Cari Post lain disini

Saturday, June 10, 2023

Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour Sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia Ke-10, 1 Julai 2023

Pelantikan Datuk Abdul Rasheed Ghaffour sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia

Embargo : Untuk siaran segera
9 Jun 2023

Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan Datuk Shaik Abdul Rasheed bin Abdul Ghaffour sebagai Gabenor untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028. Beliau akan mengambil alih jawatan Gabenor daripada Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang akan menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun 2023.

Gabenor Shamsiah berkata: “Menerajui Bank selama lima tahun ini merupakan suatu penghormatan kepada saya. Saya berterima kasih kerana diberi peluang untuk memimpin Bank dan berkhidmat untuk negara, terutamanya semasa keadaan tidak menentu dan sangat penting kepada negara.

“Saya percaya Rasheed merupakan pilihan yang tepat untuk menerajui Bank sebagai Gabenor, setelah bertahun-tahun bekerjasama rapat dengan beliau. Saya yakin dengan keupayaan beliau untuk memimpin Bank bagi terus memenuhi mandat Bank iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.”

Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan kepada Gabenor Shamsiah atas sumbangan dan perkhidmatan beliau kepada Bank dan juga negara. Beliau telah menunjukkan kepimpinan terbaik dan komitmen yang luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Gabenor dan Pengerusi Lembaga Pengarah. Berdasarkan pengalaman yang luas dan prestasi Datuk Abdul Rasheed yang cemerlang semasa berkhidmat di Bank, Lembaga Pengarah yakin bahawa beliau akan memimpin Bank untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan dan meneruskan tradisi kecemerlangan Bank demi kepentingan negara.

Datuk Abdul Rasheed berkata: “Pelantikan sebagai Gabenor merupakan suatu penghormatan kepada saya. Saya akan meneruskan dan meningkatkan lagi usaha Gabenor Shamsiah. Di bawah kepimpinan beliau, Bank terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik. Beliau juga telah memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan Bank pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan. Saya akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Gabenor.”

Datuk Abdul Rasheed mula berkhidmat di Bank pada tahun 1988 dan dilantik sebagai Timbalan Gabenor pada tahun 2016. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya. Beliau juga mempunyai MBA daripada Saïd Business School, Oxford University. Sepanjang kerjayanya, Datuk Abdul Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan. Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak tahun 2015. Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan (2000-2010) dan Pelan Sektor Kewangan (2011-2020 dan 2022-2026).

Bank Negara Malaysia
9 Jun 2023

Sumber asal: www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute