Cari Post lain disini

Sunday, June 8, 2008

Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun TUDM Ke-50


Ini adalah Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun Penubuhan TUDM Ke-50 yang mampu aku beli sebagai koleksi. Aku beli duit syiling yang diperbuat daripada Emas Nordic bernilai muka RM1, kalau nak beli duit syiling emas dan perak pruf mahal sangat....beli setakat termampu. Bagi mendapat penerangan lanjut, bolehlah baca dibawah;

**********

Bank Negara Malaysia mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-50 penubuhan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Duit syiling peringatan ini, yang dilancarkan pada hari ini oleh DYMM Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’In Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’Ayatuddin Al-Mu’Adzam Shah selaku Kolonel Yang Dipertua Tentera Udara Diraja Malaysia, diadakan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang.
Duit syiling peringatan tersebut sah diperlakukan dan mempunyai spesifikasi berikut:
  1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya ialah RM1,248 sekeping. Sebanyak 100 keping sahaja ditempa.
  2. Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)
    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan beratnya ialah 21.00 gram sekeping. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya ialah RM138 sekeping. Sebanyak 350 keping sahaja ditempa.
  3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
    Nilai muka duit syiling Emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya ialah RM8 sekeping. Sebanyak 10,000 keping ditempa.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas Nordic pruf. Set ini dijual pada harga RM1,438 setiap set dan hanya terdapat 150 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas Nordic pruf. Set duit syiling ini dijual pada harga RM188 setiap set dan hanya terdapat 200 set sahaja. Butiran terperinci berkaitan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan tersebut adalah seperti dalam Lampiran I.

Reka bentuk Duit Syiling

Berikut ialah penerangan tentang reka bentuk duit syiling peringatan Ulang Tahun Ke-50 penubuhan TUDM
  1. Sebelah Hadapan Duit Syiling
    Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling ini memaparkan transformasi pesawat TUDM, yang dilambangkan oleh pesawat pertama TUDM iaitu "Twin Pioneer" dan pesawatnya yang terbaharu dibeli iaitu "Sukhoi Su-30MKM". Garisan yang menyambungkan kedua-dua pesawat ini memaparkan perkembangan yang telah dilalui oleh TUDM sepanjang 50 tahun dalam sejarah penerbangan. Perkataan Ulang Tahun Ke-50 Tentera Udara Diraja Malaysia serta tahun 1958 dan 2008 pula tertera pada bahagian sisi duit syiling tersebut, yang memperlihatkan pencapaian TUDM.
  2. Sebelah Belakang Duit Syiling
    Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan tanda kebesaran TUDM pada bahagian tengah duit syiling. Perkataan BANK NEGARA MALAYSIA tertera pada bahagian sisi atas duit syiling, manakala nilai mukanya tertera pada bahagian sisi bawah duit syiling.

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan mula dijual pada 2 Jun 2008 di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) dan di cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute