Embargo : Untuk siaran segera
5 Jan 2004
5 Jan 2004
Mulai 5 Januari 2004, Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan wang kertas RM10 versi baru dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan. Pengenalan ciri keselamatan tambahan ini merupakan usaha berterusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kualiti wang kertas Malaysia pada tahap yang tertinggi. Wang kertas RM10 versi baru ini akan memasukkan ciri antipenskan (anticopy) dalam bentuk jalur holografi ubahan optik di bahagian hadapan wang kertas tersebut. Ianya adalah sama seperti jalur yang terdapat pada wang kertas RM50 dan RM100.
Rekabentuk holografi menunjukkan motif yang sama seperti yang digunakan pada kawasan yang berwarna merah di bahagian kanan potret Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Pertama dan juga perkataan “RM10” dan “BNM”. Warna yang terdapat pada jalur ini akan berubah-ubah apabila dilihat dari beberapa sudut yang berlainan. Pola cetakan khusus di kedua-dua belah jalur akan kelihatan di bawah cahaya ultra-ungu.
Kesemua wang kertas Malaysia telah memasukkan pelbagai ciri keselamatan yang berkualiti tinggi supaya sebarang percubaan untuk memalsukan wang kertas tulen menjadi lebih sukar. Orang ramai boleh membezakan wang kertas tulen daripada yang palsu dengan memerhatikan ciri-ciri pengenalan am seperti berikut:
- Sentuhan
Kesemua wang kertas Malaysia dihasilkan daripada kertas bermutu tinggi yang diperbuat daripada kapas. Apabila disentuh, wang kertas terasa kesat sedikit.
- Kesan Cetakan Timbul
Terdapat kesan cetakan timbul di beberapa bahagian hadapan wang kertas seperti potret, angka denominasi “1”, “2”, “5” “10”, “50” dan “100” dan perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” di bahagian kiri dan “SATU RINGGIT”, “DUA RINGGIT”, “LIMA RINGGIT’, “SEPULUH RINGGIT”, “LIMA PULUH RINGGIT” dan“SERATUS RINGGIT” di bahagian kanan wang kertas tersebut.
- Tera Air
Potret tera air Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Pertama pada petak kosong di bahagian kiri akan kelihatan apabila ditayang pada cahaya. Tera air ini mempunyai corak tiga dimensi dengan alunan warna gelap dan terang yang berbeza-beza dalam keadaan lembut dan berbayang tanpa garis bentuk yang jelas. Di bahagian bawah tera air ini dapat dilihat dengan jelas angka 1, 2, 5, 10, 50 dan 100.
- Benang Keselamatan
Benang keselamatan ini ditenun di dalam kertas. Di bahagian hadapan wang kertas, benang ini tidak kelihatan manakala di bahagian belakang pula, benang keselamatan akan kelihatan seperti garisan putus-putus berwarna perak. Apabila ditayang pada cahaya, ia akan kelihatan seperti satu garis lurus berwarna kehitam-hitaman dengan cetakan “BNM RM1”, “BNM RM2”, “BNM RM5”, “BNM RM10”, “BNM RM50” dan “BNM RM100” yang berulangan.
- Tulisan Huruf Mikro
Di bahagian atas hadapan wang kertas, di dalam petak segi empat bujur bersebelahan dengan perkataan “WANG KERTAS INI SAH DIPERLAKUKAN DENGAN NILAI”, cetakan huruf mikro “RM1”, “RM2”, “RM5”, “RM10”, “RM50” dan “RM100” dapat dilihat dengan jelas di bawah kanta pembesar dan akan membentuk huruf “BNM” pada permukaannya apabila dilihat pada jarak yang sesuai.
Wang kertas RM10 sedia ada akan diedarkan seiring dengan wang kertas RM10 versi baru dan akan terus sah laku dengan nilai penuh. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai wang kertas versi baru ini, sila layari laman web http://www.bnm.gov.my atau hubungi Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang di talian 03-26907309.
Bank Negara Malaysia
5 Januari 2004
Sumber: www.bnm.gov.my
No comments:
Post a Comment