Cari Post lain disini

Showing posts with label Syiling Peringatan. Show all posts
Showing posts with label Syiling Peringatan. Show all posts

Wednesday, January 28, 2026

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun ke-80 Tahun Telekom Malaysia Berhad (1946 - 2026)

Pada Jan 2026, Telekom Malaysia Berhad (TM) telah melancarkan logo rasmi ulang tahun ke-80 TM. Susulan daripada pelancaran tersebut alangkah baiknya sekiranya TM berkerjsama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengeluarkan Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun ke-80 Tahun Telekom Malaysia Berhad (1946 - 2026).

Pengeluaran duit syiling ini akan menjadi satu bentuk penghargaan tertinggi terhadap peranan TM sebagai nadi transformasi digital negara sejak penubuhannya pada 1 April 1946. Selama lapan dekad, TM telah berevolusi daripada sebuah jabatan kerajaan (Jabatan Telekom) kepada sebuah entiti global yang memacu ketersambungan negara.

Sekiranya TM ada merancang untuk mengeluarkan duit syiling peringatan, mykoleksi rasa terpanggil untuk menyumbang idea. Ini merupakan salah satu projek suka-suka mykoleksi, mana tahu ianya boleh menjadi realiti. Sudah pasti mykoleksi dan peminat dunia hobi numsmatik akan menyambut baik berita ini.

Jom kita sama-sama melihat idea projek suka-suka mykoleksi ini

Duit syiling peringatan ini mykoleksi cadangkan dikeluarkan dalam 3 denominasi

1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 8 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM5,900 sekeping. Sebanyak 300 keping ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan setiap keping beratnya ialah 31.1 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM580 sekeping. Sebanyak 800 keping sahaja ditempa dengam bahagian hadapan dan belakang sebahagian berwarna.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada campuran beberapa logam terutamanya tembaga dalam kemasan tanpa kilat dan setiap keping beratnya ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan harga jualannya RM16.50 sekeping. Sebanyak 8,000 keping sahaja ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga boleh didapati dalam set 2 dalam 1 dan 3 dalam 1. Set ini 2 dalam 1 mengandungi duit syiling perak berwarna (pruf) dan duit syiling emas Nordic (pruf) manakala set 3 dalam 1 pula terdiri daripada duit syiling emas (pruf), duit syiling perak berwarna (pruf) dan duit syiling emas Nordic (pruf). Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini dan harga terdapat dalam Lampiran I.

Lampiran I

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 Telekom Malaysia Berhad (TM)

Spesifikasi Teknikal


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10% dan berdasarkan harga semasa bahan yang digunakan.

Reka Bentuk Duit Syiling

Duit syiling peringatan ini dikeluarkan khas untuk meraikan lapan dekad kecemerlangan dan inovasi Telekom Malaysia Berhad (TM) dalam memacu transformasi digital negara.

1. Rekabentuk Bahagian Hadapan

Rekabentuk Bahagian Hadapan Duit Syiling

Bahagian hadapan memberikan penghormatan kepada warisan dan evolusi teknologi organisasi: 

  • Logo Sambutan 80 Tahun: Menampilkan angka "80" yang digabungkan secara artistik dengan identiti korporat TM untuk melambangkan kestabilan dan inovasi.
  • Slogan "TM Merentasi Generasi": Melambangkan peranan organisasi dalam menghubungkan rakyat Malaysia merentasi pelbagai zaman.
  • Latar Belakang Litar Digital: Corak litar bersepadu yang memenuhi latar belakang menggambarkan teras perniagaan dalam bidang ICT dan teknologi digital.
  • Sambutan Ulang Tahun: Terukir nama "80 TAHUN TELEKOM MALAYSIA BERHAD" pada bahagian atas secara melengkung.
  • Tahun Jubli (1946 – 2026): Menandakan garis masa sejarah 80 tahun organisasi tersebut yang bermula pada 1 April 1946 – 1 April 2026. 

2. Rekabentuk Bahagian Belakang

Rekabentuk Bahagian Belakang Duit Syiling

Bahagian belakang menonjolkan visi strategik dan keterhubungan global Malaysia:

  • Peta Malaysia (Jalur Gemilang): Peta Malaysia yang dihiasi corak Jalur Gemilang melambangkan kedaulatan, identiti kebangsaan, dan Integrasi Nasional.
  • Menara TM dan Latar Langit: Visual Menara TM atau dikenali juga sebagai Menara Rebung yang ikonik melambangkan kemajuan infrastruktur telekomunikasi, manakala lakaran latar langit bandar menunjukkan pembangunan moden Malaysia.
  • Jaringan Global: Latar belakang yang memaparkan peta dunia berbentuk sfera dengan garisan rangkaian melambangkan keterhubungan antarabangsa.
  • Identiti Pihak Berkuasa: Perkataan "BANK NEGARA MALAYSIA" tertera di bahagian atas sebagai institusi pengeluar rasmi.
  • Denominasi: Nilai muka “1 Ringgit”, "10 RINGGIT" dan “100 RINGGIT” terletak di bahagian bawah dengan tulisan atau ukiran yang jelas.

Cadangan Rekabentuk Kotak dan Kad Khas Duit Syiling (Coin Card)

Set 3 Dalam 1 Dalam Kotak Kayu

Kad Khas Duit Syiling (Coin Card)

Jualan Duit Syiling Peringatan

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun ke-80 Tahun Telekom Malaysia Berhad ini TIDAK DIJUAL kerana ianya hanyalah sebuah ilustrasi dan imaginasi kreatif daripada mykoleksi. Artikel ini TIDAK mempunyai sebarang kaitan rasmi dengan pihak Telekom Malaysia Berhad (TM) mahupun Bank Negara Malaysia (BNM).

Namun, secara peribadi sekiranya duit syiling secantik ini benar-benar dikeluarkan untuk tempahan. Sudah pasti mykoleksi akan menjadi orang pertama yang membuat tempahan untuk membelinya, memang wajib memilikinya sebagai salah satu item koleksi numismatik.

Jika duit syiling ini betul-betul dikeluarkan, adakah anda sebagai peminat dunia hobi numismatik akan bersedia untuk membuat tempahan untuk membelinya?

Yang berharap.
mykoleksi

Friday, November 7, 2025

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Edisi Terhad ASEAN25 dan DOSM75

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pengeluaran dua duit syiling peringatan edisi terhad bagi memperingati pencapaian yang berikut:
  1. Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 (ASEAN25)
  2. Ulang Tahun ke-75 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM75)
ASEAN25

Siri ASEAN25 terdiri daripada:

  • Sekeping duit syiling perak sterling pruf berwarna, dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.
  • Set dua keping duit syiling emas Nordic brilliant uncirculated (B.U.) yang diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram setiap satu dan nilai muka RM1 bagi setiap syiling. Duit syiling kategori ini dijual sebagai satu set yang mengandungi dua keping duit syiling bagi menyerlahkan keunikan reka bentuknya, pada harga  RM24.20 setiap set. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 5,000 set.
  • Set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf berwarna dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM396 setiap set.
DOSM75

Siri DOSM75 terdiri daripada:
  • Sekeping duit syiling perak sterling pruf, dengan ketulenan 92.5% dan berat 31 gram. Duit syiling ini mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM363 setiap satu. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 keping.
  • Sekeping duit syiling emas Nordic (B.U.), diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram dan nilai muka RM1. Duit syiling ini akan dijual pada harga RM16.50 setiap satu dengan kuantiti tempaan sebanyak 5,000 keping.
  • Set 2 dalam 1 yang mengandungi satu keping duit syiling perak sterling pruf dan satu keping duit syiling emas Nordic pruf. Kuantiti tempaan adalah sebanyak 1,000 set dan akan dijual pada harga RM396 setiap set.
Maklumat teknikal mengenai kesemua duit syiling peringatan ini diperincikan dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz sebenar duit syiling.

1. ASEAN25


Bahagian Hadapan – Reka bentuk ini diinspirasikan daripada konsep kesinambungan, dengan menggabungkan elemen tenunan tradisional sebagai motif utamanya. Motif ini mengalir secara bersambung dari bahagian hadapan ke bahagian belakang syiling, menjadikannya yang pertama dalam sejarah reka bentuk numismatik Malaysia. Reka bentuk ini menampilkan logo rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan bola api yang digayakan, yang melambangkan semangat dinamik dan progresif semua negara anggota ASEAN. Tulisan “ASEAN-MALAYSIA 2025” tertera pada bahagian atas kanan keliling duit syiling sebagai memperingati peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

Bahagian Belakang – Motif tenunan diteruskan pada bahagian belakang, melambangkan hubungan kukuh dan kerjasama berterusan antara negara anggota ASEAN. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling numismatik ini dipaparkan pada sekeliling bahagian atas kiri duit syiling. Nilai muka tertera sebagai “10 RINGGIT” bagi duit syiling perak sterling dan “1 RINGGIT” bagi duit syiling emas Nordic.

2. DOSM75

Bahagian Hadapan – Bertemakan “STATISTIK NADI KEHIDUPAN”, konsep reka bentuk ini menegaskan idea bahawa statistik bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan kehidupan harian rakyat Malaysia serta menjadi tonggak pembangunan negara. Tangan ditampilkan sebagai simbol utama, mewakili hubungan langsung antara statistik dengan rakyat. Latar belakang duit syiling berbentuk elemen bulatan melambangkan aliran data yang berterusan, mencerminkan sifat maklumat yang dinamik. Gabungan motif tangan dan bulatan ini menekankan pendekatan yang memfokuskan pada insan, serta meletakkan statistik sebagai daya pemacu kemajuan dan kesejahteraan negara.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa pengeluar duit syiling numismatik ini dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling. Pada bahagian tengahnya, logo ulang tahun ke-75 perkhidmatan statistik dipaparkan dengan jelas, sebagai penghormatan kepada peranan penting DOSM dalam pembangunan negara. Nilai muka
“10 RINGGIT” bagi duit syiling perak sterling dan “1 RINGGIT” bagi duit syiling emas Nordic tertera pada bahagian bawah keliling duit syiling.

Jualan Duit Syiling Peringatan

Duit syiling peringatan ini dijual secara individu. Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai, had pembelian dikenakan untuk setiap reka bentuk. Setiap individu boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu duit syiling perak sterling (pruf) dan maksimum lima duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat pesanan melalui laman sesawang duit.bnm.gov.my bermula pukul 12:00 tengahari Jumaat, 7 November 2025 hingga 8:59 pagi Isnin, 17 November 2025.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi kuantiti yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.
 
Lampiran

Spesifikasi Teknikal Duit Syiling


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak 10% dan berdasarkan harga semasa bahan yang digunakan.

