Cari Post lain disini

Tuesday, December 4, 2018

Benarkah 'Tangan-tangan Ghaib' Merosakkan Hobi Numismatik?

Pada suatu pagi yang hening, hari sabtu (24 November 2018) sekitar jam 3.30 - 5.00 pagi. Satu perbincangan serius telah berlaku di Port 2, Numismatic Cafe, Seksyen 7, Shah Alam. Segalanya bermula apabila terbaca posting di dalam 'group' jual beli di Facebook yang memaparkan kisah medalion peringatan pertabalan Tuanku Sultan Kedah dan duit syiling peringatan yang dikaitkan dengan Jambatan Pulau Pinang.

Perbincangan pagi tanpa dirancang tersebut turut dihadiri oleh para penumis-penumis hebat yang memiliki kelebihan tersendiri dalam dunia hobi numismatik, sumbangan mereka semasa perbincangan berlangsung amat bermakna buat mykoleksi. mykoleksi mengambil serius semua pandangan dan pendapat yang diutarakan semasa perbincangan berlangsung.

Senarai kehadiran:
  1. Awang Sulaiman (pemilik Port 2)
  2. Che Lee Lie Lie
  3. Anizam Mustafa
  4. mykoleksi (bukan gabenor BNM)
Senarai yang ponteng:
  1. Mohd Asyraf (balik tidoq, esok nak pi KLIMS'18)

Geng Perbincangan Tengah 'Pening-pening Lalat' Memikirkan Tentang  Isu 'Tangan-tangan Ghaib'

Walaupun ianya sudah melebihi seminggu berlalu, mykoleksi rasa terpanggil untuk mengetahui apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam dunia hobi numismatik sekarang. Adakah 'tangan-tangan ghaib' telah kembali aktif tanpa berselindung lagi dan bebas menjalankan 'kerja' mereka tanpa memikirkan 3 soalan penting.

HALAL vs HARAM
PAHALA vs DOSA 
AMANAH vs KHIANAT 

Rentetan daripada perbincangan serius tersebut mykoleksi telah mengambil keputusan untuk menulis berkenaan "tangan-tangan ghaib' di dalam blog, kebetulan pula sudah lama mykoleksi merancang untuk menulisnya tetapi 'subjek' yang sesuai atau betul-betul kuat belum ditemui. Kebetulan pada pagi itu, 'subjek' yang memenuhi kriteria mykoleksi tanpa diduga telah muncul.

Selain maklumat yang diperolehi melalui perbincangan tersebut, mykoleksi juga turut mencari maklumat tambahan secara 'online' dan 'offline' supaya apa yang mykoleksi kongsikan nanti lebih jelas dan mudah difahami bagi mengelakkan ianya disalah tafsir. Itupun jika anda sanggup membacanya sehingga ke akhir kerana tajuk kali ini boleh dikategorikan sebagai 'novel'.

Jadi, mykoleksi dengan ini mengambil RISIKO untuk berkongsi hasil penulisan mykoleksi dengan anda semua supaya sama-sama kita fikirkan dan beri perhatian.

Ada dua (2) topik hangat yang mykoleksi berminat untuk memberi ulasan yang telah dikenalpasti ada kaitan dengan isu 'tangan-tangan ghaib' iaitu:
  1. Medalion Peringatan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke-29
  2. Duit Syiling Peringatan Semperna Jambatan Pulau Pinang, 2014
mykoleksi mulakan dahulu ulasan topik perbincangan pertama yang tengah panas sekarang iaitu: 

Medalion Peringatan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke-29


Rekabentuk Medalion Peringatan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke-29 - Kemaskini (10 Disember 2018): gambar sebelum ini terpaksa digantikan dengan gambar lain atas permintaan pemilik asal gambar tersebut kerana telah disalahgunakan oleh individu 4

Ringakasan:
  1. Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan untuk merasmikan majlis pelancaran Setem dan Medalion Peringatan Pertabalan Sempena Istiadat Pertabalan KDYMM Tuanku Sultan Kedah ke-29 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober 2018 (Isnin).
  2. Semasa majlis perlancaran berlangsung, tiada pengumuman tentang tarikh jualan medalion peringatan pertabalan kepada orang awam khasnya rakyat negeri Kedah Darul Aman.
  3. Terdapat lima (5) jenis medallion peringatan pertabalan yang disediakan sempena istiadat pertabalan iaitu dua jenis medalion emas, dua jenis medalion perak dan satu jenis medalion emas nordic yang kesemuanya bermotifkan gambar Sultan Kedah.
  4. mykoleksi difahamkan yang medalion tersebut akan dijadikan cenderahati kepada tetamu-tetamu yang hadir pada istiadat pertabalan.
  5. Medalion mana yang akan dijadikan cenderahati tidak dapat dipastikan, berdasarkan pemerhatian mykoleksi berkemungkinan medalion emas nordic dan set VVIP (4 dalam 1) yang dijadikan cenderahati.
  6. Medalion peringatan pertabalan ini dikeluarkan/ditempa oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, semua perkara berkaitan medalion pertabalan contohnya penjualan akan diuruskan oleh pihak kerajaan negeri sama bukannay BNM seperti medalion peringatan kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sulatan Johor pada 23 Mac 2015. 
  7. Ketika artikel ini ditulis, masih belum ada pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan negeri Kedah berhubung tarikh penjualan medalion peringatan tersebut.
  8. mykoleksi telah menghantar email pada 22 November 2018 bertanyakan berkaitan tarikh jualan medalion pertabalan tersebut tetapi masih belum menerima jawapan balas daripada mereka.

Hasil tinjauan mykoleksi di laman jual beli atas talian (online), 'personal Facebook' dan juga 'group Facebook', rupa-rupanya sudah ada individu yang menjual medalion peringatan pertabalan Tuanku Sultan Kedah.

  • Jualan secara kombo iaitu setem dan medalion peringatan pertabalan emas nordic ('Coincard') oleh individu 1 bermula kira-kira sebulan (1) yang lalu di laman jualan secara atas talian (online) popular dengan harga RM500.

Setem dan Medalion di jualan Secara Atas Talian (Online)

  • Tidak lama lepas itu mykoleksi terjumpa pula medalion peringatan pertabalan kedua (2) dijual oleh individu lain yang mykoleksi namakan individu 2 di 'group facebook' pada 31 October 2018, harga tidak pula dinyatakan.

Sekeping Medalion Peringatan Pertabalan Emas Nordic ('Coincard')

  • Setelah beberapa minggu berlalu, klimaks drama medalion peringatan pertabalan bermula pada 22 November 2018 dengan munculnya individu 3 menjual medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard') dalam kuantiti yang agak banyak (rujuk gambar dibawah) dan disusuli pula dengan jualan medalion peringatan pertabalan emas 999.9 (berat berbeza) pada 23 November 2018 oleh individu yang sama.
  • Rupanya individu 3 lebih 'advance' daripada individu 1 dan individu 2 (maaf sebab mykoleksi terpengaruh dengan skrip iklan lama bahanyanya HIV yang dilakonkan oleh Allahyarham Zakaria Yusof @ Zakaria Cina, "Rupanya Mona lebih 'advance' daripada aku"

Medalion Peringatan Pertabalan Emas Nordic ('Coincard') dan Medalion Peringatan pertabalan  Emas 999.9 Dijual Dalam 'Personal Page Facebook' Bermula Pada 22 November 2018


  • Mungkin disebabkan rasa tidak sempurna jika hanya menjual medalion peringatan pertabalan emas nordic (coincard') dan set medalion peringatan pertabalan emas 999.9 sahaja. 
  • Jadi, individu 3 tadi menambah lagi iklan jualan dengan koleksi medalion peringatan pertabalan lain yang ada dalam simpanan beliau bagi melayakkan beliau memegang tahta orang pertama memiliki stok semua medalion peringatan pertabalan yang dilancarkan pada 22 Oktober 2018
  • Maka bermulalah episod seterusnya drama 'individu 3 dengan stok medalion peringatan pertabalannya' dengan meletak pula gambar set VVIP (4 dalam 1) di 'group Facebook' yang boleh dikategori sebagai item baharu keluar dari 'oven' untuk dijual.

Spesifikasi Untuk Set VVIP 

  • Ternyata sekali yang individu 3 bukan calang-calang orang, kenapa? Rasa agak mustahil untuk orang biasa-biasa memiliki medalion peringatan pertabalan set VVIP (4 dalam 1).
  • Episod drama tadi masih belum tamat ditayangkan, sudah bermula pula episod yang baru. Pada kali ini individu 3 telah mengambil keputusan mengiklankan semua stok medalion peringatan pertabalan yang beliau ada.
  • Kali ini mykoleksi terpaksa tabik 'spring' bila melihat stok yang beliau ada, memang sah individu 3 sudah memiliki stok medalion peringatan emas nordic ('coincard'), emas 999.9 (berat berbeza), silver 99.9 (berat berbeza) dan set VVIP (4 dalam 1).
  • Anda rujuk gambar yang mykoleksi kongsikan dibawah,

Individu ke-3 Memiliki Semua Set Medalion Pertabalan & Boleh Tahan Juga Harga Jualannya   

  • Oleh kerana sudah tidak tahan lagi dan jiwa meronta-ronta untuk menunjuk berapa banyak stok yang ada, akhirnya individu 3 mula menunjukkan stok medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard') untuk tatapan kita semua. 
  • BUKAN SATU (1) KEPING TAPI SATU KOTAK.

Stok Medalion Peringatan Pertabalan Emas Nordic

  • Bagi anda yang belum tahu, biasanya dalam satu (1) pek ada 10 keping. Anda sudah boleh agak dengan mengira sendiri berapa jumlah.
  • mykoleksi tolong anda buat kiraan, merujuk harga yang ditulis dalam gambar diatas tadi.
           1 pek = 10 keping medalion 
           1 pek = Harga jualan individu 3 adalah RM300

           1 keping medalion = RM30

           Kita andaikan dalam kotak tu ada 25 pek medalion
             
           25 pek x RM300 = RM7500.00


Jualan Dalam Medalion Emas Nordic dan Lain-lain Set Syiling Pertabalan Dalam 'Group Facebook'

  • Nilai RM7500.00 yang anda nampak sudah termasuk duit modal, kos-kos lain dan keuntungan tapi bayangkanlah jika kesemua stok medalion peringatan pertabalan tersebut diperolehi secara PERCUMA.  
  • Itu baru kita buat kiraan 'main-main' untuk stok medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard') sahaja, belum lagi buat kiraan untuk stok medalion yang lain.

Gambar Medalion Peringatan Pertabalan Emas 999.9 dan Perak 99.9 - Kemaskini (10 Disember 2018): gambar sebelum ini terpaksa di'hide'kan atas permintaan pemilik asal gambar tersebut kerana telah disalahgunakan oleh individu 4

  • Pada 20 November 2018 yang lalu ada seorang lagi individu yang mykoleksi tidak berapa kenali iaitu individu 4 telah 'PM' melalui Facebook mykoleksi bertanyakan tentang 'mintage' medalion peringatan pertabalan tersebut seperti dalam gambar. 
  • Sudah pasti mykoleksi tiada jawapan untuk soalan individu 4 itu.
  • Gambar medalion tersebut katanya beliau dapat daripada 'kawan sana bagi gambar'. Mungkin apa yang beliau maksudkan adalah kawan dekat kedah atau individu yang berkerja atau ada kaitan dengan kerajaan negeri Kedah.
  • Hasil perbualan ringkas mykoleksi dengan individu 4, ada sedikit MAKLUMAT TIDAK RASMI yang mykoleksi perolehi seperti ringkasan dibawah:
           1. Set 4 dalam 1 = katanya ada 25 set 
           2. Set 4 dalam 1 = tidak dijual (hanya tinggal 5 set)
           3. Set lain (tak tahu set apa) = kurang 80 set

  • Pelik juga bila mykoleksi fikirkan balik, mula-mula tadi individu 4 'PM' mykoleksi bertanyakan 'mintage' medalion tersebut tetapi kenapa pula mykoleksi boleh dapat maklumat berkenaan 'mintage' daripada individu 4
  • Persoalan yang bermain difikiran mykoleksi sekarang, siapakah individu 4?
  • Akhirnya, individu 4 telah menunjukkan siapa sebenarnya beliau dan kenapa soalan 'mintage' tadi ditanyakan kepada mykoleksi.

Individu 4 Mula Menjual Medalion Peringatan Pertabalan Emas Nordic ('Coincard') dan  Medalion Peringatan Pertabalan Emas 999.9 (8 gram) Pada 26 November 2018 di 'Group' Facebook

Stok Medalion Peringatan Pertabalan Emas Nordic ('Coincard') Milik Individu 4

Beberapa teori yang mykoleksi rasa berkemungkinan menjadi punca medalion pertabalan Tuanku Sultan Kedah boleh berada dipasaran sebelum waktunya adalah:

1. Medalion diberi percuma semasa majlis pertabalan
  • Katakan medalion peringatan pertabalan ('coincard') diberi secara percuma sebagai tanda kenang-kenagan kepada orang-orang tertentu atau berkepentingan yang hadir ke majlis pertabalan Tuanku Sultan Kedah (mykoleksi merujuk kepada gambar Facebook yang dikongsi oleh mereka yang hadir semasa hari pertabalan)
  • Berkemungkinan individu 1 dan individu 2 antara yang hadir semasa hari pertabalan sebab itulah mereka memiliki medalion tersebut sekeping (1).
  • Boleh dikatakan kebanyakkan penjawat awam di kedah yang terlibat atau hadir semasa majlis pertabalan tersebut juga mendapat sekeping (1) medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard') sebagai cenderahati. 
  • Jadi, bagi mereka yang tidak berminat untuk menyimpan medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard') sebagai kenang-kenagan mungkin akan menjualnya dengan mendapat sedikit keuntungan.

2. Amanah yang diberi dikhianati
  • Semasa majlis pertabalan berlangsung, mungkin ada beberapa individu atau kumpulan yang diamanahkan untuk memberi medalion peringatan pertabalan tersebut kepada tetamu yang hadir semasa majlis pertabalan (kita ambil contoh medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard')).
  • Kita andaikan mereka diberi 5 kotak medalion tersebut untuk diedarkan semasa majlis tetapi hanya 3 kotak sahaja habis diedarkan kepada tetamu.
  • Setelah majlis pertabalan selesai, lebihan 2 kotak medalion tadi tidak di masukkan semula ditempat simpanan tetapi direkod sebagai telah habis diberikan kepada tetamu sebagai cenderahati.
  • Jadi, berkemungkinan stok medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard') yang ditunjukkan oleh individu 3 diperolehi daripada hasil kerja seni 'tangan-tangan ghaib' tersebut.
  • ada kerkemungkinan juga individu 4 mengambil stok daripada sumber sama tetapi dalam kuantiti yang sedikit. 

3. Medalion keluar ikut pintu belakang
  • Sekiranya medalion yang tidak habis diedarkan tadi dimasukkan semula di tempat simpanan tetapi tidak direkod dengan sempurna, ini mungkin menjadi salah satu punca 'tangan-tangan ghaib' mudah menjalankan kerja.
  • Memandangkan stok medalion tersebut masih banyak dalam simpanan dan pihak yang menguruskannya belum lagi bercadang untuk menjualkannya kepada orang awam kerana masih diperingkat perbincangan lagi.
  • Jadi, kesempatan ini diambil oleh 'tangan-tangan ghaib' yang menanti peluang untuk mengeluarkan medalion tersebut untuk dijual kepada mereka yang sanggup membelinya dengan harga yang mereka tawarkan demi mengaut keuntungan segera.

4. Medalion diedarkan mengikut negeri
  • Berkemungkinan juga ada yang mencadangkan medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard') khasnya diberikan kepada wakil setiap negeri di Malaysia supaya dapat diedarkan secara percuma atau dijual mengikut harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri Kedah (jika ada) tetapi setakat ini belum ada lagi keputusan untuk menjualnya.
  • Ini mungkin salah satu langkah yang dicadangkan supaya mereka yang berminat dapat memiliknya, sekiranya diberikan secara percuma medalion ini mykoleksi rasa susah nak kawal kerana biasanya ada yang akan ambil lebih.
  • Orang yang sentiasa memikirkan keuntungan ada dimana-mana termasuklah 'tangan-tangan ghaib', berkemungkinan medalion yang sepatutnya diberikan kepada orang awam secara percuma di'sembunyikan' supaya dapat dijual bagi mendapat keuntungan.
  • Jika tangungjawab yang diamanahkan tidak diuruskan dengan baik, ini memberi peluang kepada 'tangan-tangan ghaib' yang sedang menanti peluang dapat melakukan kerja mereka dengan mudah.
  • Bagi mykoleksi, teori nombor 4 ini agak susah hendak dikawal.

Pandangan atau pendapat mykoleksi:
  1. mykoleksi sebagai rakyat negeri Kedah merasa sangat terkilan dengan apa yang berlaku sekarang, medalion peringatan pertabalan yang belum diumum tarikh jualannya sudahpun mula berada dipasaran dan dijual dengan harga permulaan yang boleh dikatakan agak tinggi.
  2. Kenapa mykoleksi berkata demikian? belum ada lagi pengumuman rasmi dikeluarkan berkenaan harga dan tarikh jualan bagi medalion tersebut
  3. Jika anda sebagai pembeli, sudah pasti anda boleh berfikir secara rasional sebelum membeli, kenapa? harga jualan sebenar pun anda belum tahu, kenapa anda sanggup membeli dengan harga yang mykoleksi boleh katakan tinggi dan belum pasti.
  4. Khabar angin dalam dunia hobi numismatik adalah perkara biasa, peniaga tidak jujur yang ingin menjual item mereka dengan harga tinggi akan membuat provokasi dan serangan minda kepada bakal pembeli yang tidak sabar atau ingin menjadi antara orang yang terawal memiliki sesuatu item numismatik yang baru dikeluarkan.
  5. Selepas beberapa minggu atau bulan, anda akan mendengar pembeli tadi akan rasa kecewa dengan harga yang mereka beli dahulu. Siapa yang hendak dipersalahkan? peniaga tidak jujur atau pembeli
  6. Bukan setakat harga jualan sahaja yang menjadi perdebatan tetapi jumlah pengeluaran medalion peringatan pertabalan lain seperti set VVIP dan set-set lain masih lagi menjadi tanda tanya. 
  7. Cuma jumlah pengeluaran untuk medalion peringatan pertabalan emas nordic ('coincard') sahaja yang kita ketahui iaitu 10,000 keping.   
  8. Kenapa anda perlu berbelanja lebih untuk mendapatkan medalion peringatan pertabalan dengan membelinya sekarang? mengikut pengalaman mykoleksi, harga akan datang akan menjadi lebih murah jika dibandingkan dengan harga sekarang. Sebagai contoh yang kita boleh ambil adalah medalion peringatan kemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim Sulatan Johor pada 23 Mac 2015 yang dahulunya harga jualan sekitar RM150 - RM200 sekeping tetapi sekarang anda boleh dapat dengan harga RM40 sahaja jika anda pandai mencarinya. 
  9. Jangan biarkan diri anda diperbodohkan oleh peniaga tidak jujur yang ingin cepat kaya dengan menaburkan kata-kata manis mereka yang sudah lapuk, akhirnya duit anda yang melayang dan mereka mengaut keuntungan sambil tersenyum melihat kebodohan anda.
  10. Ingatlah, peniaga tidak jujur juga perlu membayar habuan kepada 'tangan-tangan ghaib' yang mereka upah untuk menbawa keluar 'ikut pintu belakang' medalion peringatan pertabalan tersebut.
  11. Dari manakah peniaga tidak jujur tadi mendapat pulangan bagi menggantikan duit habuan 'tangan-tangan ghaib? sudah pasti jawapanya adalah daripada pembeli iaitu anda yang sudah membelinya. Secara tidak langsung anda bersubahat dengan aktiviti KOTOR mereka.
  12. mykoleksi ucapkan TAHNIAH kepada anda yang telah memberi sumbangan dan galakan kepada 'tangan-tangan ghaib' dan peniaga tidak jujur supaya meneruskan aktiviti KOTOR mereka dengan cara membeli hasil jualan yang anda tidak tahu sumbernya HALAL atau HARAM.
  13. Pandangan atau pendapat yang mykoleksi sampaikan ini bukan dipengaruhi oleh perasaan dengki atau berniat untuk tutup 'periuk nasi' 'tangan-tangan ghaib' dan peniaga tidak jujur yang miliki atau menjual medalion peringatan pertabalan tersebut. 
  14. Berniaga tidak salah tetapi biarlah berniagalah dengan cara yang betul, berhemah, amanah dan jujur serta mendahulukan soal HALAL dan HARAM dalam aktiviti jual beli anda. In Sha Allah, urusniaga anda diberkat Allah S.W.T dan ingatlah yang rezeki tidak pernah salah alamat.
  15. mykoleksi lebih suka mengambil langkah untuk menegur daripada membiarkan aktiviti seperti 'tangan-tangan ghaib' dan peniaga tidak jujur berterusan, kita sepatutnya sama-sama mencari jalan untuk menghentikan terus aktiviti mereka supaya dunia hobi numismatik tidak dipenuhi dengan mereka yang tidak jujur dan suka mengambil kesempatan bagi mendapat keuntungan semata-mata dengan mengunakan alasan hobi numismatik.
  16. Sekiranya anda (pembeli) perasan, iklan jualan medalion peringatan pertabalan Tuanku Sultan Kedah yang dibuat oleh peniaga tidak jujur tidak ada terma dan syarat jualan yang menyatakan SETIAP BARANG YANG DIBELI TIDAK BOLEH DIKEMBALIKAN
  17. Inilah masanya, anda yang sudah membeli medalion berkaitan pertabalan Tuanku Sultan Kedah tetapi tidak mahu lagi bersubahat dengan kerja KOTOR mereka boleh mengambil peluang ini dengan MEMULANGKAN SEMULA MEDALION YANG ANDA BELI KEPADA PENIAGA TIDAK JUJUR tadi dan cuba anda lihat apa riaksi mereka terhadap anda nanti.
  18. Mungkin itulah salah satu langkah awal untuk anda (pembeli) menunjukkan PROTES, adakah anda berani berbuat demikian?

Nampaknya begitu panjang lebar mykoleksi kupas tentang medalion peringatan pertabalan Tauanku Sultan Kedah sehingga hampir terlupa yang ada lagi satu topik perbincangan yang hebat juga, sekarang kita pergi kepada topik perbicangan yang seterusnya:

Duit Syiling Peringatan Semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 2014


Rekabentuk Duit Syiling Peringatan Semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 2014


Ringkasan:
  1. Tidak banyak maklumat diperolehi tentang duit syiling peringatan ini, mykoleksi difahamkan yang Bank Negara Malaysia (BNM) sepatutnya mengeluarkannya (sumber tidak rasmi) pada tahun 2014 tetapi tidak pasti pula kenapa duit syiling tersebut tidak dikeluarkan untuk jualan kepada orag awam.
  2. Kebiasaannya, duit syiling peringatan yang tidak dikeluarkan akan dilupuskan atau disimpan di tempat simpanan selamat, contohnya bilik kebal yang mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi (selalu nampak dalam filem macam tu).
  3. Nampaknya duit syiling yang mykoleksi beri nama sebagai 'Duit Syiling Peringatan Sempena Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 2014' tidak dilupuskan atau betul-betul disimpan ditempat yang selamat. Kenapa berkata demikian?
  4. mykoleksi mendapat maklumat yang duit syiling peringatan tersebut dihantar ke Numismatic Guaranty Corporation (NGC) untuk digred.
  5. Apa yang menjadi persoalannya sekarang, bagaimana syiling tersebut boleh terlepas pula keluar atau berada ditangan individu kemudian dihantar pula ke NGC untuk digred. 
  6. Sumber rujukan manakah yang digunakan oleh NGC untuk maklumat berkaitan syiling tersebut. mykoleksi sendiri pun tidak dapat mengagaknya.
  7. mykoleksi rasa (sebab ada bahagian yang terlindung) duit syiling peringatan tersebut diberi gred 'PF70 ULTRA CAMEO' oleh NGC, ini berkemungkinan duit syiling bernilai muka 1 Ringgit (emas nordic) tersebut diambil daripada set 3 dalam 1 atau set 2 dalam 1 kerana hanya didalam set tersebut sahaja ada duit syiling emas nordic yang dikatakan peruf.
  8. Jika ianya diambil dari 'coincard' dan dihantar untuk NGC gred, berkemungkinan gred yang akan dapat adalah MS68 kerana emas nordic bukan peruf (berdasarkan fahaman mykoleksi).
  9. Sekiranya kita merujuk kepada gambar, NGC telah melabelkan duit syiling tersebut sebagai '2014 MALAYSIA RINGGIT PULAU PINANG'.
  10. Satu lagi persoalan yang bermain dalam fikiran mykoleksi, bagaimana pula boleh ada juga duit syiling peringatan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dalam senarai NGC.
  11. Sepanjang pengetahuan mykoleksi, duit syiling peringatan RMK10 juga tidak dikeluarkan atau dijual kepada orang awam
  12. Nampaknya ada dua (2) duit syiling peringatan yang sudah terlepas daripada bilik kebal BNM, apa sudah jadi?

Semakin hari semakin mencabar dunia hobi numismatik ini kerana ada saja individu yang akan mengunakan tiket hobi numismatik sebagai salah satu cara untuk mengaut keuntungan.

'Any Info For This Coin?'

  • Soalan yang ditanya oleh individu ini agak susah untuk dijawab oleh kami orang biasa, mykoleksi rasa pihak BNM sahaja yang tahu jawapannya.
  • Anda boleh rujuk gambar dibawah, ada sedikit maklumat berkaitan duit syiling Peringatan Semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 2014 dan duit syiling peringatan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

Pandangan Hadapan dan Belakang Duit Syiling Peringatan Semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 2014 Berserta Sedikit Maklumat Daripada NGC 

  • mykoleksi ada juga merujuk buku katalog terkini yang dikeluarkan oleh Mr. K.N. Boon (Numismatic Reference 1786 - 2016 MALAYSIA BRUNEI & SINGAPORE Banknote & Coin, 8th Edition) dan Mr. Steven Tan (Standard Catalogue of MALAYSIA, SINGAPORE & BRUNEI COINS & PAPER MONEY, 22th Edition), nampaknya tiada maklumat tentang Duit Syiling Peringatan Semperna Jabatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, 2014
  • Maklumat duit syiling peringatan RMK10 juga tiada dalam kedua-dua buku katalog yang mykoleksi kongsikan.
  • Siapa yang menceburi dunia hobi numismatik mesti kenal dengan kedua-dua orang penulis buku katalog tersebut kerana buku mereka adalah antara buku rujukan utama numismatik yang mendapat kebenaran atau permit menulis atau cetak oleh BNM.

Maklumat Dalam Buku Katalog Mr. K. N. Boon (Numismatic Reference 1786 - 2016 MALAYSIA BRUNEI & SINGAPORE Banknote  Coin, 8th Edition) - BNM Permit No. BNM/08/04-2016

Dalam buku Mr. Steven Tan (Standard Catalogue of MALAYSIA, SINGAPORE & BRUNEI COINS & PAPER MONEY, 22th Edition) Juga Tiada Maklumat Berkenaan Kedua-dua Duit Syiling Peringatan Tersebut - BNM Permit No. BNM12/06-2016

mykoleksi ada terfikir beberapa teori yang mungkin menjadi penyumbang utama kepada 'terlepas' kedua-dua syiling peringatan tersebut adalah

1. Tidak amanah dalam menjalankan tugas
  • Mereka yang diamanahkan untuk menyimpan atau melupuskan kedua-dua duit syiling tersebut sepatutnya menjalankan tugas mereka dengan amanah.
  • Berkemungkinan kedua-dua syiling tersebut tidak disimpan atau dilupuskan seperti diarahkan tetapi 'hilang' untuk dijual kepada pembeli yang sedang menanti, sudah pasti pembeli tersebut adalah individu yang mereka kenali dan pernah berurusniaga.
  • Semua ini berlaku disebabkan oleh sikap tidak amanah dan tamakkan wang sahaja.

2. Simpan tetapi tidak direkod dengan betul
  • Berkemungkinan kedua-dua syiling tersebut disimpan tetapi tidak direkodkan dengan baik sebagai contoh ada 3 set duit syiling peringatan tetapi merekodkan hanya ada 2 set saja. 
  • Jadi, set yang tidak direkodkan akan dikeluarkan setelah beberapa lama berada dalam simpanan untuk dijual. 

3. Milik individu yang terlibat dalam penghasilan duit tersebut
  • Berkemungkinan pereka atau orang yang terlibat dalam penghasilan duit syiling tersebut ada menyimpan duit syiling hasil kerja mereka sebagai kenangan.
  • Mungkin juga duit syiling tersebut terlepas ketangan orang lain dengan cara tidak disengajakan sebagai contoh bekas simpan syiling tersebut tertinggal dikedai makan semasa berkongsi cerita tentang syiling tersebut. 

Pandangan atau pendapat mykoleksi:
  1. Nampaknya, selepas ini BNM mesti lebih berhati-hati dengan keberanian 'tangan-tangan ghaib' yang ada didalam BNM sendiri. 
  2. Mustahil jika 'kerja' tersebut dilakukan oleh orang luar yang tidak memiliki akses yang sah kepada tempat simpanan kedua-dua duit syiling peringatan tersebut.
  3. Jika tindakan segera tidak diambil, sudah pasti akan ada lagi cerita duit syiling peringatan yang tidak dikeluarkan oleh BNM wujud dalam dunia hobi numismatik. Sudah pasti nama baik BNM sebagai bank pusat di Malaysia akan tercemar.
  4. Nasib baiklah ada individu berkongsi dan bertanyakan maklumat tentang kedua-dua duit syiling peringatan tersebut yang muncul di facebook
  5. Jika tidak, mungkin sampai bila-bila mykoleksi tidak tahu wujudnya kedua-dua duit syiling peringatan tersebut
  6. Syiling tersebut telah dihantar untuk digred, ini telah membuktikan ada individu yang memilikinya sebagai koleksi. Siapakah individu tersebut? mungkin NGC ada jawapannya atau boleh bertanya dengan orang pertama yang berkongsi gambar duit syiling tersebut di Facebook.
  7. mykoleksi tidak pernah mendengar lagi yang pihak BNM atau wakilnya pernah menghantar duit syiling peringatan atau wang kertas keluarkan BNM untuk digred bagi melihat sendiri kualiti matawang keluaran mereka. Kalau benar ada, mykoleksi rasa kes ni boleh ditutup tanpa sebarang persoalan lagi.
  8. Anda tidak boleh samakan duit syiling peringatan keluaran BNM dengan matawang lama zaman kesultanan kerana sudah pasti matawang lama zaman kesultanan agak susah untuk diperolehi dan tiada siapa yang ditugaskan untuk merekodnya ketika itu.
  9. Setiap pengeluaran duit syiling peringatan BNM sudah pasti akan direkod dan ada individu  yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan AMANAH tersebut. Mungkin boleh bertanya individu tersebut untuk mendapatkan jawapan tetapi siapakah individu itu?
  10. Sepatutnya mereka yang diberi tanggungjawab tersebut wajib menjalankan amanah tersebut dengan sebaik mungkin dan tidak sesekali mengkhianatinya.
  11. Sekiranya sifat AMANAH sudah disemat didalam diri setiap mereka yang diberikan tugas tersebut akan menjalankannya dengan sehabis baik. Sudah pasti masalah duit syiling peringatan terlepas keluar daripada simpanan tidak akan berlaku.

Kesimpulan yang mykoleksi dapat buat daripada penulisan kali ini:
  1. Selagi masih ada orang yang tidak kisah dengan soal halal vs haram, pahala vs dosa dan amanah vs khianat, sudah pasti isu 'tangan-tangan ghaib' tidak dapat dihalang.
  2. 'Tangan-tangan ghaib' wujud kerana ada individu yang sanggup berkerjasama dan memberi bayaran lumayan untuk setiap barangan atau item numismatik yang berjaya dikeluarkan oleh mereka. 
  3. Bukan 'tangan-tangan ghaib' sahaja yang mesti diberi perhatian tetapi peniaga tidak jujur juga perlu dipantau supaya aktiviti mereka dapat dikurangkan kerana jika dibiarkan ianya akan merosakkan kepercayaan orang ramai dengan hobi numismatik.
  4. mykoleksi berharap individu (diluar atau facebook), kelab/persatuan numismatik berdaftar, kelab/'group page' numismatik Facebook dan orang yang berpengaruh dalam hobi numismatik dapat berkerjasama untuk menangani isu 'tangan-tangan ghaib' dan peniaga tidak jujur ini dengan menjalankan tangungjawab mengikut kemampuan masing-masing, sebagai contoh:
  • Individu (diluar atau facebook) - tidak membeli barangan atau item numismatik yang anda was-was atau tidak pasti sumbernya. Jika sumbernya datang daripada cara yang salah contohnya 'tangan-tangan ghaib', eloklah anda mengelak untuk membelinya kerana takut nanti anda pula akan ditimpa masalah.
  • Kelab/persatuan numismatik berdaftar - anda boleh jalankan tangungjawab sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menbantu para peminat numismatik khasnya untuk mendapat maklumat tentang sesuatu perkara 'panas' berkaitan hobi numismatik. mykoleksi yakin selain daripada mengadakan 'auction' pada setiap tahun, ada lagi aktiviti dan sumbangan yang lebih manfaat boleh anda lakukan dalam usaha membangunkan hobi numismatik.
  • Kelab/'group page' numismatik Facebook - cadangan mykoleksi, sila pantau aktiviti yang berlaku dalam kelab/'group page' yang anda wujudkan. Jika ada 'posting' jual beli yang mencurigakan atau perkongsian maklumat palsu/belum sahih yang tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh kelab/'group page' anda. Tidakkan yang boleh diambil adalah dengan memberikan amaran segera atau 'delete post' sekiranya apa yang dipaparkan boleh mendatangkan masalah kepada kelab/'group page' yang anda uruskan, sebagai contoh yang boleh diambil adalah 'post' jual beli medalion peringatan pertabalan Tuanku Sultan Kedah yang belum lagi dimaklumkan tarikh penjualannya kepada orang awam.
  • Orang yang berpengaruh dalam hobi numismatik - kita tahu ada orang berpengaruh dalam hobi numismatik, cuma mereka tidak banyak 'bunyi' bila ada isu sebegini. Kenapa? sila gunakan pengaruh anda untuk membendung perkara ini daripada terus berleluasa.

Sekian saja ulasan mykoleksi pada kali ini, harap anda 'enjoy' menbacanya

Yang anti dengan 'tangan-tangan ghaib',
mykoleksi

1 comment:

Ajai said...

Ahli numis bersatu boikot sahaja penjualan syiling tersebut



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute