Cari Post lain disini

Friday, March 25, 2011

Wang Kertas RM1000 Tan Sri Dato' Ahmad Bin Mohd Don - Key chain


RM1000 adalah satu nilai yang besar untuk disimpan sebagai koleksi, aku pun begitu. Namun disebabkan aku memang suka mengumpul matawang lama dan baru Malaysia, aku pun menggagahkan diri utuk simpan RM1000 siri ke-7 yang dikeluarkan oleh BNM pada tahun 1995 – 1998. Dicetak oleh Giesecke & Devrient dan no sirinya bermula dengan ZY – ZA, RM1000 yang aku dapat bernombor siri ZA2311188. Wang kertas tersebut telah ditandatangani oleh gabenor BNM ke-5 iaitu Tan Sri Dato' Ahmad bin Mohd Don.
Panjang juga intro aku, sebenarnya apa yang aku nak ceritakan adalah aku telah berjaya memperolehi RM1000 tersebut dengan harga yang amat murah kerana ianya adalah “Keychain” matawang Malaysia, jadi dengan adanya “keychain” tersebut secara automatik aku dah ada koleksi wang kertas RM1000. orang tua-tua penah berkata “Tak dapat gading, tanduk pun jadilah” dan kata aku pula ‘Tak dapat note RM1000 betul-betul, Keychain RM1000 pun jadilah”. Ada juga koleksi RM1000 dalam simpanan walaupun zahirnya adalah berbeza, tapi aku tetap menanam azam untuk mendapatkan koleksi lengkap RM1000 suatu hari nanti. Tak lari RM1000 dikejar nanti boleh dapat juga, apa yang penting kena sabar dan bertindak dengan bijak. Sekarang, aku sedang memburu wang kertas RM100 untuk melengkap koleksi. Dibawah adalah koleksi “Keychain” yang ada dengan aku sekarang, kalau ada yang berminat boleh PM aku;

RM1000 - Tandatangan Tan Sri Dato' Ahmad Bin Mohd Don



RM100 - Tandatangan Tan Sri Dato' Jaffar bin Hussein


RM1 - