Cari Post lain disini

Loading...

Tuesday, January 10, 2012

Duit Syiling Siri Baharu akan Berada dalam Edaran Mulai 16 Januari 2012


Duit Syiling Siri Baharu

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa duit syiling Malaysia siri baharu akan dikeluarkan untuk edaran mulai 16 Januari 2012 ini. Orang ramai boleh mendapatkan duit syiling baharu ini melalui urus niaga biasa mereka.

Duit syiling baharu ini adalah sah diperlakukan dan akan dikeluarkan untuk edaran secara berperingkat dan akan digunakan bersama-sama dengan duit syiling yang sedia ada. Duit syiling yang sedia ada akan dikeluarkan daripada edaran secara beransur-ansur. Bagi memastikan peralihan yang lancar kepada penggunaan duit syiling baharu ini, vendor yang mengendalikan mesin wang tunai telah diberikan tempoh masa yang mencukupi untuk mengubah suai mesin mereka agar boleh menerima duit syiling baharu ini.

Bertemakan 'Keunikan Malaysia', reka bentuk duit syiling siri baharu ini mendapat inspirasi daripada ciri-ciri unik yang mencorak budaya dan warisan negara. Motif reka bentuknya memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna serta seni kraf tangan tradisional yang terdapat di Malaysia. Denominasi duit syiling siri baharu ini ialah 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.

Duit syiling baharu ini adalah lebih kecil dan ringan untuk memudahkan orang ramai menggunakannya. Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga memudahkan orang ramai untuk mengetahui denominasi yang berlainan. Reka bentuk sisi tepi dan saiz duit syiling yang berbeza-beza akan memudahkan golongan kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan denominasi yang berlainan. Selain itu, duit syiling baharu ini dibuat menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dan turut memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan. Logam baharu yang digunakan untuk membuat duit syiling ini adalah daripada jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama. 


Untuk maklumat lanjut mengenai duit syiling siri baharu ini, orang ramai boleh menghubungi BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465 atau menelefon 03 - 2698 8044 samb. 8658, atau melayari laman sesawang Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Bank Negara Malaysia
10 Januari 2012

© Bank Negara Malaysia, 2012. All rights reserved.

Sumber: Website BNM

2 comments:

mnfaj said...

Terima kasih atas info ini. Peminat dan pengkaji mata wang, syiling khususnya tentu amat ternanti-nanti akan syiling edaran baru ini. :)

iaryylr said...

kenapalah tidak sama saiz dan berat yang lebih kurang, risau juga mesin air tidak dapat menerima duit baru :)... mungkin kos nya lebih murah, rasanya agak lama peralihan wang ini sedang siri pertama pun masih banyak dipasaran, apa pun harap semuanya ok, lebih-lebih lagi duit kertas :) mana tau jadi macam rm 50 yang lalu :)... apapun tak sabar nak nak dapatkan :)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute