Majalah Fantasi sememangnya popular pada tahun 1980-an tapi apa kaitannya dengan dunia hobi numismatik. Mesti ada kaitan, kalau tak mykoleksi tak akan berkongsi disini.
Majalah Fantasi No. 14, Oktober 1986
Kisahnya bermula apabila mykoleksi diberitahu oleh Raja Ibrahim Raja Sulaiman atau King di mana dalam salah satu majalah Fantasi keluaran 1980-an terdapat satu artikel numismatik hasil interview Allahyarham Ishar Abdul Latiff yang juga dikenali dengan panggilan "Atai", banyak kisah menarik dan pengalaman berkaitan hobi numismatik dikongsi beliau dalam artikel tersebut.
Bukan mudah untuk mykoleksi tahu artikel tersebut berada dalam majalah Fantasi keluaran mana satu, nasib baik King masih ingat beberapa "hint". Majalah Fantasi sekarang nak dapat pun susah, kiranya sudah menjadi bahan koleksi dan harganya pun faham-faham sendiri.
Artikel bertajuk "Klasik dari numismatik" yang dicari mykoleksi rupanya berada dalam majalah Fantasi no. 14 keluaran Oktober 1986 yang beberapa tahun lepas mykoleksi "terlepas" untuk memilikinya, agak laris walaupun kondisinya biasa saja yang diambil dari jilid. Betul orang kata, "kalau dah rezeki tak ke mana".
Hobi - "Klasik dari numismatik"
Pada Sabtu (30/11/2024) lepas mykoleksi berjaya dapatkan majalah tersebut, kebetulan pula penjual/"pemilik kedua" rupanya tinggal bersebelahan dengan rumah mykoleksi di Putrajaya, apa lagi mykoleksi terus set masa untuk berjumpa.
Panjang pula intro mykoleksi kali ini, bukan apa sebab teruja berjaya memiliki majalah yang dicari semata-mata untuk satu artikel berkaitan dunia hobi numismatik. Apabila mykoleksi membaca artikel yang ditulis Apayee dan dibantu oleh jurufotonya Jamil M. Isa, hasil interview yang dijalankan dengan En. Ishar boleh dikatakan sangat manarik.
Beliau yang merupakan ahli tetap dan aktif Persatuan Numismatik Malaysia (MNS) sememangnya sudah kita sedia maklum pengalaman dan ilmunya dalam dunia hobi numismatik, persatuan turut melantik beliau sebagai seorang auditor persatuan pada tahun 1985. Beliau merupakan salah seorang yang sangat meminati dunia hobi numismatik di mana kencenderungan beliau lebih pada duit-duit syiling dan wang kertas yang meliputi abad ke-18, zaman pemerintahan Sri Vijaya, Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah yang terkini (pada ketika itu).
Beberapa Jenis Kecenderungan Seseorang Pengumpul
- Penyimpan syiling yang berdasarkan pada tarikh syiling itu dikeluarkan (date collector)
- Penyimpan syiling yang berpandukan kepada sejarah (historical collector).
- Syiling kenang-kenagan (commemorative coins)
- Syiling semangat (superstitious coins)
- Syiling yang ganjil atau rosak (Freak collector).
Dalam usaha untuk menghasikan buku rujukan “The Encyclopaedia of the Coins of Malaysia, Singapore and Brunei 1400 – 1986” yang ditulis oleh Saran Singh, beberapa orang pakar telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menerbitkan buku tersebut. Beliau terlibat dalam penghasilan buku tersebut adalah untuk mengesahkan tulisan jawi abstrak yang terkandung/terdapat pada duit-duit syiling dan juga membantu meminjamkan beberapa keping duit syiling dalam simpananya untuk bahan penerbitan buku tersebut yang dicetak sebanyak 1000 naskah.
Kisah Asal-usul Lambang/Logo Bank Negara Malaysia (BNM)
Arwah Ishar Salah Seorang yang Terlibat Dalam Menghasilkan "Encyclopaedia"
“The Encyclopaedia of the Coins of Malaysia, Singapore and Brunei 1400 – 1986”
Encyclopaedia tersebut diedarkan keseluruh dunia dan menjadi buruan para peminat dunia hobi numismatik untuk dijadikan rujukan dan koleksi peribadi. Alhamdulillah, mykoleksi berjaya memiliki Encyclopaedia ini dan sudah pun selamat berada dalam Arkib Negara Mykoleksi.
Terdapat satu perkongsian yang mykoleksi rasa menarik dalam artikel tersebut berkaitan asal-usul lambang kijang yang kini menjadi lambang/logo rasmi Bank Negara Malaysia (BNM), versinya berbeza daripada kebiasaan yang kita dengar.
Beliau turut berkongsi cara-cara menyimpan dan penjagaan koleksi duit lama, dari segi penyimpanan kita boleh menggunakan album dan coins holder khas yang pada masa sekarang agak mudah untuk kita mendapatkannya dengan pelbagai bahan, bentuk dan saiz. Jadi, koleksi kita dapat disimpan dengan teratur dan selamat dari sebarang risiko kerosakan. Nilai sesuatu syiling akan menurun sekiranya ada kerosakan sebagai contoh calar atau karat.
Bagi menjaga keaslian koleksi duit syiling lama, beliau menasihatkan supaya kita tidak mencuci duit syiling dengan bahan pengilat seperti "Brasso", bahan kimia, rust remover, air asam jawa, limau dan seumpamanya kerana reaksi daripada penggunaan bahan-bahan tersebut boleh menghilangkan keaslian dan nilai duit syiling tesebut.
Menurut beliau, “duit lama biarlah berwarna seperti lama atau season dan bukannya berkilat serta bersih seperti duit baru”. Beliau juga ingin mencuba mendapatkan complete set dan duit-duit syiling yang masih belum ditemui oleh pihak Muzium Negara atau bank-bank di negara kita termasuklah syiling-syiling yang terdapat di muzium luar negeri. Bila semua itu tercapai barulah beliau boleh diberi gelaran “muzium duit bergerak”.
Pada pandangan mykoleksi, artikel “Klasik dari numismatik’ merupakan satu perkongsian yang menarik dan penuh berinfomasi apabila memilih individu yang tepat untuk diinterview. Selepas membaca artikel tersebut, barulah mereka diluar sana akan menilai dunia hobi numismatik ini bukan setakat hobi biasa tatapi hobi yang membawa kita mengenali sejarah dan “root” bangsa kita Melayu.
Semoga perkongsian yang panjang ini dapat memberi manfaat kepada kita peminat dunia hobi numismatik, semoga hobi numismatik dapat berkembang ke arah yang lebih membina dan bukan berorientasikan keuntungan semata-mata.
Yang ada Fantasi 14,
mykoleksi
No comments:
Post a Comment