Cari Post lain disini

Friday, July 4, 2008

Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Ke-100 Penubuhan St.John Ambulans Malaysia (SJAM)


Salam semua buat pengunjung blog aku....kali ini bank Negara malaysia telah mengeluarkan Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Ke-100 Penubuhan St.John Ambulans Malaysia (SJAM). Dibawah adalah info pasal Syiling terbaru tersebut untuk pengetahuan bersama;
**********
Bank Negara Malaysia mengeluarkan tiga jenis duit syiling peringatan bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-100 penubuhan St.John Ambulans Malaysia (SJAM). Duit syiling peringatan ini dilancarkan pada hari ini oleh YB Dato' Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan di Kementerian Kesihatan, Kuala Lumpur.
Duit syiling peringatan tersebut sah diperlakukan dan mempunyai spesifikasi berikut:
  • Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)
    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya ialah RM1,248 sekeping. Sebanyak 100 keping sahaja ditempa.
  • Duit Syiling Peringatan Perak (pruf)
    Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak Sterling dengan ketulenan 92.5 dan beratnya ialah 21.00 gram sekeping. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya ialah RM138 sekeping. Sebanyak 350 keping sahaja ditempa.
  • Duit Syiling Peringatan Emas Nordic
    Nilai muka duit syiling Emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya ialah RM8 sekeping. Sebanyak 10,000 keping ditempa.
Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1 dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak dan emas Nordic pruf. Set ini dijual pada harga RM1,438 setiap set dan hanya terdapat 150 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak dan emas Nordic pruf. Set duit syiling ini dijual pada harga RM188 setiap set dan hanya terdapat 200 set sahaja. Butiran terperinci berkaitan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan tersebut adalah seperti dalam Lampiran I.

Reka bentuk Duit Syiling
Berikut ialah penerangan tentang reka bentuk duit syiling peringatan Ulang Tahun ke-100 penubuhan SJAM.

Sebelah Hadapan Duit Syiling
Reka bentuk sebelah hadapan duit syiling peringatan ini memaparkan gambar dua sukarelawan SJAM sedang membawa pesakit ke dalam ambulans. Perkataan St.John Ambulans Malaysia tertera pada bahagian sisi atas duit syiling, manakala cogan kata rasmi SJAM, iaitu Perkhidmatan Bagi Manusia, dipaparkan pada bahagian sisi bawah duit syiling tersebut.

Sebelah Belakang Duit Syiling
Reka bentuk sebelah belakang pula memaparkan lambang rasmi SJAM pada bahagian tengah duit syiling. "St.John's Wort", sejenis tumbuhan herba berbunga kuning yang digunakan untuk merawat luka, lecur, gigitan serangga dan penyakit malaria dipaparkan mengelilingi bahagian bawah lambang rasmi SJAM. Perkataan Ulang Tahun Ke-100 dipaparkan pada bahagian atas sisi duit syiling menandakan tempoh 100 tahun penubuhan SJAM manakala perkataan BANK NEGARA MALAYSIA sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan wang, tertera pada bahagian sisi bawah duit syiling. Nilai muka duit syiling tertera di bawah pada bahagian tengah duit syiling tersebut.

Lokasi Jualan
Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan mula dijual pada 24 Jun 2008 di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) dan di cawangannya di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.
Bank Negara Malaysia
24 Jun 2008

Sumber: Bank Negara Malaysia

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute