Cari Post lain disini

Sunday, April 26, 2015

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan ASEAN 2015

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bagi memperingati penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN 2015 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia. Sidang Kemuncak ASEAN 2015 ini merintis jalan kepada penubuhan Komuniti ASEAN, yang merupakan pencapaian penting ke arah merealisasikan wawasan bersama ASEAN untuk mewujudkan rantau yang aman, stabil dan makmur. Asas komuniti ASEAN secara keseluruhan terdiri daripada tiga rangka tindakan komuniti iaitu ASEAN Political Security Community (APSC), ASEAN Economic Community (AEC) dan ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC). Komuniti ASEAN menzahirkan semangat kekitaan yang teguh dan ikatan hubungan yang erat antara 10 buah negara anggota ASEAN dan juga penduduknya. Duit syiling peringatan ini dilancarkan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 25 April 2015 di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 99.99 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.

2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling ini merupakan duit syiling poligon bersisi sepuluh dengan warna pada kedua-dua permukaannya dan yang pertama dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 5,000 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping sahaja ditempa.
Nota: Harga adalah tertakluk kepada 6% GST.


Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling pruf emas, pruf perak berwarna dan pruf emas nordic. Set ini akan dijual pada harga RM2,100 dan hanya terdapat 2,000 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling pruf perak berwarna dan pruf emas nordic. Set ini akan dijual pada harga RM250 dan hanya terdapat 2,000 set sahaja. Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Spesifikasi Tenikal

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

1. Bahagian Hadapan Duit Syiling

Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan logo ASEAN dengan 10 lengkungan di dalam gelung molekul yang melambangkan kemajuan negara ASEAN serta mencerminkan perpaduan komuniti ASEAN. Perkataan ASEAN 2015 MALAYSIA dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala tema ASEAN bagi tahun 2015 iaitu OUR PEOPLE, OUR COMMUNITY, OUR VISION pula tertera pada bahagian bawah duit syiling.

2. Bahagian Belakang Duit Syiling

Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan imej burung kenyalang dengan motif bintang-bintang dan imej Bunga Raya sebagai latar belakangnya. Bendera 10 negara ASEAN dipaparkan dalam bentuk bulatan yang mengelilingi bahagian tengah duit syiling. Perkataan BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini pula dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling ini tertera pada bahagian bawahnya.

Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini ditunjukkan pada Lampiran II.

Duit Syiling Peringatan Bersempena ASEAN 2015

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 27 April 2015 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) yang terletak di Sasana Kijang, 2, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur dan di pejabat wilayah dan cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Bank Negara Malaysia
25 April 2015

Sumber asal:www.bnm.gov.my 

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute