Cari Post lain disini

Sunday, March 25, 2012

Cengkerang ke Ringgit

Akhbar : Berita Minggu
Oleh Aziah Azmee

SUATU masa dulu, siput dan kerang-kerangan bukan menjadi hidangan mewah di meja makan, sebaliknya berfungsi sebagai sistem mata wang. Ini disusuli era di mana mata wang logam dan emas digunakan. Wang logam Kaleng (Calains) dijadikan pertukaran jual-beli antara pedagang yang singgah di Pelabuhan Melaka pada abad ke-15 yang ketika itu menjadi antara lokasi penting perdagangan di rantau Asia.

Apabila timah ditemui di Tanah Melayu, ia menjadi pencetus revolusi awal penggunaan duit iaitu duit tampang atau lebih dikenali sebagai duit topi di Pahang. Masyarakat mula terdedah dengan kepingan duit seberat ‘seterika’ selain bentuk khas seperti ayam atau kambing dengan majoriti penggunaannya popular sekitar 1819 hingga 1893 di Pahang, Perak dan Selangor. Selain duit tampang, duit sah laku juga banyak diedarkan ketika itu apabila orang kaya setempat dibenar mengeluarkan ‘duit sah laku’ sendiri bagi kegunaan orang bawahan dengan dihadkan di kawasan jajahan mereka.

Merungkai sejarah dan evolusi mata wang negara, Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail, berkata mengikut rekod dan artifak ditemui, duit lama kerajaan Negeri-Negeri Selat memiliki banyak keunikan dan keistimewaan yang tersendiri. Ibrahim berkata, ada antaranya adalah koleksi duit pertukaran berbentuk jongkong emas, kepingan perak, blok timah mahupun gangsa atau cengkerang siput gerus (Cowrie Shells). Menurutnya, melewati era moden bermula 1930-an, duit keluaran khas mula diedarkan seperti penempatan Kusta, Pusat Penempatan Kusta di Sungai Buloh bagi tujuan menyekat penyebaran wabak kusta kepada orang awam yang dikeluarkan pada 1932.


Ibrahim berkata, bagi merakam evolusi wang yang digunakan di Malaysia atau Tanah Melayu ketika itu, Jabatan Muzium melakukan aktiviti pemerolehan sejak 1963. Bermula dengan simpanan duit kerajaan, Jabatan Muzium berjaya mengumpul lebih 2,566 wang kertas dari dalam termasuk mata wang asing yang diperoleh sejak 1963 hingga 1997. Selain itu, ada 5,244 keping syiling lama yang diperoleh dari 1963 hingga 1994 serta 36 duit tampang (koleksi 1979 hingga 1981). “Bagi mereka yang tidak tahu, Muzium Negara ada menyimpan koleksi mata wang paling lama berusia 450 tahun iaitu duit pitis Sultan Muzaffar Shah yang digunakan sekitar 1446 hingga 1456. “Selain itu, ada empat koleksi mata wang lama diisytiharkan sebagai ‘Artifak Warisan Kebangsaan’ pada Februari 2009, di bawah kategori Objek Ketara bersama-sama 173 butiran warisan yang lain,” katanya pada pertemuan bersama sisipan Rona baru-baru ini.



Ibrahim berkata, duit emas lama iaitu Duit Emas Zaman Pemerintahan Sultan Muzaffar Shah yang dikeluarkan pada 1564 hingga 1570 di Johor juga disimpan muzium. “Selain itu, kita juga menyimpan duit Kijang Emas; Duit Emas Zaman Pemerintahan Sultan Alau’uddin Riayat Shah I, Johor yang dikeluarkan pada 1527 hingga 1564 dan Duit Emas Zaman Pemerintahan Sultan Zainal Abidin II, Terengganu yang dikeluarkan dari 1793 hingga 1808,” katanya. Beliau berkata, Jabatan Muzium turut menyimpan pelbagai duit lama yang unik dan tersalah cetak sama ada dari zaman British, duit pisang ketika penjajahan Jepun serta duit khas, misalnya sempena 20 tahun penubuhan Bank Negara dan duit syiling cetakan gambar Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.


Ibrahim berkata, semua artifak wang lama dipulihara mengikut prosedur seperti pengendalinya harus memakai sarung tangan sebagai langkah berjaga-jaga serta mengelak kerosakan pada artifak akibat ‘asid’ daripada tangan. Buktinya, bilik penyimpanan Jabatan Muzium dilengkapi alat kawalan khas bagi memastikan aspek atau elemen seperti suhu, ‘kelengasan relatif atau kelembapan, kecerahan cahaya dan kandungan ultra ungu (UV) dalam cahaya sepadan dengan artifak. Ini penting bagi mengekal ketahanan serta kelangsungan hayat artifak. Bagi tujuan penyimpanan peribadi, pengumpul mata wang boleh menempatkan koleksi mereka dalam kabinet duit dengan dulang gelunsur atau menggunakan album duit diperbuat daripada plastik. Jabatan Muzium juga pernah mengeluarkan buku panduan mengumpul duit lama ditulis bekas kakitangannya, Mohd Kassim Ali pada 1976.

Pengumpulan mata wang lama selalunya bergantung kepada tujuan atau hasrat pengumpul atau peminat mata wang lama. Ini termasuk masyarakat Cina yang menggunakannya bagi tujuan perubatan. Tidak kurang juga menjadikan mata wang lama sebagai punca pendapatan melalui urus niaga atau sekadar hobi. Namun, mungkin tidak ramai yang menyedari, hobi mengumpul koleksi duit lama itu sebenarnya mampu mendatangkan pulangan lumayan kepada pengumpul. Apatah lagi, transaksi nilai dan material mata wang berbeza menambah nilai pasaran duit lama sejajar perkembangan pesat industri teknologi.

Mengulas perbezaan duit mengikut zaman, Ibrahim berkata, keadaan itu boleh dikesan berdasarkan kriteria kaedah pembuatan, ketahanan, frekuensi kekerapan penggunaan,ciri keselamatan, saiz, berat dan ciri ‘watermark’ yang menjadi ciri keasliannya. Ini juga penting bagi mengelak keraguan dan rekod peradaban manusia, budaya serta era nilaian sesuatu mata wang.

Setakat ini, Muzium Negara menganjurkan tujuh pameran matawang khas iaitu Pameran Coins, Medals and Decoration pada 1965; Pameran Centuries of Malaysian Currencies (1967); Pameran Matawang Dunia (1971); Pameran Mengumpul Matawang dan Setem (1980); Pameran Warisan Kelantan (1982); Pameran Matawang Dunia (1983) dan Pameran Numismatik ASEAN (1993). “Jabatan tidak menolak kemungkinan akan menganjurkan kembali pameran khas yang sudah 19 tahun ‘senyap’ pada masa depan. Bagi tempoh terdekat ini, Muzium Negara mempamerkan sebahagian koleksi duit lama yang unik kepada pengunjung di bahagian Kerajaan-Kerajaan Melayu yang terletak di Galeri B,” katanya.

Bagi pengumpul dan penggemar duit lama pula, kedatangan mereka ke Jabatan Muzium Negara bukan sekadar melawat dan menghayati artifak lama dipamerkan, malah memeriahkan jualan lelong duit lama anjuran Persatuan Numismatik. Acara ini lebih dikenali sebagai ‘Lelongan Persatuan Numismatik’ yang dianjurkan atas inisiatif Persatuan Numismatik. Acara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengumpul tempatan selain menarik pengumpul antarabangsa termasuk dari negara jiran, Singapura. Sementara itu, mengulas aktiviti lelongan secara terperinci, Setiausaha Persatuan Numismatik Malaysia, Lawrence De Souza, berkata koleksi duit lama terutama syiling mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Malah, dianggarkan lebih 500 pengumpul berdaftar dengan persatuan dengan lebih ramai peminat duit lama tidak menyertai manamana kelab atau bergerak sendiri. Buktinya, lebih 2,000 pengunjung aktiviti lelongan yang lazimnya diadakan sekali setiap tiga bulan di dataran Muzium Negara itu adalah peminat duit lama.

“Sehingga kini, setiap kali penganjurannya pada sebelah pagi, pengumpul koleksi dan peminat duit lama berkenaan tidak sesekali melepaskan peluang mengikuti aktiviti lelongan itu dan sambutannya di luarjangkaan. “Ketika penganjuran terakhirnya tiga minggu lalu, pengumpul dan penggemar barangan antik lebih berminat mengumpulkan syiling lama yang ganjil, pengeluaran sedikit dan ‘double die’ (aksara bertindih) seperti 10 sen keluaran 1971,” katanya.


INFO MENARIK

- Duit lama dibuat menggunakan acuan khas yang diukir mengikut bentuk tertentu
- Pada kurun ke-16, alat cetak direka. Logam diasak masuk ke dalam pepiring dengan tekanan sekata (Pitis Terengganu pada 1907)
- Pada kurun ke-19, kilang wang Diraja, Royal Mint, London menggunakan kuasa wap sebagai ejen pemangkin mempercepatkan proses penghasilan duit.

Siri mata wang

-Siri 1 : 1967-1983
Tema corak geometrik
-Siri 2 : 1982-1998
Tema artifak kebudayaan
-Siri 3 : 1996-2011
Tema: Visi 2020
-Siri4 : 2011-sekarang
Tema: Keunikan Malaysia


No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute