___________________________
Oleh HAFIZAHRIL HAMID
TOKOH yang seorang ini memang mempunyai auranya yang tersendiri. Kelibatnya saja mampu menjadikan para wanita teruja malah mungkin "cair" dibuatnya.
Namun keterujaannya itu bukanlah disebabkan oleh penampilan atau ketampanan wajahnya walaupun beliau pernah menjadi model yang menghiasi iklan-iklan sama ada di televisyen mahupun di dada akhbar.
Manakan tidak sebut sahaja HABIB, pasti para wanita akan berasa teruja dengan deretan barang kemasnya yang menghiasi setiap outlet miliknya di Malaysia.
Malah penulis sendiri yang berpeluang menemubual Datuk Meer Sadik Habib sehari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha turut "berpinar" melihat deretan barang-barang kemas yang terdapat di kedai yang juga ibu pejabat HABIB di Ampang Point, Kuala Lumpur.
Tapi apakan daya, penulis dan jurugambar hanya mampu menelan air liur sahaja, kerana apa yang ditunjukkan itu adalah antara koleksi terbaik keluaran syarikat tersebut yang harganya sahaja mencecah ratusan ribu ringgit.
Namun yang pasti, hasil kerja yang dilakukan oleh HABIB ini adalah antara yang terbaik mutunya bersesuaian dengan jenama HABIB itu sendiri yang tersenarai antara syarikat perniagaan barang kemas terulung di negara ini.
Perkembangan HABIB bukan sahaja sebagai memperniagakan barang kemas semata-mata, ia berkembang dari pembuatan, penjualan dan pemasaran pelbagai barang kemas mengikut kemampuan masyarakat.
Menurut Meer Sadik, HABIBl sangat mementingkan kualiti dan rekaan barang kemasnya senantiasa mengikut rekaan terkini bagi memastikan ia memperolehi pengiktirafan antarabangsa.
Melalui pengiktirafan antarabangsa, HABIB menjadi sebuah entiti perniagaan yang dipercayai pelanggan-pelanggan bukan sahaja di negara ini malah termasuklah di Eropah, Amerika Syarikat, Singapura, Brunei, Indonesia serta di negara-negara Arab.
Sepanjang hampir dua jam wawancara ini berlangsung, gaya beliau begitu bersahaja. Pertemuan tersebut berlangsung dalam keadaan santai malah Meer Sadik begitu merendah diri, langsung tidak menunjukkan dirinya adalah jutawan.
Tiap soalan yang ditanya, di jawabnya dengan begitu tenang dan adakalanya beliau terdiam sejenak sebelum menjawabnya dengan begitu berhati-hati.
Karakter yang ditunjukkannya ini mungkin kerana beliau lebih senang tidak terlalu menonjolkan diri jika tidak ada keperluan.
No comments:
Post a Comment