Bank Negara Malaysia
7 November 2025

Sumber asal: www.bnm.gov.my

Wednesday, December 4, 2024

Berita Tergempar - Tiga Reka Bentuk Duit Syiling Peringatan Edisi Terhad Tersedia untuk Jualan Menerusi Laman Sesawang BNM

Embargo : Untuk siaran segera
3 Dis 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan pengeluaran tiga duit syiling peringatan yang berbeza bersempena dengan acara-acara yang berikut:
  1. Ulang Tahun ke-150 Jabatan Kerja Raya (JKR);
  2. Ulang Tahun ke-50 Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA); dan
  3. Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China (MCDR).
Kesemua duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)

Duit syiling peringatan untuk JKR menampilkan bentuk heksagon yang unik, iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia dan menyerupai bentuk logo JKR. Duit syiling tersebut diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5% dan mempunyai berat 29.9 gram. Ia mempunyai nilai muka RM10. Duit syiling ini didatangkan dengan kotak kayu premium dan akan dijual pada harga RM440 sekeping.

Duit syiling peringatan untuk RISDA dan MCDR diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5% dan mempunyai berat 31 gram. Setiap duit syiling mempunyai nilai muka RM10 dan akan dijual pada harga RM330 sekeping

Kuantiti tempaan adalah 1,000 keping bagi setiap reka bentuk.
 
2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain seberat 8.5 gram. Duit syiling tersebut mempunyai nilai muka RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping.

Kuantiti tempaan adalah 5,000 keping bagi setiap reka bentuk.

Duit syiling-duit syiling peringatan ini akan turut dijual dalam Set 2 dalam 1 yang terdiri daripada sekeping duit syiling perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Set 2 dalam 1 untuk JKR akan dijual pada harga RM495 manakala untuk RISDA dan MCDR akan dijual pada harga RM385 setiap satu set. Sebanyak 1,000 set tersedia untuk pembelian bagi setiap reka bentuk.

Makluman teknikal mengenai duit syiling-duit syiling peringatan ini diperincikan dalam Lampiran.
 
Reka Bentuk Duit Syiling
 
i) JKR
a) Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)


Bahagian Hadapan – Konsep reka bentuk duit syiling ini memperingati peranan penting JKR dalam pembangunan infrastruktur negara sepanjang tempoh 150 tahun yang lalu. Di bahagian tengah duit syiling ini adalah Menara Kerja Raya iaitu kompleks pejabat utama JKR. Latar belakang duit syiling menampilkan corak geometri yang diinspirasikan daripada elemen reka bentuk yang terdapat pada Menara Kerja Raya. Siluet sekumpulan kru pembinaan di sebelah kiri duit syiling adalah simbolik kepada tenaga kerja JKR, yang merupakan tulang belakang kepada pelaksanaan projek pembangunan dan penyelenggaraan aset infrastruktur.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada bahagian atas duit syiling. Logo ulang tahun JKR yang ke-150 dipaparkan pada bahagian kiri duit syiling, dengan nilai muka “10 RINGGIT” digambarkan di sebelah kanan. Siluet berulang bentuk logo JKR digunakan sebagai latar belakang duit syiling ini.
 
b. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)


Bahagian Hadapan – Menara Kerja Raya digambarkan di bahagian sebelah kiri duit syiling manakala koleksi pelbagai bangunan kerajaan dan infrastruktur lain yang dilaksanakan oleh JKR selama ini dipaparkan di sebelah kanan atas duit syiling. Di bahagian kanan bawah menampilkan siluet kru pembinaan yang sedang bekerja.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan di bahagian atas duit syiling.  Logo ulang tahun JKR yang ke-150 ditunjukkan pada bahagian tengah duit syiling. Duit syiling ini turut memaparkan corak geometri yang diinspirasikan daripada elemen reka bentuk yang terdapat pada Menara Kerja Raya. Nilai muka duit syiling - 1 RINGGIT – dipaparkan di bahagian bawah duit syiling.
 
ii) RISDA


Bahagian Hadapan – Konsep reka bentuk duit syiling ini diilhamkan daripada misi penting RISDA, yang ditubuhkan untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi komuniti pekebun kecil getah di Malaysia. Seorang penoreh getah dipaparkan dengan jelas di bahagian hadapan duit syiling. Bahagian kiri atas duit syiling menggambarkan imej produk-produk lain oleh komuniti pekebun kecil, yang dibawa ke pasaran dengan sokongan RISDA melalui RisSMart. Siluet seorang kanak-kanak dan seorang graduan di sebelah kanan duit syiling menandakan usaha RISDA dalam pembangunan modal insan.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian kanan duit syiling, dengan nilai muka “10 RINGGIT” untuk perak sterling atau “1 RINGGIT” untuk emas Nordic. Logo ulang tahun RISDA yang ke-50 dipaparkan di bahagian atas duit syiling dengan berlatarbelakangkan imej batang pokok getah yang digayakan.
 
 iii) MCDR 


Bahagian Hadapan – Reka bentuk ini memberi penghormatan kepada persahabatan yang kekal, kerjasama dan saling menghormati antara Malaysia dan China sepanjang lima dekad yang lalu. Reka bentuk duit syiling ini menampilkan harimau Malaya dan panda gergasi yang merupakan ikon bagi kedua-dua negara. Mereka digandingkan bersebelahan dengan gelung infiniti, melambangkan hubungan yang lama dan rapat antara kedua-dua negara.

Bahagian Belakang – Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian kanan duit syiling, dengan nilai muka “10 RINGGIT” untuk perak sterling atau “1 RINGGIT” untuk emas Nordic. Motif tekstil tradisional songket dan motif bunga Cina digambarkan dengan simbol yin-yang, melambangkan hubungan yang saling melengkapi dan mesra antara kedua-dua negara.
 
Semua reka bentuk duit syiling peringatan tersedia untuk dijual pada hari ini

Ketiga-tiga reka bentuk duit syiling peringatan berbeza ini akan dijual secara berasingan. Bagi memberikan peluang yang adil kepada orang awam untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, akan ada had pembelian bagi setiap reka bentuk iaitu satu set 2 dalam 1, satu duit syiling pruf perak sterling berwarna dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.) bagi setiap orang.

Orang awam boleh membuat tempahan menerusi pautan duit.bnm.gov.my mulai hari ini hingga 5:00 pagi Isnin, 9 Disember 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang tersebut, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.
 

Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bank Negara Malaysia
3 Disember 2024

Sumber asal: www.bnm.gov.my

Wednesday, October 2, 2024

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Pertabalan KYDMM SPB Yang di-Pertuan Agong ke-XVII

Embargo : Untuk siaran segera
2 Okt 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh Belas pada 20 Julai 2024.

Duit syiling peringatan ini dikeluarkan dalam tiga denominasi:

Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 8 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM3,250 sekeping. Sejumlah 300 keping telah ditempa.

Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 31 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,300 keping telah ditempa.

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling emas Nordic B.U. ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan berat setiap keping ialah 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga dijual sebagai Set 2 dalam 1 yang mengandungi sekeping duit syiling perak sterling (pruf) dan sekeping duit syiling emas Nordic (pruf). Harga jualan setiap set ialah RM330. Sejumlah 1,300 set tersedia untuk pembelian.

Maklumat teknikal mengenai duit syiling peringatan ini diperincikan dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:


Nota:
  1. Dari kiri ke kanan: Duit syiling perak sterling (pruf), emas Nordic B.U. dan emas (pruf)
  2. Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.
Bahagian Hadapan – Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarbelakangkan corak motif tumbuhan lada hitam.

Nama baginda "SULTAN IBRAHIM" pula tertera pada sekeliling bahagian atas duit syiling.


Nota:
  1. Dari kiri ke kanan: Duit syiling perak sterling (pruf), emas Nordic B.U. dan emas (pruf).
  2. Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.
Bahagian Belakang – Jata Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarbelakangkan corak motif tumbuhan lada hitam.

Teks "PERTABALAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVII" tertera pada sekeliling bahagian atas duit syiling. Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini pula dipaparkan pada sekeliling bahagian bawah duit syiling bersama-sama dengan nilai muka “100 RINGGIT” bagi emas (pruf), “10 RINGGIT” bagi perak sterling (pruf) dan “1 RINGGIT” bagi emas Nordic B.U.

Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling emas (pruf), satu keping duit syiling perak sterling (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai pukul 11:00 pagi pada 2 Oktober 2024 hingga pukul 11:00 malam pada 13 Oktober 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST), kecuali duit syiling peringatan emas yang dikecualikan di bawah Klausa 71.18 Perintah Cukai Jualan (Barang Dikecualikan Daripada Cukai) 2022.

Bank Negara Malaysia
2 Oktober 2024

Sumber asal: www.bnm.gov.my

Monday, July 1, 2024

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara

Embargo : Untuk siaran segera
1 Jul 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)

Duit syiling berbentuk segi empat tepat yang pertama di Malaysia ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 32.7 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM330 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan mempunyai berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM385. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Butiran terperinci mengenai duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (Pruf)

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.


Bahagian Hadapan – Bahagian atas duit syiling memaparkan teks “JUBLI INTAN”, menandakan ulang tahun ke-75 JPN. Bahagian kiri duit syiling memaparkan bayang warganegara Malaysia mengikut pelbagai peringkat umur, yang melambangkan fungsi utama JPN dalam pendaftaran peristiwa penting individu. Olahan imej folder pada bahagian kanan duit syiling menggambarkan kepelbagaian rekod pendaftaran yang dikendalikan oleh JPN sebagai agensi utama pengurusan rekod penduduk negara ini sejak tahun 1948. Diilhamkan oleh transformasi digitalnya yang selaras dengan Pelan Identiti Digital Nasional 2020, olahan bentuk iris melambangkan inisiatif pendigitalan terkini JPN.

Bahagian Belakang – Bahagian atas duit syiling memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik. Logo ulang tahun ke-75 JPN dipaparkan pada bahagian kanan syiling, berserta olahan gambaran cap jari pada bahagian kiri.

Teks “10 RINGGIT” dipaparkan pada bahagian bawah kiri duit syiling yang mewakili nilai mukanya.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.


Bahagian Hadapan – Sekelling bahagian atas duit syiling memaparkan teks “JABATAN PENDAFTARAN NEGARA” manakala sekeliling bahagian bawah memaparkan teks “JUBLI INTAN”. Reka bentuk ini diilhamkan oleh aspirasi pemodenan dan inisiatif transformasi digital JPN. Reka bentuk ini turut memaparkan imej cap jari yang dikelilingi oleh pelbagai ikon yang melambangkan peranan utama JPN dalam menguruskan rekod kelahiran, pengenalan, perkahwinan, kewarganegaraan dan kematian.

Bahagian Belakang – Sekeliling bahagian atas kiri duit syiling memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik, dengan logo ulang tahun ke-75 JPN dipaparkan pada sebelah kanan. Teks “1 RINGGIT” ditunjukkan pada bahagian bawah kiri duit syiling yang mewakili nilai mukanya, berlatarbelakangkan bayang olahan MyKad (kad pengenalan).

Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 11:00 pagi Isnin, 1 Julai 2024 hingga 11:00 malam Ahad, 14 Julai 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang Berjaya.
 
Lampiran: Spesifikasi Teknikal


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST).

Bank Negara Malaysia
1 Julai 2024

Tuesday, June 25, 2024

Adakah Duit Syiling Peringatan Sempena Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia - China Bakal Dikeluarkan?

Adakah Itu Duit Syiling Perinagatan Jubli Emas Hubungan Diplomatik Malaysia?

Nampaknya tak lama lagi bakal keluar duit syiling peringatan jubli emas hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, kita sama-sama tunggu pengumuman rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

"Ties That Bind"

Biar BNM melakukan kerja, tak perlu kita jadi "lebih sudu daripada kuah". Apa lagi, terus masuk dalam senarai menunggu duit syiling peringatan yang masih belum dikeluarkan.

Boleh baca juga pautan dibawah

https://www.facebook.com/share/p/j7QWqcEfsmDM2rXE/?mibextid=oFDknk

Sekian, laporan saya

Monday, June 3, 2024

Pembelian Duit Syiling Peringatan 150 Tahun JKR (JKR150) Sudah Dibuka Mulai 1 Mac 2024

Rekabentuk Duit syiling Perak Sterling Berwarna (pruf) bentuk heksagon dan Duit syiling Emas Nordic (B.U.)

Seperti yang kita sedia maklum, duit syiling peringatan sempena ulang tahun ke-150 Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR150) telah dilancarkan pada 5 Disember 2023 bertempat di Dewan Damar Sari, Blok F8, Kompleks F, Putrajaya. Namun sehingga kini kita peminat dunia hobi numismatik masih berteka-teki berkenaan tarikh tempahan duit syiling tersebut, hasil maklumat yang mykoleksi perolehi rupanya sudah lama "pre-order" atau tempahan bagi duit syiling tersebut dibuka.

Kenapa kita tidak dimaklumkan? ini dah kira kes naya bagi peminat dunia hobi numismatik.

Sebelum itu, mari kita lihat dulu beberapa info berkenaan duit syiling yang dikeluarkan khas bagi menghargai sumbangan besar JKR Malaysia kepada pembangunan infrastruktur dan pemodenan negara. Duit syiling ini keluarkan dalam 2 denominasi iaitu.

1. Duit Syiling Perak Sterling Berwarna (pruf)

  • Buat pertama kali di Malaysia, duit syiling ini dihasilkan dalam bentuk heksagon berdasarkan bentuk logo JKR
  • Nilai Muka: 10 Ringgit
  • Berat: 29.9 gram
  • Komposisi: Ag92.5

2. Emas Nordic brilliant uncirculated (B.U.). 

  • Nilai Muka: 1 Ringgit
  • Berat: 8.5 gram 
  • Komposisi: Cu89 Zn5 Al5 Sn1

Duit syiling tersebut dijual mengikut kategori dan kombinasi berikut:

1. Coin Card - syiling Emas Nordic (B.U.) 
  • Dimasukkan dalam satu kad momento. 
  • Ditempa oleh Bank Negara Malaysia sebanyak 5,000 keping
  • Kuantiti terhad sebanyak 1,666 keping diperuntukkan untuk semua warga JKR.
  • Harga Jualan: RM 18.50.
Baki untuk tempahan orang awam dan peminat dunia hobi numismatik:  
5,000 keping - 1,000 keping = 3334 keping

2. Set Single - Syiling Perak Sterling Berwarna (pruf)
  • Syiling Perak Sterling Berwarna (Pruf) di dalam kotak kayu Premium.
  • Ditempa oleh Bank Negara Malaysia sebanyak 1,000 keping
  • Kuantiti terhad sebanyak 333 set diperuntukkan untuk semua warga JKR.
  • Harga Jualan: RM 442.00
Baki untuk tempahan orang awam dan peminat dunia hobi numismatik:  
1,000 keping - 333 keping = 667 keping

3. Set of 2 - Syiling Perak Sterling Berwarna (Pruf) dan Syiling Emas Nordic (Pruf)
  • Syiling Perak Sterling Berwarna (Pruf) dan Syiling Emas Nordic (Pruf) di dalam kotak kayu Premium. 
  • Ditempa oleh Bank Negara sebanyak 1,000 set
  • Kuantiti terhad sebanyak 333 set diperuntukkan untuk semua warga JKR.
  • Harga Jualan : RM 497.00
Baki untuk tempahanut tela orang awam dan peminat dunia hobi numismatik:  
1,000 keping - 333 keping = 667 set

Pre-order duit syiling JKR150 sebenarnya dibuka kepada warga JKR sahaja mulai 1 Mac 2024 (Jumaat) jam 9.00 pagi sebelum jualan umum dibuka oleh Bank Negara Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia sekitar Jun 2024. Link pembelian telah diberikan dan setiap pembelian perlu disertakan bersama pembayaran penuh (resit).

Kemaskini telah dibuat oleh pihak JKR, pembelian secara pre-order tesebut dilanjutkan sehingga 30 Jun 2024. Setiap pembelian yang dibuat dianggap lengkap apabila resit bukti pembayaran atas talian (online) dengan jumlah harga yang betul dilampirkan bersama dengan maklumat pembeli.

Duit syiling peringatan dijangka diterima daripada Bank Negara pada Ogos 2024, group WhatsApp TEMPAHAN SYILING JKR telah diwujudkan bagi memudahkan lagi urusan berkaitan pembelian dan pengedaran yang dilakukan oleh warga JKR.

Group WhatsApp - TEMPAHAN SYILING JKR

Berdasarkan tinjauan mykoleksi pada 3 Jun 2024, group WhatsApp - TEMPAHAN SYILING JKR diwujudkan pada 9 Februari 2024 dan sebanyak +635 orang (warga JKR) sudah menyertai group tersebut. Sekiranya semua bilangan ahli group tersebut membuat tempahan/pembelian, mykoleksi rasa pihak JKR perlu menjalankan undian nanti bagi menentukan siapa yang berjaya ataupun tidak kerana pihak JKR sendiri sudah meletakkan had kuantiti.

Maklumat berkeaan duit syiling JKR150 tersebut mykoleksi perolehi daripada laman sesawang rasmi (website) JKR dan Facebook rasmi Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Putrajaya, terima kasih mykoleksi ucapkan untuk update dan maklumat yang dikongsi. 

Laman Sesawang Rasmi JKR

Facebook Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Putrajaya

Sedikit sebanyak kami peminat dunia hobi numismatik ada tempat untuk dapatkan info, kalau tak macam biasa kami setia menunggu dengan sabar dan penuh redha. Bagi warga JKR yang ingin membuat tempahan, mereka perlu mengisi maklumat pembelian dan membuat bayaran.



Borang Tempahan Duit Syiling Peringatan JKR150

Nampak gayanya kami terpaksa menunggu pengumuman daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk tarikh tempahan duit syiling peringatan JKR150, difahamkan pada Jun 2024. Maklumat bagi duit syiling peringatan 75 tahun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN75) mykoleksi belum ada apa-apa info lagi, kita sama-sama tunggu.

Yang dapat info,
mykoleksi

Thursday, May 30, 2024

Duit Syiling LPP50 Sudah Selamat Sampai

WhatApps Daripada Pos Malaysia

Baru mykoleksi koidapat WhatsApp pukul 12:40pm dari staf Pos Malaysia bagitau nak hantar bungkusan, kemudian selang beberapa minit staf tadi call mykoleksi maklumkan sudah berada dikawasan rumah. Tak lama lagi dia akan sampai untuk penghantaran, betul-betul laju.

Kalau ikutkan dia nak "drop" saja bungkusan tu dengan cara meminta no IC mykoleksi untuk buat pengesahan penerimaan tetapi mykoleksi tak beri izin, tetap minta dia hantar ke rumah memandangkan mykoleksi memang ada di rumah.

Duit Syiling LPP50 Sudah Sampai

Dah la mykoleksi tengah meeting, kalut juga keluar ambil. Sempat ber"wefies" dengan staf Pos Malaysia yang membuat  penghantar tempahan duit syiling peringatan Ulang Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang ke-50 (LPP50).

Ber"wefies" dengan staff Pos Malaysia

Belum sempat buka dan check keadaan duit syiling yang diterima, mykoleksi harap ianya berada dalam keadaan baik. Hari ni mykoleksi kalut sikit, banyak perkara penting nak kena setelkan.

Kalendar Mei 2024

Menurut kiraan mykoleksi, duit syiling LPP50 yang ditempah sampai kepada mykoleksi pada hari ke-14. Kiranya masih dalam masa jangkaan penghantaran secara berfasa (20 hari bekerja) yang ditetapkan oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM). 

Pengumuman di website https://duit.bnm.gov.my

Cuma mykoleksi berharap pihak BNM mengambil perhatian tentang beberapa isu yang pernah mykoleksi ketengahkan termasuklah tentang pemberian tracking no kepada pembeli, sila rujuk dalam posting terbaru mykoleksi di pautan dibawah:


Pandangan mykoleksi yang mewakili pembeli yang lain rasa perlu diambil perhatian, walaupun mykoleksi ni bukan siapa-siapa atau orang penting pun kepada pihak BNM tetapi mykoleksi adalah salah seorang pembeli/penempah yang membeli duit syiling yang dikeluarkan oleh BNM.

Tak rugi pun kalau pihak BNM membuat penambahbaikan dalam proses penyerahan duit syilin (item) kepada pembeli, biar sama-sama berpuas hati dengan apa yang mereka bayar. Sekiranya pihak BNM malas nak kongsikan tracking no, cara lain yang boleh dipertimbangkan adalah membenarkan pembeli membuat pilihan untuk ambil sendiri di cawangan BNM terdekat.

Bukan saja memudahkan urusan, kalau nak komplain terus berkaitan item yang diterima tak memuaskan pun mudah dan menjimatkan masa berbanding dengan cara penghantaran melalui pos.

Kalau diikutkan sudah banyak cadangan dan pandangan dikongsikan oleh pembeli yang tiada "conflict of interest" dengan pihak BNM dan dunia hobi numismatik. Sekarang terpulang kepada pihak BNM samada nak buat penambahbaikan atau pun tidak, kami sebagai pembeli dan juga pengumpul terpaksa terima dan hanya mampu berdoa saja.

Yang sudah dapat,
mykoleksi

Monday, May 27, 2024

Apa Cerita Dengan Duit Syiling LPP50, Siapa Yang Sudah Dapat?

Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang ke-50 (LPP50)

Senyap sunyi dan tak ada berita berkenaan duit syiling peringatan Ulang Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang ke-50 (LPP50), hari tu  (13 Mei 2024) kecoh sekejap bila keputusan tempahan diumumkan. Takkan ramai dah pencen dari dunia hobi numismatik, mustahil kan?

Pihak Bank Negara Malaysia (BNM) pun satu hal, kongsilah info dengan pembeli sebagai contoh tracking no supaya pembeli dapat buat semakan status. Untuk keluaran sebelum ini (walaupun sekali dua) ada juga kongsikan tracking no tapi selepas tu tak ada, tiba-tiba bungkusan dah sampai saja. 

Bahaya juga tiba-tiba bungkusan sampai sekiranya pembeli tiada dirumah, sekarang ni kan tengah musim cuti sekolah (seminggu). Sudah pasti ramai yang sudah merancang untuk membawa famili bercuti, geng Pos Malaysia pun tak semua rajin. 

Ada yang malas, segelintir daripada mereka tinggalkan bungkusan macam tu saja tanpa memaklumkan kepada pembeli terlebih dahulu. Tak percaya?, mykoleksi sendiri pernah kena. 

Bukan sekali tapi banyak kali, seingat mykoleksi hanya sekali saja mykoleksi dimaklumkan oleh pihak Pos Malaysia yang mereka ingin membuat penghantaran bungkusan daripada BNM. Selepas tu dah tak ada, mungkin mereka ada simpan info mykoleksi bagi memudahkan penghantaran dibuat.

Perkara asas (penting) seperti tracking no ini sepatutnya pembeli perlu tahu, pihak BNM takkan nak tunggu "advisor" suruh kongsikan tracking no kepada pembeli baru nak buat. Kesian advisor nanti, banyak perkara perlu difikirkan berkaitan dunia hobi numismatik. 

Isu matawang palsu, matawang error terlepas keluar, penggunaan imej hak milik BNM tanpa kebenaran dan lain-lain lagi perkara yang berkaitan dunia hobi numismatik. Semua itu advisor nak kena fikir penyelesaian, sehinggakan semua advisor terlepas pandang dan sudah bertahun-tahun lamanya berlaku.

Tolonglah jangan bebankan advisor dengan perkara remeh sebegini, semoga keluhan pembeli (mykoleksi) dan mereka yang lain dapat didengari oleh pihak BNM. Sesungguhnya penantian adalah satu penyiksaan, kasihanilah kami.

Rujuk Laman Sesawang https://duit.bnm.gov.my

BNM berkata/menulis, "Penghantaran secara berfasa untuk tempahan yang berjaya dijangka selesai dalam masa 20 hari bekerja dari tarikh pengumuman keputusan tempahan." 

Bagi pembeli yang sudah mendapat duit syiling LPP50 anda, mohon untuk berkongsi di ruangan komen.

Yang menunggu,
mykoleksi

Tuesday, April 23, 2024

Duit Syiling Peringatan 50 Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP50)

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
 
Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf)

Duit syiling ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 31 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan mempunyai berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM330. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Butiran terperinci mengenai duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran.
 
Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:


Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.

Bahagian Hadapan

Bahagian hadapan duit syiling memaparkan imej seorang petani yang sedang memerhatikan mesin penuai dan dron baja, yang melambangkan sumbangan LPP dalam memodenkan serta meningkatkan produktiviti pertanian di Malaysia. Imej tanaman padi (duit syiling perak sterling sahaja yang mengandungi imej ini secara berwarna) dipaparkan pada bahagian bawah syiling, melambangkan penanaman yang subur. Motif ini mengambil inspirasi daripada visi LPP untuk menerajui transformasi pelbagai pertubuhan peladang di Malaysia serta untuk menggalakkan pembangunan peladang yang berdaya saing dan produktif. Teks "LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG" dan "JUBLI EMAS" juga terukir pada sekeliling bahagian atas duit syiling.
 

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.

Bahagian Belakang

Nama BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian kanan duit syiling. Logo ulang tahun ke-50 LPP (duit syiling perak sterling sahaja yang mengandungi logo berwarna) dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarkan bayangan pelbagai ternakan. Teks "1 RINGGIT" atau "10 RINGGIT" dipaparkan pada bahagian bawah syiling yang menunjukkan nilai muka syiling tersebut.
 
Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai
11:00 pagi Isnin, 22 April 2024 hingga 11:00 malam Ahad, 5 Mei 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.
 
Lampiran: Spesifikasi Teknikal 


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST).

Bank Negara Malaysia
22 April 2024

Saturday, February 17, 2024

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Ke-50 Bank Simpanan Nasional (BSN)?

Logo 50 Tahun Bank Simpanan Nasional (BSN)

Tanpa kita sedari, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyambut ulang tahun ke-50 pada 1 Disember 2024. Sebuah pertubuhan perbadanan ditubuhkan di bawah Akta Bank Simpanan Nasional 1974 dan ditubuhkan pada 1 Disember 1974 di bawah Akta Parlimen 146 – Undang-Undang Malaysia 1974 atas kendalian Menteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah. 

BSN telah dilancarkan dengan rasminya pada 5 Disember 1974 oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang kedua, di mana semua tugas dan tanggungjawab di bawah Akta Bank Simpanan Pejabat POS (melalui khidmat Post Office Savings Bank yang wujud sejak zaman pemerintahan British sehinggalah ke pascamerdeka) telah diambil alih oleh Bank Simpanan Nasional. Bank Simpanan Nasional adalah sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Kewangan.

Logo 50 tahun BSN

BSN bermula sebagai Bank Simpanan Pejabat Pos dan melalui pelbagai penambahbaikkan kewangan dilakukan demi rakyat Malaysia, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 ini, BSN telah memperkenalkan logo dan jenama bertemakan "Mendukung Aspirasi, Merentasi Generasi".

Menurut BSN, “Mendukung Aspirasi, Merentasi Generasi" bukan sekadar slogan tetapi ianya merupakan satu penghormatan kepada legasi dan komitmen kami terhadap mandat yang telah dipertanggungjawabkan, serta sebuah janji untuk masa hadapan yang lebih baik. Mengimbau kembali perjalanan luar biasa sepanjang 50 tahun ini, kami akan terus berkhidmat demi generasi akan datang di samping menyokong aspirasi rakyat Malaysia."

Sebelum ini BSN telah mengadakan peraduan bagi mencipta logo dan slogan sempena ulang tahun ke-50 yang diadakan di kalangan warga BSN, mykoleksi difahamkan ratusan penyertaan telah diterima dan En. Muhammad Hanif bin Zulkifli dari Cawangan BSN Negeri Perak telah memenangi peraduan ini dengan ciptaan logo yang telah diperbaharui dan diperhalusi dengan nilai-nilai yang bersesuaian serta boleh digunapakai dalam semua keadaan.

Hanya sedikit info yang mykoleksi berjaya  perolehi tentang pemenang hadiah utama mencipta logi dan slogan sempena ulang tahun ke-50 BSN, mykoleksi perolehi hasil carian di LinkedIn. Tahniah mykoleksi ucapkan diatas kemenagan tersebut, semoga terus cemerlang.

Status Kemenagan Beliau 4 Bulan Lalu di LinkedIn

"Alhamdullilah, has been selected as the winner in creating a logo for BSN 50th anniversary, it is an achievement that I will remember throughout my service at BSN, Thank You BSN", HANIF ZULKIFLI (COLLECTION OFFICER)

Mari kita lihat apa yang menarik tentang logo dan slogan sempena ulang tahun ke-50 BSN sehinggakan En. Muhammad Hanif bin Zulkifli dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama. 

1. Jenis Tulisan
Brush Stroke Font yang digunakan untuk nombor 50 melambangkan 50 tahun perjalanan BSN sebagai sebuah bank yang telah melalui transformasi serta merentasi pelbagai cabaran.

2. Slogan/Tema
Mendukung Aspirasi, Merentasi Generasi.

3. Warna
Jubli Emas Sambutan Ulang Tahun BSN yang ke-50 Tahun.

4. Nombor
BSN telah ditubuhkan pada tahun 1974 bagi menggantikan Bank Simpanan Pejabat Pos.

Perjalananan panjang BSN selama 50 tahun ini bukannya sesuatu yang mudah, dalam tempoh tersebut sudah pasti banyak transformasi telah dilakukan oleh BSN supaya kekal relevan dalam industri kewangan sepanjang zaman serta dapat memberikan servis yang terbaik buat rakyat Malaysia khasnya. Mari kita sama lihat tranformasi BSN selama 50 tahun.

Melewati Perjalanan 50 Tahun BSN

Menarik juga "souvenir" sempena ulang tahun ke-50 BSN, tak ada ke siapa-siapa nak hadiahkan kepada mykoleksi

"Souvenir" Sempena Ulang Tahun Ke-50 BSN 

Bersempena dengan ulang tahun ke-50 BSN ini, mykoleksi cadangkan supaya BSN mengeluarkan juga duit syiling peringatan. Sudah tentu ianya akan mendapat sambutan yang hangat, bagi idea rekabentuk pihak BSN boleh adakan peraduan seperti sebelumnya tak kiralah samada ianya terbuka kepada warga BSN saja atau pun umum. Sekiranya pihak BSN tidak mempunyai idea atau gambaran dalam  mereka bentuk duit syiling peringatan, pihak BSN boleh menggunakan khidmat Malaysia Mint (MyMint) Bank Negara Malaysia (BNM) memandangkan mereka memiliki kepakaran tersebut.

Malaysia Mint
Malaysia Mint Bank Negara Malaysia 
Lot 2, Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam Selangor 
40000 Shah Alam
Tel: 03-55262134

Satu kerugian yang besar sekiranya sambutan jublie emas BSN ini  tidak diraikan dengan menghasilkan sesuatu yang bernilai untuk diabadikan dimasa hadapan, mykoleksi rasa sudah pasti duit syiling peringatan tersebut akan mendapat sambutan yang hangat dikalangan warga BSN sendiri dan juga peminat dunia hobi numismatik.

Semoga cadangan ini menjadi realiti, setakat yang mykoleksi tahu belum ada lagi mana-mana bank yang mengeluarkan duit syiling peringatan sempena sambutan ulang tahun mereka dengan kerjasana MyMint BNM. Apa tunggu lagi, ayuh BSN keluarkan duit syiling peringatan anda dan sudah pasti ramai yang menanti ianya menjadi kenyataan.

Sumber:

  1. https://www.bsn.com.my
  2. https://ms.wikipedia.org
Yang mencadang,
mykoleksi


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute