Sebagai pengeluar tunggal mata wang, hanya Bank Negara Malaysia (Bank) yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang kertas dan duit syiling yang sah diperlakukan (legal tender) di Malaysia. Mata wang yang sah diperlakukan bermaksud wang kertas ringgit dan duit syiling yang dikeluarkan oleh Bank diiktiraf oleh undangundang sebagai medium pembayaran yang sah. Sebaliknya, mata wang palsu merupakan wang kertas dan duit syiling tiruan yang dihasilkan oleh penjenayah dengan niat untuk menipu orang ramai demi keuntungan kewangan. Mata wang palsu tidak sah diperlakukan dan tidak mempunyai nilai. Oleh itu, Bank tidak membayar balik manamana mata wang Malaysia palsu.
Di Malaysia, penjenayah lazimnya menyasarkan wang kertas dalam denominasi tinggi disebabkan oleh nilainya yang tinggi. Jika dilihat sepintas lalu, wang kertas palsu mungkin kelihatan serupa dengan wang kertas tulen. Walau bagaimanapun, jika diteliti dengan lebih dekat, terdapat perbezaan yang jelas yang perlu diketahui oleh orang ramai. Wang kertas tulen mempunyai banyak ciri keselamatan yang sukar untuk ditiru. Oleh itu, cara terbaik untuk membezakan wang kertas tulen daripada wang kertas palsu adalah dengan mengenal pasti ciri-ciri keselamatan lazim seperti imej tanda bayang, tanda pandang telus yang sempurna, benang keselamatan dan cetakan intaglio (yang memberikan rasa kasar pada permukaan wang kertas).
Sumber: Laporan Tahunan BNM 2022
No comments:
Post a Comment