Cari Post lain disini

Tuesday, April 23, 2024

Duit Syiling Peringatan 50 Tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP50)

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
 
Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf)

Duit syiling ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 31 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan mempunyai berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM330. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Butiran terperinci mengenai duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran.
 
Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:


Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.

Bahagian Hadapan

Bahagian hadapan duit syiling memaparkan imej seorang petani yang sedang memerhatikan mesin penuai dan dron baja, yang melambangkan sumbangan LPP dalam memodenkan serta meningkatkan produktiviti pertanian di Malaysia. Imej tanaman padi (duit syiling perak sterling sahaja yang mengandungi imej ini secara berwarna) dipaparkan pada bahagian bawah syiling, melambangkan penanaman yang subur. Motif ini mengambil inspirasi daripada visi LPP untuk menerajui transformasi pelbagai pertubuhan peladang di Malaysia serta untuk menggalakkan pembangunan peladang yang berdaya saing dan produktif. Teks "LEMBAGA PERTUBUHAN PELADANG" dan "JUBLI EMAS" juga terukir pada sekeliling bahagian atas duit syiling.
 

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.

Bahagian Belakang

Nama BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling bahagian kanan duit syiling. Logo ulang tahun ke-50 LPP (duit syiling perak sterling sahaja yang mengandungi logo berwarna) dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling berlatarkan bayangan pelbagai ternakan. Teks "1 RINGGIT" atau "10 RINGGIT" dipaparkan pada bahagian bawah syiling yang menunjukkan nilai muka syiling tersebut.
 
Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai
11:00 pagi Isnin, 22 April 2024 hingga 11:00 malam Ahad, 5 Mei 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya.
 
Lampiran: Spesifikasi Teknikal 


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST).

Bank Negara Malaysia
22 April 2024

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute