Apa yang spesial sangat dengan wang kertas RM1 ditandatangani Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman sehinggakan ada diantara peminat dunia numismatik mengatakan wang kertas tersebut ibarat “lesen” besar dalam hobi numismatik.
Jika sekali pandang, ramai orang akan mengatakan tandatangan pada wang kertas tersebut ditandatangani oleh Gabenor BNM bernama “Aishah”. Sekiranya anda beranggapan yang sama, nampaknya anda juga salah kerana Gabenor BNM bernama “Aishah” tidak pernah wujud. Anda boleh rujuk senarai Gabenor BNM bermula tahun 1959 hingga kini seperti dibawah atau anda boleh ke pautan Kenali Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) & Tandatangan:
- Tan Sri W H Wilcock (1 Januari 1959 - 26 Julai 1962)
- Tun Ismail bin Mohamed Ali (27 Julai 1962 - 25 Julai 1980)
- Tan Sri Abdul Aziz bin Taha (26 Julai 1980 - 31 Mei 1985)
- Tan Sri Dato' Jaffar bin Hussein (1 Jun 1985 - 30 April 1994)
- Tan Sri Dato' Ahmad bin Mohd Don (1 Mei 1994 - 1 September 1998)
- Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman (7 Sept 1998 - 30 April 2000)
- Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz (1 Mei 2000 - 1 Mei 2016)
- Tan Sri Muhammad bin Ibrahim (1 Mei 2016 - 16 Jun 2018)
- Datuk Nor Shamsiah binti Mohd Yunus (1 Julai 2018 - kini)
Inilah fakta sebenar yang anda perlu tahu dan betulkan supaya ianya tidak menjadi wabak di dalam dunia hobi numismatik, harap lepas ini tiada lagi mereka yang kalau jumpa wang kertas bertandatangan Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan (AAH) akan berkata “Aishah”. Jika masih ada yang tersilap, kita sama-sama betulkan atau kongsi saja pautan ini dengan mereka supaya mereka tahu.
Kenapa wang kertas RM1 AAH sahaja yang menjadi rebutan tetapi denominasi lain dipandang biasa oleh peminat dunia hobi numismatik. Berdasarkan cerita yang tersebar, dikatakan berpunca daripada kesilapan semasa pengedaran wang kertas tersebut untuk edaran umum. Wang kertas RM1 Zeti mula diperkenalkan pada November 2000 dengan prefix bermula dengan AAxxxxxxx dan berakhir dengan prefix AGPxxxxxxx, perkara ini menimbulkan banyak persoalan bagi peminat duit hobi numismatik kerana bagaimana prefix CRxxxxxxx boleh ditandatangan oleh Gabenor BNM AAH yang sudah bersara selepas 30 April 2000.
Maka bermula pelbagai teori dikaitkan dengan RM1 AAH prefix CR, diantara teori yang popular adalah berkemungkinan wang kertas RM1 AAH telah siap dicetak dan dihantar ke BNM cawangan untuk diedarkan kepada bank-bank semasa AAH masih lagi memegang jawatan sebagai Gabenor BNM ke-6. Setelah proses peralihan Gabenor BNM berlaku dan Zeti mengambil alih jawatan sebagai Gabenor BNM ke-7 (Gabenor baru) pada 1 Mei 2000, pihak BNM mengarahkan wang kertas RM1 AAH yang telah berada dalam simpanan BNM cawangan dibatalkan untuk edaran dan disimpan untuk proses pelupusan.
Menurut khabar angin yang bertiup kencang, BNM cawangan Pulau Pinang telah tersalah edar wang kertas RM1 AAH yang disimpan bersama-sama dengan wang kertas RM1 Zeti. Kesilapan dalam proses pengedaran wang kertas tersebut disedari oleh pihak bank dan dengan serta merta arahan penarikan balik semua wang kertas RM1 AAH dikeluarkan. Namun wang kertas tersebut ada yang sudah terlepas dan berada dalam edaran umum, tak hairanlah jika dulu orang kata wang kertas RM1 AAH ini banyak boleh dapat di Pulau Pinang.
Harga paling murah mykoleksi jumpa orang pernah jual wang kertas RM1 AAH adalah RM30 sekeping sekitar tahun 2012 di "Carboot Sale" Seksyen 13, Shah Alam. Harga sekarang memang sudah jauh beza, nak beli sekeping pun kena fikir banyak kali. mykoleksi percaya ada lagi individu yang masih menyimpan wang kertas RM1 AAH ini dalam bentuk "stack" atau mungkin juga "brick sebab itulah sekarang kita boleh nampak wang kertas RM1 AAH dengan "running number" (nombor siri berturutan).
Ada sumber mengatakan, dianggarkan lebih kurang 50,000 keping sahaja wang kertas RM1 tandatangan Gabenor ke-6 (Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan) terlepas dalam edaran iaitu prefix yang bermula dengan CR72xxxxx sahaja. Berdasarkan perkiraan mykoleksi, berikut mungkin rumusan bagi wang kertas RM1 AAH prefix CR yang terlepas dalam edaran:
- CR720xxxx hingga CR725xxxx
- Nombor siri pertama prefix CR = CR7200001
- Nombor siri terakhir prefix CR = CR7250000
Buat masa ini, mykoleksi belum pernah lihat lagi wang AAH dengan nombor siri pertama CR7200001 dan nombor siri terakhir CR7250000. Jika wang kertas RM1 AAH dengan nombor siri lain dalam lingkungan CR720xxxx hingga CR725xxxx ada mykoleksi pernah jumpa, bagi mykoleksi sekiranya anda dapat menyimpan sekeping daripada prefix CR tersebut sudah memadai, kalau anda bernasib baik dan berkemampuan bolehlah kumpul RM1 AAH bagi setiap prefix dalam 5 kumpulan tersebut (CR720xxxx, CR721xxxx, CR722xxxx, CR723xxxx, CR724xxxx dan CR725xxxx).
Contoh RM1 Tandatangan Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan Bin Sulaiman (Prefix CR720xxxx - CR724xxxx)
Senarai nombor siri bagi prefix CR wang kertas RM1 AAH atau "Aishah" mengikut "brick" seperti dibawah:
Senarai Nombor Siri Prefix CR mengikut "Brick"
Dengan adanya senarai ini, mykoleksi rasa ianya akan memudahkan anda dalam misi memburu wang kertas RM1 AAH. Senarai nombor siri tersebut mykoleksi ringkaskan mengikut "brick" dan prefix. Sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut atau nak dapatkan senarai yang lebih detail mengikut "stack", anda boleh ke pautan Senarai Lengkap Nombor Siri Wang Kertas RM1 Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan @ "Aishah"
Inilah cerita secara ringkas yang anda perlu tahu tentang RM1 tandatangan Gabenor BNM ke-6, Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman atau ramai orang mengenali tandatangan beliau dengan nama “Aishah”. Wang kertas RM1 AAH prefix CR ini boleh diibaratkan sebagai “emas” dalam dunia hobi numismatik kerana permintaan dan harganya boleh dikatakan agak tinggi. mykoleksi harap, apa yang dikongsikan dapat memberi pencerahan kepada pembaca dan seterusnya sama-sama mendapat manfaat.
Yang sentiasa berkongsi,
mykoleksi
1 comment:
Tuan ada koleksi RM1 AAH untuk dijual?
Post a Comment