Wang polimer denominasi RM1 dan RM5 telah mula diperkenal dalam siri wang kertas Malaysia baharu.
Antara ciri wang polimer ialah:
- Ia tidak serap air mahupun cecair lain.
- Ia bukan daripada bahan berserat – oleh itu ia tidak mudah koyak jika dilipat berulang kali.
- Ia sukar untuk dikoyakkan. Walau bagaimanapun, sekali wang polimer terkoyak, ia mudah terkoyak dengan lebih teruk.
- Ia tidak mudah bertanda atau menjadi kotor. Ia juga lebih bersih kerana bakteria tidak mudah merebak di atasnya.
- Ia lebih kuat dan tahan lama berbanding dengan wang kertas.
- Adalah sukar serta mengambil masa dan mahal untuk memalsukan wang polimer.
Bank Negara Malaysia ingin berkongsi tip-tip berikut bagi memastikan wang polimer dikendalikan dengan cara yang betul. Tip-tip ini membolehkan wang polimer digunakan dengan lebih lama di dalam edaran. Bank Negara Malaysia berharap anda akan berkongsi tip pengendalian ini dengan ahli keluarga dan sahabat handai anda.
- Simpan wang polimer secara mendatar dalam beg duit anda. Wang polimer ini tidak sepatutnya dilipat berulang kali kerana ia akan meninggalkan kesan berlipat yang kekal.
- Gunakan gelung kertas apabila hendak membungkus wang polimer.
- Wang polimer yang bertanda boleh dibersihkan dengan sabun dan air sejuk.
Perkara yang Perlu Dielakkan
- Jangan dedahkan wang polimer secara langsung kepada cahaya panas atau suhu tinggi.
- Jangan lipat wang polimer berulang kali, contohnya, menggunakannya sebagai bahan hiasan atau dalam aktiviti riadah.
- Jangan gunakan gelung getah apabila mengumpulkan wang polimer semasa proses pembungkusan.
- Jangan gunakan dawai kokot atau pin pada wang polimer.
- Jangan gunakan gunting, pisau atau apa-apa objek tajam untuk membuka bungkusan wang polimer.
Sumber Asal: RINGGIT Newsletter (November 2012 issue)
No comments:
Post a Comment