Cari Post lain disini

Wednesday, October 2, 2024

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Pertabalan KYDMM SPB Yang di-Pertuan Agong ke-XVII

Embargo : Untuk siaran segera
2 Okt 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh Belas pada 20 Julai 2024.

Duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam tiga denominasi:

Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 8 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM3,250 sekeping. Sejumlah 300 keping telah ditempa.

Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 31 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,300 keping telah ditempa.

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling emas Nordic B.U. ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga dijual sebagai Set 2 dalam 1 yang mengandungi sekeping duit syiling perak sterling (pruf) dan sekeping duit syiling emas Nordic (pruf). Harga jualan setiap set ialah RM330. Sejumlah 1,300 set tersedia untuk pembelian.

Maklumat teknikal mengenai duit syiling peringatan ini diperincikan dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:


Nota:
  1. Dari kiri ke kanan: Duit syiling perak sterling (pruf), emas Nordic B.U. dan emas (pruf)
  2. Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.
Bahagian Hadapan – Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarbelakangkan corak motif tumbuhan lada hitam.

Nama baginda "SULTAN IBRAHIM" pula tertera pada sekeliling bahagian atas duit syiling.


Nota:
  1. Dari kiri ke kanan: Duit syiling perak sterling (pruf), emas Nordic B.U. dan emas (pruf).
  2. Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.
Bahagian Belakang – Jata Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarbelakangkan corak motif tumbuhan lada hitam.

Teks "PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII" tertera pada sekeliling bahagian atas duit syiling. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini pula dipaparkan pada sekeliling bahagian bawah duit syiling bersama-sama dengan nilai muka “100 RINGGIT” bagi emas (pruf), “10 RINGGIT” bagi perak sterling (pruf) dan “1 RINGGIT” bagi emas Nordic B.U.

Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling emas (pruf), satu keping duit syiling perak sterling (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai pukul 11:00 pagi pada 2 Oktober 2024 hingga pukul 11:00 malam pada 13 Oktober 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST), kecuali duit syiling peringatan emas yang dikecualikan di bawah Klausa 71.18 Perintah Cukai Jualan (Barang Dikecualikan Daripada Cukai) 2022.

Bank Negara Malaysia
2 Oktober 2024

Sumber asal: www.bnm.gov.my

Sunday, September 15, 2024

Berjumpa Sahabat Lama Numismatik Di Muzium Negara, Kuala Lumpur


Pagi tadi tak jadi sarapan dengan Raja Ibrahim Raja Sulaiman, terus lajak ke Muzium Negara. Sempat juga masuk layan Numismatic Auction 2/2024 di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia (Level 1), puas juga mykoleksi dan Mohd Asyraf mencari sebab tak ada "petunjuk".


Orang tua-tua berkata, "malu bertanya sesat jalan". Akhirnya kami mendapat tunjuk arah untuk ke auction, layan sekejap auction dan lepas tu dapat tahu abang Nahar Majid ada di Muzima Cafe.


Apa lagi, mykoleksi pun ke sana la. Lama tak jumpa orang lama numismatik, kira langkah kanan mykoleksi pagi tadi. King masih "otw", Mohd Zameer Abul Hassan pun join sekali. Meriah juga perjumpaan tadi, Abdul Aziz Hashim macam biasa sibuk.


Lama juga kami bersembang, bermula jam 11: 30am sampai ke pukul 3:30pm. Topik perbincangan ringkas dan padat berkaitan dunia hobi numismatik. Masing-masing ada cerita dan pengalaman tersendiri, terima kasih kepada yang berkongsi.


Semoga abang Nahar cepat sembuh seperti sedia kala dan dipermudahkan segala urusan.

Sekian

Wednesday, July 3, 2024

Tiada Kemaskini Maklumat Pen Gabenor

Sebatang Pen Dalam Galeri Bank Negara Malaysia (BNM)

Apabila ada perlantikan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru, mykoleksi mengharapkan ada maklumat berkenaan pen yang digunakan oleh gabenor dalam menandatangani matawang yang bakal dikeluarkan untuk edaran nanti.

Bergambar Kenangan

Gabenor BNM Ke-8 Menandatangani Matawang Menggunakan Pen Jenama BIC 

Malangnya maklumat tersebut tidak di kemaskini di Galeri Bank Negara Malaysia hanya dipamerkan maklumat pen yang digunakan oleh gabenor BNM ke-8, Tan Sri Muhammad bin Ibrahim (1 Mei 2016 - 16 Jun 2018). Anda boleh baca berkenaan pen tersebut di pautan dibawah

Dan


Biasa saja maklumat ni, tak perlu nak kalut pun untuk ambil tahu. Betul, maklumat berkenaan pen ini bagi orang lain biasa saja tapi bagi mykoleksi ianya perlu ada dan sangat menarik untuk peminat dunia hobi numismatik tahu.

Tandatangan Gabenor BNM ke-8, Tan Sri Muhammad bin Ibrahim (1 Mei 2016 - 16 Jun 2018)

Kenapa dahulu tak di kemaskini maklumat pen yang digunakan oleh Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus (1 Julai 2018 - 30 Jun 2023), adakah pihak galeri terlupa?

Cadangan mykoleksi, salah satu yang perlu dipamerkan di Galeri Bank Negara Malaysia adalah maklumat berkenaan pen yang digunakan oleh setiap gabenor BNM bagi tandatangan matawang semasa tempoh perkhidmatan.

Yang mencari info,
mykoleksi


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute