Cari Post lain disini

Sunday, August 1, 2021

Benarkah Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) "Aishah" Wujud?

Wang Kertas RM1 Tandatangan Gabenor "Aishah"

Ini gambar wang kertas RM1 yang dikatakan telah ditandatangani oleh gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) bernama "Aishah", benarkah gabenor BNM "Aishah" wujud? dalam penulisan kali ini mykoleksi akan merungkaikan persoalan tersebut satu per satu sehingga kita bertemu jawapan dan fakta sebenar.

Tandatangan gabenor "Aishah" mula popular apabila mula tersebarnya cerita wang kertas RM1 "Aishah" dikatakan berharga mahal sehinggakan mencecah harga ribuan ringgit (bergantung kepada kondisi atau gred) sekitar tahun 2016, maka semakin ramai orang mencuba nasib mencari wang kertas tersebut dengan harapan boleh jadi cepat kaya. Apa yang peliknya, kenapa hanya wang kertas RM1 saja yang dicari berbanding dengan denominasi lain.

Kita lupakan dahulu cerita wang kertas RM1 yang dikatakan mahal itu, sekarang kita fokus untuk mencari jawapan kepada persoalan kita berkenaan dengan gabenor BNM "Aishah". mykoleksi akan cuba fahamkan anda dengan sebaik mungkin supaya selepas anda baca perkongsian ini, anda akan dapat tahu jawapanya dengan jelas.

Apabila kita tidak pasti atau tidak tahu tentang sesuatu perkara, elok kita merujuk atau bertanya kepada mereka yang ada jawapannya. Itulah yang mykoleksi selalu buat bila hendak tahu tentang sesuatu perkara yang tidak pasti. Dalam kes ini, banyak sumber yang kita boleh rujuk untuk mendapatkan jawapan antaranya:

1. Website Rasmi BNM

Perkara yang paling asas untuk anda mengetahui atau berkenalan dengan Gabenor BNM adalah dengan melayari ke laman sesawang (website) rasmi BNM, disana sepatutnya anda boleh mendapatkan jawapannya. Caranya mudah saja iaitu dengan buat carian di website BNM dengan hanya menaip "gabenor". 

Buat Carian Dalam Laman Sesawang BNM

Anda boleh klik pada "Governors - Bank Negara Malaysia" --> klik Bahasa Malaysia (BM) dan kemudian akan terpapar gambar gabenor terkini iaitu Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus (Gabenor ke-9). bagi melihat senarai gabenor terdahulu, anda boleh klik pada "Senarai Gabenor Terdahulu". 

Senarai Gabenor BNM Dahulu Hingga Sekarang

Disini anda dapat tahu senarai gabenor BNM bermula tahun 1959 sehingga sekarang, ada sembilan (9) gabenor semuanya. Anda boleh rujuk dibawah:

1. Tan Sri W.H. Wilcock 
    Januari 1959 - Julai 1962

2. Tun Ismail bin Mohamed Ali
    Julai 1962 - Julai 1980

3. Tan Sri Abdul Aziz bin Taha
    Julai 1980 - Jun 1985

4. Tan Sri Dato' Jaffar bin Hussein
    Jun 1985 - Mei 1994

5. Tan Sri Dato' Ahmad bin Mohd Don
    Mei 1994 - Ogos 1998

6. Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman
    September 1998 - April 2000

7. Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz
    Mei 2000 - April 2016

8. Tan Sri Muhammad bin Ibrahim
    Mei 2016 - Jun 2018

9. Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus
    Berkuatkuasa 1 July 2018 - Sekarang

Dalam senarai tersebut, cukup jelas tiada gabenor BNM yang bernama "Aishah". Nama gabenor wanita yang ada hanya "Zeti Aziz" (Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz) dan "Shamsiah" (Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus). Cuma sekarang, kita belum dapat pastikan lagi siapakah pemilik tandatangan yang dikatakan gabenor "Aishah" kerana dalam website BNM tidak disertakan sekali gambar tandatangan bagi setiap Gabenor BNM.

Boleh jadi tandatangan yang kita cari sekarang mungkin milik wanita atau lelaki, pencarian pemilik tandatangan masih diteruskan. 

Bagaimana nak cari contoh tandatangan gabenor BNM?

2. Misi Mencari Tandatangan Gabenor

Mencari tandatangan gabenor sebenarnya mudah sahaja sekiranya kita tahu caranya, memang pada setiap wang kertas keluaran BNM ada tandatangan gabenor tetapi bagi mereka yang bukan ahli dalam dunia hobi numismatik, sudah pasti tidak tahu tandatangan pada wang kertas tersebut milik gabenor mana satu kerana tidak di nyatakan nama gabenor pada tandatangan. 

Tempat yang mudah untuk anda dapatkan maklumat tentang tandatangan gabenor BNM sudah pasti di Muzium Numismatik BNM yang terletak di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Selain itu, buku laporan tahunan BNM, buku atau majalah keluaran BNM, certificate yang dikeluarkan untuk setiap keluaran duit syiling peringatan dan surat rasmi yang pernah ditandatangan oleh gabenor BNM semasa mereka berkhidmat boleh dijadikan rujukan untuk kita mendpatkan tandatangan mereka.

Contoh Sumber Tandatangan Gabenor BNM

Gambar di atas antara contoh sumber yang anda boleh rujuk untuk dapatkan contoh tandatangan Gabenor BNM yang sahih, bagi memudahkan anda mykoleksi ada menyediakan ringkasan senarai Gabenor BNM beserta tandatangan dan sedikit maklumat ringkas. Maklumat tersebut diperolehi hasil rujukan daripada pelbagai sumber termasuklah BNM.

Maklumat Gabenor BNM & Tandatangan

Merujuk kepada maklumat tersebut, kita dapat lihat yang tandatangan yang hampir sama dengan gabenor "Aishah" yang menjadi buruan ramai adalah sebenarnya milik gabenor BNM ke-6 iaitu Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman sebelum tempatnya diambil alih oleh Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. 

Gabenor BNM "Aishah" & Tandatangan

Sekarang mykoleksi rasa anda sudah jelas tentang siapa gabenor BNM "Aishah" atau anda rasa masih ada lagi fakta lain yang mykoleksi masih sembunyikan kerana anda masih mengharap wang kertas RM1 ditandatangani oleh seorang wanita yang bernama "Aishah".

Biasalah mykoleksi faham, bukan mudah untuk memberi orang lain faham sesuatu fakta yang di momok selama ini sehingga ada bermacam macam versi cerita popular antaranya:
  1. Wang kertas ditandatngan oleh YAM Permaisuri "Aishah"
  2. Wang kertas RM1 ini dikeluarkan oleh Bank Negara Bunian (BNB) 
Sebelum mykoleksi menerangkan tentang 2 versi cerita tersebut, anda terpaksa layan dulu penerangan mykoleksi berkenaan Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman, nanti mykoleksi sambung dengan dua (2) cerita diatas.

3. Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman

Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman Gabenor BNM ke-6 

Anda perlu mengenali dulu siapakah Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman atau paling popular dipanggil oleh mereka yang bukan dalam dunia hobi numismatik sebagai gabenor "Aishah". Boleh jadi tempoh beliau memegang jawatan sebagai gabenor BNM agak singkat iaitu 1 tahun 7 bulan 24 hari menjadikan beliau kurang dikenali, bila keluar cerita gabenor BNM bernama "Aishah" terus orang percaya. 

  • Nama Penuh: Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan Sulaiman
  • Tarikh Lahir: 3 April 1941
  • Tempat Kelahiran: Pulau Pinang
  • Pendidikan Tertinggi: 
    • Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (1965) dan Sarjana Ekonomi Pembangunan (1972), Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat
  • Tempoh Perkhidmatan Sebagai Gabenor: 7 September 1998 - 30 April 2000

Ringkasan:

  • Dilantik sebagai Gabenor BNM pada 7 September 1998
  • Sebelum ini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri 
  • Beliau mengamalkan dasar proaktif dan mesra perniagaan untuk memulihkan ekonomi memandangkan pada beliau mengambil jawatan Gabenor BNM Krisis Kewangan Asian (Krisis Matawang Asia) masih berlaku.
  • Pada 29 Julai 1999, BNM mengumumkan program penggabungan bagi sektor perbankan domestik yang melibatkan 55 institusi perbankan Malaysia bergabung ke dalam 6 bank utama
  • Keperluan untuk Bank tempatan bergabung menjadi penting apabila organisasi perdagangan dunia memberi tekanan kepada negara untuk membuka pasaran kewangan mereka kepada bank asing
  • Pada bulan Ogos 1999, penggabungan 6 bank utama di Malaysia bermula. Bank utama ialah Malayan Banking Bhd, Bank of Commerce (M) Bhd/Bank Bumiputra Malaysia Berhad, Public Bank Bhd, Southern Bank Bhd, Perwira Affin Bank Bhd dan Multi-Purpose Bank Berhad.
  • Pada bulan Oktober 1999 Semua 58 institusi perbankan domestik, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan telah menandatangani satu memorandum persefahaman berkenaan dengan program penggabungan.
  • Beberapa bulan kemudian, BNM memansuhkan pelan tindakan tersebut dan membenarkan bank untuk memilih rakan-rakan mereka sendiri dalam penggabungan dijangka selesai pada Disember 2000.
  • Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan Sulaiman bersara sebagai Gabenor BNM pada 1 Mei 2000

Hasil kajian mykoleksi, terdapat empat (4) "variety" tandatangan gabenor Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman (AAH) mykoleksi jumpa setakat ini yang diambil daripada pelbagai sumber:

"Variety" Tandatangan Gabenor AAH
  1. Wang kertas RM50 siri ke-19 yang ditandatangan pada bahagian sisi
  2. Wang kertas RM1 siri ke-10 dengan prefix CR72xxxxx
  3. Surat gabenor BNM kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) bertarikh 31 Mac 1999.
  4. Gambar tandatangan Gabenor BNM di pameran 'Demi Tanah Air : 60 Tahun Sebagai Bank Pusat'.

Bukti "variety" tandatangan ini sudah cukup jelas untuk menyangkal fakta yang tandatangan tersebut dimiliki oleh gabenor BNM wanita bernama "Aishah". Bagi memuaskan lagi hati anda, mykoleksi akan bawakan lagi dua (2) fakta yang mykoleksi janji tadi dengan harapan boleh membuatkan anda lebih jelas.

4. Yang Amat Mulia (YAM) Permaisuri Hajjah Siti Aishah 

YAM Permaisuri Hajjah Siti Aishah

Kenalkah anda dengan wanita ini?

Baginda adalah Yang Amat Mulia Permaisuri Hajah Siti Aishah Binti Dato' Seri Abdul Rahman yang berasal daripada golongan kebanyakkan (rakyat biasa) yang dilahirkan sebagai Siti Aishah Binti Abdul Rahman pada 18 November 1971 di Kuala Lumpur. Baginda merupakan puteri sulung daripada 3 beradik perempuan bagi pasangan YBhg Lef Kol Dato' Seri Abdul Rahman Bin Tan Sri Muhammad Yatim dan YBhg Datin Seri Shamsinar Abdul Rahman. 

Baginda mendapat pendidikan di sekolah Rendah Jalan Gurney, kemudian meneruskan persekolahan ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Puteri Titiwangsa, Kuala Lumpur dan seterusnya meneruskan pengajian ke peringkat tinggi di Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Kota Bharu, Kelantan dalam bidang perbankan.

Pada 3 Mei 1990, baginda mendirikan mahligai bahagia bersama DYMM Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj ketika umurnya 19 tahun manakala Almarhum Sultan Salahuddin berumur 64 tahun. Perbezaan umur 45 tahun tidak menghalang pasangan diraja ini untuk berumah tangga, Permaisuri Aishah dikurniakan gelaran Yang Teramat Mulia Cik Puan Besar Selangor.

Setelah kemangkatan Almarhum DYMM Tengku Ampuan Rahimah pada tahun 1993, pada tahun 1998 Permaisuri Aishah telah dikurniakan gelaran Tuanku dan ditabalkan sebagai Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor. Baginda berdua telah menaiki takhta kerajaan Persekutuan sebagai Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada 26 April 1999 sehingga 21 November 2001. Permaisuri Aishah mencipta rekod sebagai Raja Permaisuri Agong termuda dalam sejarah apabila menaiki takhta di usia 28 tahun.

Baginda merupakan seorang permaisuri yang cukup popular dan sangat dekat di hati rakyat sewaktu bergelar Raja Permaisuri Agong XI kerana sering mencemar duli menghadiri majlis-majlis keraian dan mengiringi Almarhum Sultan Salahuddin ke luar negara, Baginda turut menjadi penaung persatuan dan badan amal antaranya: 
  1. Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM).
  2. Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Negeri Selangor.
  3. Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Negeri Selangor.
  4. Badan Amal Kebajikan Isteri Selangor (Balkis) Negeri Selangor.
  5. Persatuan Pandu Puteri Negeri Selangor.
  6. Persatuan Jantung Hatiku.
  7. Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Itulah serba sedikit kisah ringkas berkenaan YAM Permaisuri Hajah Siti Aishah Abdul Rahman yang mykoleksi rasa anda perlu tahu, baginda amat popular sekitar tahun 1999 - 2001 dan kebetulan nama baginda pula "Aishah" yang seakan sama dengan tandatangan yang terdapat pada wang kertas RM1 yang kembali popular sekitar 2016 seperti yang mykoleksi tulis sebelum ini.

Adakah anda tahu bagaimana rupanya tandatangan YAM Permaisuri Hajah Siti Aishah?

Tandatangan YAM Permaisuri Hajah Siti Aishah 

Itulah rupa bentuk tandatangan YAM Permaisuri Hajah Siti Aishah, dengan adanya bukti ini sudah pasti ianya dapat memadamkan cerita tahyul berkaitan tandatngan wang kertas tandatangan Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman milik gabenor BNM wanita atau YAM Permaisuri Hajah Siti Aishah.

Sekiranya anda masih tidak berpuas hati lagi dengan fakta dan bukti yang mykoleksi dedahkan ini, terpulanglah pada anda. Apa-apa pun, anda teruskan lagi membaca fakta mykoleksi yang ke-5 berkenaan "wang kertas Bank Negara Bunian (BNB).

5. Wang Kertas Bank Negara Bunian (BNB)

Pandangan mykoleksi, inilah kisah yang paling tak masuk akal dalam dunia hobi numismatik apabila ada sesuatu fakta yang pelik yang orang kaitkan dengan "bunian", mungkin itu saja jalan penyelesaian selamat yang mudah untuk memberikan orang yang "kurang berfikir" setuju dan percaya dengan fakta mereka.

Kenapa Bank Negara Malaysia?

Jika benar wang kertas RM1 "Aishah" itu dikeluarkan atau sah diperlakukan dengan nilai di negara Bunian, kenapa masih tertera perkataan "Bank Negara Malaysia" pada wang kertas RM 1 Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan atau AAH tersebut? mykoleksi tinggalkan persoalan tersebut supaya anda fikirkan. 

Semoga apa yang mykoleksi sampaikan pada kali ini dapat memberikan penjelasan serta membuka mata anda yang gabenor BNM bernama "Aishah" tidak wujud, gabenor yang diberi jolokan sebagai "Aishah" tersebut sebenarnya gabenor BNM ke-6, Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman yang memegang jawatan sebagai gabenor bermula 7 September 1998 - 30 April 2000.

Pelbagai fakta dan bukti sudah mykoleksi kongsikan supaya anda tidak hanyut dengan cerita tahyul dan karut-marut mereka yang tidak bertanggungjawab, terpulanglah kepada anda samada masih ingin percaya yang pemilik tandatangan tersebut adalah gabenor BNM "Aishah" kerana mykoleksi tahu bukan mudah nak perbetulkan kepercayaan yang sudah sebati dengan orang yang tidak mahu berubah, apa yang kita boleh buat hanyalah berdoa kepada Allah supaya mereka berubah.

Ingatlah, sesungguhnya gabenor BNM bernama "Aishah" tidak wujud. Gabenor yang dikatakan "Aishah" tersebut adalah Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman (AAH).

Yang berkawan dengan "Aishah",
mykoleksi

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute