Cari Post lain disini

Thursday, November 24, 2011

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Tabung Alam Sedunia

Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Ke-50 Tabung Alam Sedunia (World Wide Fund for Nature (WWF), Bank Negara Malaysia mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan. Duit syiling peringatan ini telah dilancarkan pada hari ini oleh DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak Darul Ridzuan, bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Duit syiling peringatan ini sah diperlakukan dan spesifikasinya adalah seperti yang berikut:
  1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 250 keping sahaja ditempa.

  2. Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)

    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 21.00 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM150 sekeping. Sebanyak 350 keping sahaja ditempa.

  3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

    Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 10,000 keping sahaja ditempa.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas Nordic pruf. Setiap set duit syiling ini dijual pada harga RM2,000 dan hanya terdapat 300 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas Nordic pruf. Set ini dijual pada harga RM200 dan hanya terdapat 300 set sahaja. Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini adalah seperti di bawah.

Nota:
  1. Set 2 dalam 1 mengandungi duit syiling perak pruf dan emas Nordic pruf; dan
  2. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas pruf, perak pruf dan emas Nordic pruf.
Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan Ulang Tahun Ke-50 Tabung Alam Sedunia:
Bahagian Hadapan Duit Syiling

Pada sekeliling permukaan duit syiling terpapar imej spesies haiwan negara yang terancam seperti harimau, badak sumbu, tapir, gajah dan penyu. Pada bahagian tengah duit syiling ini dipaparkan imej hutan yang penting untuk kewujudan hidupan liar. Imej itu juga melambangkan usaha WWF dalam perlindungan alam sekitar, pemuliharaan hidupan liar yang terancam dan habitat hutan di Malaysia. Perkataan “Ulang Tahun Ke-50” adalah untuk memperingati 50 tahun usaha WWF menangani isu-isu alam sekitar, manakala tahun “1961-2011” menandakan tempoh penubuhan WWF.

Bahagian Belakang Duit Syiling
Pada bahagian tengah duit syiling dipaparkan tanda dagangan berdaftar serta logo organisasi iaitu “WWF” dan beruang Panda. Perkataan “Bank Negara Malaysia”, iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan, tertera pada bahagian atas duit syiling. Denominasi duit syiling tersebut pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling. Imej dan siluet bunga Rafflesia Azlanii, iaitu bunga yang unik bagi Malaysia, dipaparkan pada bahagian kiri syiling tersebut.
Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini adalah seperti di bawah.
Gold WWF Coins
Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
silver wwf coins
Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)
Nordic Gold WWF Coins
Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 25 November 2011 di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK), dan pejabat perwakilan dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Bank Negara Malaysia

24 November 2011

© Bank Negara Malaysia, 2011. All rights reserved.
Sumber Asal: Website BNM

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute