknya, pada harga  RM24.20 setiap set. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 5,000 set.
  • Set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf berwarna dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM396 setiap set.
DOSM75

Siri DOSM75 terdiri daripada:
  • Sekeping duit syiling perak sterling pruf, dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.
  • Sekeping duit syiling emas Nordic (B.U.), diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram dan nilai muka RM1. Duit syiling ini akan dijual pada harga RM16.50 setiap satu dengan kuantiti tempaan sebanyak 5,000 keping.
  • Set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM396 setiap set.
Maklumat teknikal mengenai kesemua duit syiling peringatan ini diperincikan dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz sebenar duit syiling.

1. ASEAN25


Bahagian Hadapan – Reka bentuk ini diinspirasikan daripada konsep kesinambungan, dengan menggabungkan elemen tenunan tradisional sebagai motif utamanya. Motif ini mengalir secara bersambung dari bahagian hadapan ke bahagian belakang syiling, menjadikannya yang pertama dalam sejarah reka bentuk numismatik Malaysia. Reka bentuk ini menampilkan logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan bola api yang digayakan, yang melambangkan semangat dinamik dan progresif semua negara anggota ASEAN. Tulisan “ASEAN-MALAYSIA 2025” tertera pada bahagian atas kanan keliling duit syiling sebagai memperingati peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

Bahagian Belakang – Motif tenunan diteruskan pada bahagian belakang, melambangkan hubungan kukuh dan kerjasama berterusan antara negara anggota ASEAN. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling numismatik ini dipaparkan pada sekeliling bahagian atas kiri duit syiling. Nilai muka tertera sebagai “10 RINGGIT” bagi duit syiling perak sterling dan “1 RINGGIT” bagi duit syiling emas Nordic.

2. DOSM75

Bahagian Hadapan – Bertemakan “STATISTIK NADI KEHIDUPAN”, konsep reka bentuk ini menegaskan idea bahawa statistik bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan kehidupan harian rakyat Malaysia serta menjadi tonggak pembangunan negara. Tangan ditampilkan sebagai simbol utama, mewakili hubungan langsung antara statistik dengan rakyat. Latar belakang duit syiling berbentuk elemen bulatan melambangkan aliran data yang berterusan, mencerminkan sifat maklumat yang dinamik. Gabungan motif tangan dan bulatan ini menekankan pendekatan yang memfokuskan pada insan, serta meletakkan statistik sebagai daya pemacu kemajuan dan kesejahteraan negara.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling numismatik ini dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling. Pada bahagian tengahnya, logo ulang tahun ke-75 perkhidmatan statistik dipaparkan dengan jelas, sebagai penghormatan kepada peranan penting DOSM dalam pembangunan negara. Nilai muka
“10 RINGGIT” bagi duit syiling perak sterling dan “1 RINGGIT” bagi duit syiling emas Nordic tertera pada bahagian bawah keliling duit syiling.

Jualan Duit Syiling Peringatan

Duit syiling peringatan ini dijual secara individu. Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai, had pembelian dikenakan untuk setiap reka bentuk. Setiap individu boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu duit syiling perak sterling (pruf) dan maksimum lima duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat pesanan melalui laman sesawang duit.bnm.gov.my bermula pukul 12:00 tengahari Jumaat, 7 November 2025 hingga 8:59 pagi Isnin, 17 November 2025.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi kuantiti yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.
 
Lampiran

Spesifikasi Teknikal Duit Syiling


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10% dan berdasarkan harga semasa bahan yang digunakan.

Bank Negara Malaysia
7 November 2025

Sumber asal: www.bnm.gov.my

Monday, September 8, 2025

Bahaya Oportunis Matawang Lama - Ancaman Senyap kepada Komuniti Numismatik Malaysia

Dalam dunia hobi numismatik bukan sekadar tentang mengumpul matawang lama dan baru ia juga adalah medan warisan, disiplin sejarah, dan cabang ilmu yang mendalam. Seperti bidang lain, ia berkembang dengan pengorbanan dan penyelidikan oleh pakar, pengkaji dan peminat sejati hobi ini.

Namun, semakin luas minat masyarakat terhadap koleksi matawang dan sejarah kewangan, muncul pula individu yang mengambil kesempatan atas keghairahan peminat dunia hobi numismatik. Mereka mengangkat diri sebagai "pakar" yang menyebar maklumat tanpa tapisan dan menunggang peluang demi kepentingan peribadi. Mereka ialah oportunis yang bukan sekadar penjual biasa, tetapi manipulator yang merosakkan ekosistem numismatik dari dalam.

Apakah Maksud Oportunisme?

Oportunisme merujuk kepada tindakan mengambil peluang tanpa peduli soal etika atau kebenaran, demi mencapai tujuan peribadi, biasanya dalam bentuk pengaruh, pengiktirafan atau keuntungan kewangan.

Dalam konteks numismatik, oportunis:

  • Mencipta imej sebagai “pakar” walau tanpa asas akademik
  • Mencipta pengaruh dengan menjadikan item-item "rare" sebagai modal untuk dikenali atau mencari pengaruh
  • Membina kumpulan kecil untuk meyakinkan atau mempengaruhi peminat dunia hobi numismatik yang baru
  • Mengambil hasil kerja orang lain dan mendakwa miliknya
  • Menjadi “penjual dominan” yang mengawal naratif pasaran
  • Manipulasi pengumpul baru dengan maklumat yang direka
  • Mengeksploitasi hubungan dengan pihak berautoriti

Bentuk Oportunisme dalam Dunia Hobi Numismatik

1. Penciptaan Imej Pakar Tanpa Sumbangan Asal

Ramai oportunis menyebut diri mereka “numismatis profesional” atau “pakar” walaupun TIDAK pernah:

  • Menulis buku atau katalog terbitan sendiri yang boleh dijadikan rujukan oleh peminat dan komuniti dunia hobi numismatik.
  • Menyumbang dalam jurnal numismatik atau forum penyelidikan
  • Dikenali oleh komuniti pengkaji numismatik tempatan/internasional

Sebaliknya, mereka mencipta naratif dengan:

  • Bergambar bersama individu atau tokoh penting dunia hobi numismatik
  • Menghandiri undangan ke acara tertentu lalu dijadikan bahan promosi
  • Menyebut istilah teknikal numismatik untuk kelihatan bijak dan serba tahu

Nota: Imej bukan bukti kepakaran. Karya dan kajian adalah bukti sebenar.

2. Penyalahgunaan Karya dan Penerbitan Orang Lain

Antara bentuk oportunisme yang paling serius ialah:

  • Mencetak semula buku atau katalog orang lain tanpa izin demi mendapat keuntungan
  • Menerbit semula katalog lama seolah-olah ia milik sendiri
  • Menggunakan bahan penulis, rujukan dan kajian terdahulu dalam ceramah atau bengkel tanpa memberi kredit kepada pemilik asal.

Perbuatan ini bukan sahaja menyalahi etika, tetapi juga undang-undang hak cipta. Di Malaysia, karya penulisan dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987. Tindakan mencetak tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan sivil dan jenayah.

3. Pemalsuan Fakta dan Sejarah

Oportunis sering:

  • Mengubah sejarah terbitan matawang untuk menjadikannya “rare”
  • Menambah naratif palsu kononnya “dikeluarkan semasa darurat”, “hanya diberi kepada VVIP”, atau “keluaran limited, contohnya hanya dikeluarkan 100 keping sahaja”
  • Mendakwa klasifikasi teknikal yang tidak wujud (contoh: mengatakan sesuatu itu “error” tanpa bukti pengesahan)

Ini memberi kesan kepada:

  • Pengumpul baru yang mudah terpedaya
  • Pasaran numismatik yang menjadi tidak stabil
  • Proses dokumentasi sejarah yang menjadi kabur

4. Eksploitasi Komuniti dan Institusi

  • Ada oportunis yang berjaya meyakinkan komuniti dan institusi tertentu supaya memberi mereka kedudukan atau gelaran tertentu walaupun tiada semakan merit dilakukan.
  • Mereka kemudian menggunakan gelaran ini untuk mencipta kredibiliti palsu demi mencari pengaruh dan mendapat kepentingan tertentu.

Hal ini menjejaskan reputasi institusi yang terlibat dan menyisihkan pakar sebenar.

5. Manipulasi Pasaran dan Harga

  • Menjual syiling atau wang kertas biasa sebagai “rare” untuk mendapat keuntungan mudah.
  • Menyebarkan maklumat yang menyebabkan spekulasi tidak berasas
  • Membeli semua stok sesuatu item dan kemudian menjual semula dengan harga tinggi (monopoli pasaran)
  • Menggunakan platform lelongan atau sosial media untuk menaikkan harga secara buatan

Akhirnya, pengumpul baru mengalami kerugian dan hilang kepercayaan terhadap komuniti numismatik.

Kenapa Kita Perlu Ambil Perhatian?

⚠️ Jika dibiarkan, oportunisme akan:

  • Memusnahkan kepercayaan dalam komuniti dunia hobi numsimatik
  • Menjejaskan usaha dokumentasi dan pendidikan
  • Menyingkirkan penyelidik dan penulis yang memban
  • Menjadikan pasaran numismatik sebagai medan penipuan

Bagaimana Mengenali Oportunis?

Tanda-tanda yang biasa:


Tindakan Pencegahan dan Pemulihan

Untuk Pengumpul:

  • Semak latar belakang individu yang memberi maklumat
  • Baca buku rujukan utama (contoh: Saran Singh, Steven Tan, Dr. Ibrahim Bakar Langkawi dan lain-lain)
  • Elakkan membeli item hanya kerana “cerita sensasi”

Untuk Komuniti:

  • Galakkan etika ilmiah dan hormati penulis asal
  • Dedahkan penipuan secara berhemah dan berfakta
  • Wujudkan direktori “pakar sebenar” yang terbuka kepada semakan umum

Untuk Komuniti/Institusi:

  • Lantik penasihat berdasarkan merit, bukan hubungan
  • Sahkan latar belakang pakar sebelum diberi pengiktirafan
  • Laksanakan hak cipta dengan tegas dan hormat

Oportunis akan sentiasa wujud tetapi kita yang memberi mereka kuasa jika tidak berhati-hati. Dunia numismatik memerlukan integriti, ilmu, dan semangat kerjasama. Jangan biarkan segelintir individu menodai bidang yang diwarisi oleh pengkaji, penulis dan pengumpul sejati.

“Dalam dunia di mana maklumat mudah tersebar, tanggungjawab menyemak fakta adalah milik semua.”

Yang memberi pandangan,
mykoleksi

Thursday, July 10, 2025

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran Ke-100, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad

Negarawan Malaysia, Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad

Khamis, 10 Julai 2025.

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, satu dekad Tun telah melalui dan menjadi saksi setiap peristiwa penting yang berlaku di Malaysia dan dunia. Berikut adalah senarai peristiwa dunia utama yang berlaku sepanjang hayat (satu abad) penuh perubahan, peperangan, kemajuan teknologi dan kebangkitan manusia. 

📜 1920-an

  • 1925: Tun Dr. Mahathir lahir di Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 2025
  • 1927: Televisyen pertama diperkenalkan secara eksperimen.
  • 1929: Krisis Ekonomi Dunia (Great Depression) bermula di AS.

🔥 1930-an

  • 1933: Adolf Hitler menjadi Canselor Jerman.
  • 1937: Perang China-Jepun bermula.
  • 1939: Perang Dunia Kedua bermula (1939–1945).

⚔️ 1940-an

  • 1941: Jepun jajah Tanah Melayu; serangan Pearl Harbor.
  • 1945: Perang Dunia Kedua tamat; bom atom Hiroshima & Nagasaki.
  • 1945: Indonesia merdeka.
  • 1947: India & Pakistan merdeka.
  • 1948: Penubuhan negara Israel; konflik Palestin bermula.

🌐 1950-an

  • 1953: Perang Korea tamat.
  • 1955: Konferensi Bandung (gerakan anti-kolonial Asia-Afrika).
  • 1955: Albert Einstein meninggal dunia.
  • 1957: Tanah Melayu merdeka.
  • 1957: Sputnik 1 dilancarkan oleh Soviet Union (permulaan era angkasa).

🚀 1960-an

  • 1963: Malaysia ditubuhkan.
  • 1963: Presiden John F. Kennedy ditembak mati.
  • 1969: Manusia pertama jejak kaki ke bulan (Neil Armstrong).
  • 1965: Singapura keluar dari Malaysia.

🎸 1970-an

  • 1975: Amerika Syarikat kalah Perang Vietnam.
  • 1977: Elvis Presley meninggal dunia.
  • 1979: Revolusi Iran – Shah digulingkan, Iran jadi Republik Islam.
  • 1979: Pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan.

🧱 1980-an

  • 1980: John Lennon (The Beatles) ditembak mati.
  • 1986: Bencana Chernobyl (nuklear).
  • 1989: Tembok Berlin runtuh – simbol kejatuhan komunisme di Eropah Timur.
  • 1989: Pembunuhan besar-besaran di Tiananmen, China.

🕊️ 1990-an

  • 1991: Kesatuan Soviet runtuh.
  • 1994: Genosid Rwanda – 800,000 terbunuh.
  • 1997: Puteri Diana meninggal dunia.
  • 1999: Y2K – ketakutan dunia digital menjelang tahun 2000.

💻 2000-an

  • 2001: Serangan 11 September di AS oleh Al-Qaeda.
  • 2003: Perang Iraq bermula.
  • 2004: Tsunami Asia – lebih 200,000 maut.
  • 2008: Krisis kewangan global.

📱 2010-an

  • 2010: Arab Spring – revolusi di Timur Tengah.
  • 2011: Osama bin Laden dibunuh.
  • 2014: MH370 hilang secara misteri.
  • 2016: Donald Trump jadi Presiden AS.
  • 2019: COVID-19 mula merebak di China.

🦠 2020-an

  • 2020: Pandemik COVID-19 melumpuhkan dunia.
  • 2021: Vaksinasi global secara besar-besaran.
  • 2022: Ratu Elizabeth II mangkat, tamat pemerintahan 70 tahun.
  • 2022: Perang Rusia-Ukraine bermula.
  • 2023: AI meledak – ChatGPT, Midjourney, dan teknologi generatif.
  • 2025: Hari ini, 10 Julai 2025. Genap usia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad 100 tahun (1 abad).

🌐 Tokoh-Tokoh Zaman Sezaman 

Selama hidupnya, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad berkongsi zaman dengan tokoh berikut:

  • Ratu Elizabeth II (1952–2022)
  • Winston Churchill (1874–1965) – Perdana Menteri UK semasa WWII
  • John F. Kennedy (1917–1963) – Presiden AS
  • Jawaharlal Nehru (1889–1964) - Seorang pemimpin politik Kongres Kebangsaan India
  • Nelson Mandela (1918–2013) – Presiden Afrika Selatan
  • Che Guevara (1928-1967) -  Doktor Argentina, ahli politik, penyokong Marxisme, ketua pergerakan dan gerila sosialisme
  • Malcolm X (1925-1965) - Seorang aktivis hak asasi manusia Amerika Syarikat
  • Martin Luther King Jr. (1929-1968) - Seorang pemimpin hak awam
  • Yasser Arafat (1929-2004) -  Presiden Palestin
  • Joseph Stalin (1878-1953) - Seorang tokoh politik dan diktator yang memerintah Kesatuan Soviet 

Terima kasih diatas setiap jasa dan pengorbanan yang Tun berikan demi agama, bangsa dan negara Malaysia. Semoga Tun akan terus menjadi sumber inspirasi kepada seluruh masyarakat dan generasi akan datang.

Mykoleksi doakan semoga Tun sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan usia, diberkat, cemerlang dunia akhirat serta dilimpahi rahmat Allah SWT.

Sekali lagi,

Selamat menyambut ulang tahun kelahiran Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang ke-100

Yang hidup zaman Tun,
mykoleksi

Monday, January 13, 2025

RM10 "Black Refflesia" Tandatangan Gabenor BNM 10

RM10 "Black Refflesia"

Cerita RM10 "Black Refflesia" sudah lama menyepi, mykoleksi bukan nak panaskan balik tapi cuma nak tahu kalau ada RM10 ni yang versi tandatangan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ke-10.

Walaupun kewujudan wang kertas ini pernah menjadi perdebatan sehinggakan pelbagai teori dikeluarkan dan eksperimen juga turut dijalankan tetapi semuanya masih kekal misteri dan belum ada maklumat sahih yang mengukuhkan kejadiannya.

Apa yang menjadi persoalan sehingga kini, kenapa wang kertas tersebut hanya ditemui dalam kondisi biasa (rujuk gambar) bukan UNC?

RM10 "Black Refflesia" Bertandatangan Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz

RM10 "Black Refflesia" Bertandatangan Tan Sri Muhammad bin Ibrahim

RM10 "Black Refflesia" Bertandatangan Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus

Setakat ini, mykoleksi sudah temui dalam edaran hanya want kertas RM10 dengan 3 tandatangan Gabenor sebelum Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour, dunia hobi numismatik mesti tidak lari daripada kejutan

Gabenor BNM Ke-10, Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour

Kita sebagai peminat dunia hobi numismatik mesti sentiasa update dengan maklumat terkini, siapa ada terjumpa wang kertas RM10 "Black Refflesia" tandatangan Gabenor BNM ke-10 harap dapat berkongsi disini.

Sekian

Wednesday, December 4, 2024

Berita Tergempar - Tiga Reka Bentuk Duit Syiling Peringatan Edisi Terhad Tersedia untuk Jualan Menerusi Laman Sesawang BNM

Embargo : Untuk siaran segera
3 Dis 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pengeluaran tiga duit syiling peringatan yang berbeza bersempena dengan acara-acara yang berikut:
  1. Ulang Tahun ke-150 Jabatan Kerja Raya (JKR);
  2. Ulang Tahun ke-50 Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA); dan
  3. Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China (MCDR).
Kesemua duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)

Duit syiling peringatan untuk JKR menampilkan bentuk heksagon yang unik, iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menyerupai bentuk logo JKR. Duit syiling tersebut diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5% dan mempunyai berat 29.9 gram. Ia mempunyai nilai muka RM10. Duit syiling ini didatangkan dengan kotak kayu premium dan akan dijual pada harga RM440 sekeping.

Duit syiling peringatan untuk RISDA dan MCDR diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5% dan mempunyai berat 31 gram. Setiap duit syiling mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM330 sekeping

Kuantiti tempaan adalah 1,000 keping bagi setiap reka bentuk.
 
2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain seberat 8.5 gram. Duit syiling tersebut mempunyai nilai muka RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping.

Kuantiti tempaan adalah 5,000 keping bagi setiap reka bentuk.

Duit syiling-duit syiling peringatan ini akan turut dijual dalam Set 2 dalam 1 yang terdiri daripada sekeping duit syiling perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Set 2 dalam 1 untuk JKR akan dijual pada harga RM495 manakala untuk RISDA dan MCDR akan dijual pada harga RM385 setiap satu set. Sebanyak 1,000 set tersedia untuk pembelian bagi setiap reka bentuk.

Makluman teknikal mengenai duit syiling-duit syiling peringatan ini diperincikan dalam Lampiran.
 
Reka Bentuk Duit Syiling
 
i) JKR
a) Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)


Bahagian Hadapan – Konsep reka bentuk duit syiling ini memperingati peranan penting JKR dalam pembangunan infrastruktur negara sepanjang tempoh 150 tahun yang lalu. Di bahagian tengah duit syiling ini adalah Menara Kerja Raya iaitu kompleks pejabat utama JKR. Latar belakang duit syiling menampilkan corak geometri yang diinspirasikan daripada elemen reka bentuk yang terdapat pada Menara Kerja Raya. Siluet sekumpulan kru pembinaan di sebelah kiri duit syiling adalah simbolik kepada tenaga kerja JKR, yang merupakan tulang belakang kepada pelaksanaan projek pembangunan dan penyelenggaraan aset infrastruktur.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada bahagian atas duit syiling. Logo ulang tahun JKR yang ke-150 dipaparkan pada bahagian kiri duit syiling, dengan nilai muka “10 RINGGIT” digambarkan di sebelah kanan. Siluet berulang bentuk logo JKR digunakan sebagai latar belakang duit syiling ini.
 
b. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)


Bahagian Hadapan – Menara Kerja Raya digambarkan di bahagian sebelah kiri duit syiling manakala koleksi pelbagai bangunan kerajaan dan infrastruktur lain yang dilaksanakan oleh JKR selama ini dipaparkan di sebelah kanan atas duit syiling. Di bahagian kanan bawah menampilkan siluet kru pembinaan yang sedang bekerja.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan di bahagian atas duit syiling.  Logo ulang tahun JKR yang ke-150 ditunjukkan pada bahagian tengah duit syiling. Duit syiling ini turut memaparkan corak geometri yang diinspirasikan daripada elemen reka bentuk yang terdapat pada Menara Kerja Raya. Nilai muka duit syiling - 1 RINGGIT – dipaparkan di bahagian bawah duit syiling.
 
ii) RISDA


Bahagian Hadapan – Konsep reka bentuk duit syiling ini diilhamkan daripada misi penting RISDA, yang ditubuhkan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti pekebun kecil getah di Malaysia. Seorang penoreh getah dipaparkan dengan jelas di bahagian hadapan duit syiling. Bahagian kiri atas duit syiling menggambarkan imej produk-produk lain oleh komuniti pekebun kecil, yang dibawa ke pasaran dengan sokongan RISDA melalui RisSMart. Siluet seorang kanak-kanak dan seorang graduan di sebelah kanan duit syiling menandakan usaha RISDA dalam pembangunan modal insan.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian kanan duit syiling, dengan nilai muka “10 RINGGIT” untuk perak sterling atau “1 RINGGIT” untuk emas Nordic. Logo ulang tahun RISDA yang ke-50 dipaparkan di bahagian atas duit syiling dengan berlatarbelakangkan imej batang pokok getah yang digayakan.
 
 iii) MCDR 


Bahagian Hadapan – Reka bentuk ini memberi penghormatan kepada persahabatan yang kekal, kerjasama dan saling menghormati antara Malaysia dan China sepanjang lima dekad yang lalu. Reka bentuk duit syiling ini menampilkan harimau Malaya dan panda gergasi yang merupakan ikon bagi kedua-dua negara. Mereka digandingkan bersebelahan dengan gelung infiniti, melambangkan hubungan yang lama dan rapat antara kedua-dua negara.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian kanan duit syiling, dengan nilai muka “10 RINGGIT” untuk perak sterling atau “1 RINGGIT” untuk emas Nordic. Motif tekstil tradisional songket dan motif bunga Cina digambarkan dengan simbol yin-yang, melambangkan hubungan yang saling melengkapi dan mesra antara kedua-dua negara.
 
Semua reka bentuk duit syiling peringatan tersedia untuk dijual pada hari ini

Ketiga-tiga reka bentuk duit syiling peringatan berbeza ini akan dijual secara berasingan. Bagi memberikan peluang yang adil kepada orang awam untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, akan ada had pembelian bagi setiap reka bentuk iaitu satu set 2 dalam 1, satu duit syiling pruf perak sterling berwarna dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.) bagi setiap orang.

Orang awam boleh membuat tempahan menerusi pautan duit.bnm.gov.my mulai hari ini hingga 5:00 pagi Isnin, 9 Disember 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang tersebut, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.
 

Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bank Negara Malaysia
3 Disember 2024

Sumber asal: www.bnm.gov.my


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute