Cari Post lain disini

Wednesday, July 15, 2009

Bank Negara Malaysia Issues New Design RM50 Banknote


Bank Negara Malaysia mengumumkan hari ini, pengeluaran wang kertas RM50 reka bentuk baharu mulai 15 Julai 2009. Reka bentuk baharu wang kertas RM50 ini merupakan denominasi pertama dalam Siri Keempat mata wang kertas Malaysia yang akan menggantikan siri yang sedia ada secara berperingkat-peringkat.

Wang kertas RM50 reka bentuk baharu ini sebelum ini dikeluarkan pada bulan Disember 2007 bersempena Ulang Tahun Ke-50 Kemerdekaan Malaysia. Siri baharu ini tidak lagi mempunyai logo sambutan jubli emas kemerdekaan negara dan mempunyai ciri keselamatan yang dipertingkatkan.

Ciri keselamatan bagi reka bentuk baharu wang kertas RM50 yang dipertingkatkan ialah:
  • Benang Keselamatan Dengan Warna Berubah-ubah yang tertanam di dalam kertas menggantikan benang keselamatan yang sedia ada. Benang ini kelihatan seperti garis putus-putus yang berwarna pada bahagian belakang wang kertas. Apabila diletakkan pada cahaya, benang ini akan kelihatan seperti garis lurus kehitam-hitaman dan teks BNM RM50 yang berulang-ulang jelas kelihatan. Apabila wang kertas ini disengetkan, warna benang keselamatan ini akan bertukar daripada merah kepada hijau, dan sebaliknya. Apabila dilihat di bawah cahaya ultraungu, teks BNM RM50 yang berulang-ulang ini akan berkilau kuning, manakala benang keselamatan akan kelihatan seperti garis lurus berkilau kuning apabila wang kertas ini dilihat dari hadapan.
  • Unsur Cahaya Pendarfluor Dua Warna merupakan ciri cetakan limunan tambahan pada bahagian belakang wang kertas. Apabila diletakkan di bawah cahaya ultraungu, reka bentuk kompleks dua warna angka 50 akan berkilau.
Ciri keselamatan sedia ada yang direka untuk orang ramai membuat semakan kekal seperti yang berikut:
  • Potret Tera Air dapat dikenal pasti melalui pancaran imej warna yang lebih muda atau gelap berbanding dengan warna kertas sekitarnya. Potret tera air ini yang memberi kesan tiga dimensi kelihatan tanpa garis-garis yang jelas. Pada bahagian bawah potret tera air ini angka 50 dapat dilihat dengan jelas.
  • Tanda Pandang Telus memaparkan corak songket pada bahagian hadapan dan belakang wang kertas apabila wang kertas ini diletakkan pada cahaya.
  • Unsur Cahaya Pendarfluor Limunan pada bahagian hadapan dan belakang wang kertas akan berkilau dalam warna yang berbeza-beza apabila dilihat di bawah cahaya ultraungu.
  • Huruf Mikro "BNM RM50" yang dapat dilihat di bawah kanta pembesar.
  • Jalur Holografik memaparkan angka 50 dan juga bunga raya.
  • Imej Pendam Pelbagai Warna dengan angka 50 dapat dilihat apabila wang kertas disengetkan sedikit dan bertukar warna apabila kedudukan wang kertas tersebut dipusingkan.
  • Ciri Anti Pengimbas menyebabkan beberapa reka bentuk tertentu tidak boleh diimbas oleh mesin pengimbas.
  • Ciri Braille untuk orang yang cacat penglihatan.
Wang kertas RM50 baharu ini menggabungkan pelbagai ciri keselamatan yang moden dan inovatif dengan tujuan utamanya adalah untuk menghalang cubaan pemalsuan. Orang ramai dinasihati supaya mengambil perhatian terhadap ciri keselamatan dan reka bentuk yang dinyatakan di atas. Siri reka bentuk wang kertas RM50 yang sedia ada akan terus sah diperlakukan dan akan diedarkan bersama-sama wang kertas baharu RM50 ini sehingga ia dikeluarkan dari edaran secara berperingkat-peringkat. Had masa bagi tempoh edaran bersama ini tidak ditetapkan.

Maklumat lanjut mengenai wang kertas RM50 baharu boleh didapati di laman sesawang Bank Negara Malaysia di http://www.bnm.gov.my. Orang ramai juga boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di pusat perhubungan berikut:

BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
Faks: 03-21741515
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my

BNMLINK (Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Blok D, Bank Negara Malaysia,
Jalan Dato' Onn,
50480, Kuala Lumpur
(Waktu urusan: Isnin - Jumaat, 9.00 pagi - 5.00 petang)

Bank Negara Malaysia
15 Julai 2009

Pautan Asal:

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute