Embargo : Untuk siaran segera
15 Dis 2021
Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) Ke-25.
Duit syiling peringatan yang dilancarkan oleh YBM Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:
1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna dengan Batu Nilam (pruf)
Buat pertama kalinya Bank Negara Malaysia akan mengeluarkan duit syiling numismatik dengan sisipan batu nilam. Duit syiling ini mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM286 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.
2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U)
Duit syiling ini mempunyai berat 8.5 gram dan diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping. Sejumlah 10,000 keping telah ditempa.
Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan. Set ini berharga RM341 setiap satu termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dengan batu nilam dan sekeping duit syiling emas Nordic pruf. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian. Butiran terperinci mengenai kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.
Reka Bentuk Duit Syiling
Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
Bahagian Hadapan
Nama “LABUAN FINANCIAL SERVICES AUTHORITY” dipaparkan pada sekeliling bahagian kiri, manakala bahagian kanan duit syiling pula tertera “1996-2021” menandakan 25 tahun penubuhan LFSA. Peta Labuan ditampilkan dengan permukaan 3D potongan berlian. Pada duit syiling perak sterling terdapat sisipan batu nilam yang menandakan lokasi Ujana Kewangan Labuan, iaitu ibu pejabat LFSA. Bentuk geografi ini melambangkan landskap kewangan Labuan daripada pelbagai aspek dan kepentingannya kepada ekonomi Labuan serta peranan utama yang dimainkan oleh LFSA sebagai badan pengawal selia yang menguatkuasakan undang-undang IBFC.
Bahagian Belakang
Nama “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian atas duit syiling, disusuli dengan logo rasmi LFSA25 pada bahagian tengahnya. Nilai muka “10 RINGGIT” dan slogan acara LFSA25, “A Journey of Dedication, Determination and Dynamism”, pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling.
Jualan duit syiling peringatan
Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna dengan batu nilam (pruf) dan maksimum hingga lima keping duit syiling emas Nordic (B.U).
Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 10.00 pagi, Isnin, 14 Februari 2022 hingga 11.00 malam, Jumaat, 25 Februari 2022.
Orang ramai dinasihati supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan.
Lampiran I – Spesifikasi Teknikal
Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% SST
Bank Negara Malaysia
15 Disember 2021
Sumber asal: www.bnm.gov.my
No comments:
Post a Comment