Cari Post lain disini

Friday, December 23, 2022

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun ke-50 RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia)

Embargo : Untuk siaran segera
23 Dis 2022

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang ke-50. 

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi: 

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling Berwarna (pruf)

Diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5, duit syiling ini mempunyai berat 31 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa. 

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini mempunyai berat 8.5 gram serta diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa. 

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM330. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian. 

Butiran terperinci mengenai kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran.

Reka bentuk duit syiling 

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut: 
Bahagian Hadapan 
 
Bahagian hadapan duit syiling memaparkan tulisan “JUBLI EMAS” dan “JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA” pada bahagian atas dan sekeliling kiri, berserta corak samaran RELA yang ikonik dalam bentuk digital pada sebelah kiri. Sebelah kanan bahagian hadapan syiling pula memaparkan bayang kakitangan RELA mengangkat tabik hormat, sebagai lambang disiplin dan kecekalan. Bayang ini berlatarkan motif perisai yang mewakili khidmat bakti RELA dalam memberikan perlindungan dan keselamatan kepada orang ramai. 
Bahagian Belakang 

Nama BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik dipaparkan pada sekeliling kiri duit syiling. Manakala logo peristiwa dipaparkan pada bahagian kanan berlatarkan bayang logo asal RELA pada tahun 1972 (logo berwarna dipaparkan pada duit syiling perak sterling). Nilai muka “10 RINGGIT” dan “1 RINGGIT” pula dipaparkan pada bahagian kiri duit syiling. 
 
Jualan duit syiling peringatan 

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.). 

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 10.00 pagi Jumaat, 23 Disember 2022 hingga 11.00 malam Ahad, 8 Januari 2023.
 
Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan. 

Lampiran: Spesifikasi Teknikal 


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST). 

Bank Negara Malaysia
23 Disember 2022

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute