Cari Post lain disini

Monday, November 14, 2022

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1000 pada Isnin, 14 November 2022
14 Nov 2022

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Bandar Raya Kuala Lumpur yang ke-50 (KL50).

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf)

Duit syiling ini mempunyai berat 31 gram dan diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini mempunyai berat 8.5 gram serta diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM330. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Butiran terperinci mengenai kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran di bawah.
 
Reka bentuk duit syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

Bahagian Hadapan

Bahagian hadapan duit syiling memaparkan latar langit Kuala Lumpur dan pengangkutan moden yang digandingkan dengan muka jam Bangunan Sultan Abdul Samad. Paparan ini melambangkan peredaran zaman sejak Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai bandar raya pada tahun 1972 dan telah menyaksikan kemajuan dan perkembangan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya moden.

Bahagian Belakang

Nama BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada bahagian atas duit syiling, berserta logo rasmi KL50 (logo berwarna hanya terdapat pada duit syiling perak sterling). Bangunan Istana Budaya dan elemen daripada Taman Tasik Perdana juga dipaparkan bagi melambangkan Kuala Lumpur sebagai pusat kebudayaan dan bandar lestari. Nilai muka “10 RINGGIT” dan “1 RINGGIT” pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling”.

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 11.00 pagi hari Isnin, 14 November 2022 hingga 11.00 malam Ahad, 27 November 2022.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan.
 
Lampiran - Spesifikasi Teknikal


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST).

Bank Negara Malaysia
14 November 2022

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute