Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pengeluaran dua duit syiling peringatan edisi terhad bagi memperingati pencapaian yang berikut:
- Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 (ASEAN25)
- Ulang Tahun ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM75)
ASEAN25
Siri ASEAN25 terdiri daripada:
- Sekeping duit syiling perak sterling pruf berwarna, dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.
- Set dua keping duit syiling emas Nordic brilliant uncirculated (B.U.) yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram setiap satu dan nilai muka RM1 bagi setiap syiling. Duit syiling kategori ini dijual sebagai satu set yang mengandungi dua keping duit syiling bagi menyerlahkan keunikan reka bentuknya, pada harga RM24.20 setiap set. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 5,000 set.
- Set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf berwarna dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM396 setiap set.
DOSM75
Siri DOSM75 terdiri daripada:
- Sekeping duit syiling perak sterling pruf, dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.
- Sekeping duit syiling emas Nordic (B.U.), diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram dan nilai muka RM1. Duit syiling ini akan dijual pada harga RM16.50 setiap satu dengan kuantiti tempaan sebanyak 5,000 keping.
- Set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM396 setiap set.
Maklumat teknikal mengenai kesemua duit syiling peringatan ini diperincikan dalam Lampiran.
Reka Bentuk Duit Syiling
Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz sebenar duit syiling.
1. ASEAN25
Bahagian Hadapan – Reka bentuk ini diinspirasikan daripada konsep kesinambungan, dengan menggabungkan elemen tenunan tradisional sebagai motif utamanya. Motif ini mengalir secara bersambung dari bahagian hadapan ke bahagian belakang syiling, menjadikannya yang pertama dalam sejarah reka bentuk numismatik Malaysia. Reka bentuk ini menampilkan logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan bola api yang digayakan, yang melambangkan semangat dinamik dan progresif semua negara anggota ASEAN. Tulisan “ASEAN-MALAYSIA 2025” tertera pada bahagian atas kanan keliling duit syiling sebagai memperingati peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Bahagian Belakang – Motif tenunan diteruskan pada bahagian belakang, melambangkan hubungan kukuh dan kerjasama berterusan antara negara anggota ASEAN. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling numismatik ini dipaparkan pada sekeliling bahagian atas kiri duit syiling. Nilai muka tertera sebagai “10 RINGGIT” bagi duit syiling perak sterling dan “1 RINGGIT” bagi duit syiling emas Nordic.
2. DOSM75
Bahagian Hadapan – Bertemakan “STATISTIK NADI KEHIDUPAN”, konsep reka bentuk ini menegaskan idea bahawa statistik bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan kehidupan harian rakyat Malaysia serta menjadi tonggak pembangunan negara. Tangan ditampilkan sebagai simbol utama, mewakili hubungan langsung antara statistik dengan rakyat. Latar belakang duit syiling berbentuk elemen bulatan melambangkan aliran data yang berterusan, mencerminkan sifat maklumat yang dinamik. Gabungan motif tangan dan bulatan ini menekankan pendekatan yang memfokuskan pada insan, serta meletakkan statistik sebagai daya pemacu kemajuan dan kesejahteraan negara.
Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling numismatik ini dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling. Pada bahagian tengahnya, logo ulang tahun ke-75 perkhidmatan statistik dipaparkan dengan jelas, sebagai penghormatan kepada peranan penting DOSM dalam pembangunan negara. Nilai muka
“10 RINGGIT” bagi duit syiling perak sterling dan “1 RINGGIT” bagi duit syiling emas Nordic tertera pada bahagian bawah keliling duit syiling.
Jualan Duit Syiling Peringatan
Duit syiling peringatan ini dijual secara individu. Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai, had pembelian dikenakan untuk setiap reka bentuk. Setiap individu boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu duit syiling perak sterling (pruf) dan maksimum lima duit syiling emas Nordic (B.U.).
Orang ramai boleh membuat pesanan melalui laman sesawang duit.bnm.gov.my bermula pukul 12:00 tengahari Jumaat, 7 November 2025 hingga 8:59 pagi Isnin, 17 November 2025.
Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi kuantiti yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.
Lampiran
Spesifikasi Teknikal Duit Syiling
Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10% dan berdasarkan harga semasa bahan yang digunakan.
Bank Negara Malaysia
7 November 2025
Sumber asal: www.bnm.gov.my




No comments:
Post a Comment