Cari Post lain disini

Friday, October 15, 2010

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-125 Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia


Sempena sambutan Ulang Tahun Ke-125 Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan. Duit syiling peringatan ini telah dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri, bertempat di Dewan Perdana FELDA, Jalan Maktab, Kuala Lumpur.

Duit syiling peringatan ini sah diperlakukan dan spesifikasinya adalah seperti yang berikut:

Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,200 sekeping. Sebanyak 150 keping sahaja ditempa.

Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM150 sekeping. Sebanyak 300 keping sahaja ditempa.

Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 10,000 keping sahaja ditempa.

Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas Nordic pruf. Setiap set duit syiling ini dijual pada harga RM1,450 dan hanya terdapat 250 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas Nordic pruf. Set ini dijual pada harga RM200 dan hanya terdapat 200 set sahaja. Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan Ulang Tahun Ke-125 JUPEM:

Bahagian Hadapan Duit Syiling

Imej juruukur JUPEM sedang menjalankan kerja-kerja ukur menggunakan teodolit dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Alat ini digunakan untuk mengukur nilai sudut dan ruang yang mendatar atau rangkaian antara tanda ukur. Alat ini juga digunakan untuk menentukan arah garis penglihatan dalam pengukuran. Nama "Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia" tertera pada bahagian bawah duit syiling, manakala perkataan "125 Tahun" dipaparkan pada bahagian atas duit syiling tersebut.

Bahagian Belakang Duit Syiling

Logo rasmi JUPEM dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling, manakala perkataan "Bank Negara Malaysia" sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan, tertera pada bahagian atas duit syiling. Tahun "1885-2010" tertera di bawah logo, manakala nilai muka duit syiling dipaparkan pada bahagian bawah reka bentuk duit syiling. Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran II.

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 15 Oktober 2010 di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK), dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Bank Negara Malaysia
14 Oktober 2010

Lampiran I

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-125 Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia
Spesifikasi Teknikal


Nota:
  1. Set 2 dalam 1 mengandungi duit syiling perak pruf dan emas Nordic pruf; dan
  2. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas pruf, perak pruf dan emas Nordic pruf.

Bank Negara Malaysia
14 Oktober 2010

Sumber Asal: Website BNM

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute