___________________________
Kewangan Islam antara segmen pantas berkembang
GABENOR Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz diberi penghormatan untuk menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis Anugerah Perniagaan dan Kewangan Islam Tahunan yang diadakan di Dubai.
Semasa menyampaikan ucapan penerimaannya, katanya, Kewangan Islam adalah antara segmen dalam sistem kewangan global yang pantas berkembang.
"Industri itu kekal berdaya tahan semasa krisis kewangan global baru-baru ini. Ia terus berdaya saing, sambil menyediakan produk kewangan dan perkhidmatan, terhadap keperluan perniagaan dan pelabur," katanya.
Dalam keadaan persekitaran yang lebih mencabar dan berdaya saing sekarang ini, katanya masa depan kewangan Islam akan bergantung kepada keupayaan inovasi dan pelaburan dalam pembangunan bakat bagi industri itu.
"Agenda akan menjadi kunci memastikan pertumbuhan dan kemampanan berterusan," kata Zeti dalam teks ucapannya yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.
"Kami sudah menjelajahi perjalanan yang jauh untuk sampai ke tahap sekarang. Dalam memajukan industri itu, usaha dan kerjasama berterusan pihak industri dan pihak berkuasa akan terus menyumbang terhadap pembentukan kewangan Islam.
"Dengan itu, ia juga akan meningkatkan peranannya yang berpotensi bagi menyumbang terhadap pertumbuhan dan kestabilan kewangan global," katanya.
Anugerah Perniagaan dan Kewangan Islam itu, yang kini memasuki tahun kelimanya, disifatkan sebagai salah satu acara paling menonjol dalam industri kewangan di seluruh rantau Teluk.
Majlis tahunan itu dikhususkan bagi menonjolkan, menggalakkan dan memberi ganjaran terhadap prestasi dan pertumbuhan perniagaan dan komuniti kewangan yang luar biasa.
Anugerah itu kini disifatkan sebagai penanda aras kecemerlangan dalam industri itu. - BERNAMA
Sumber Asal: Berita Harian Online, 23 Disember 2010
No comments:
Post a Comment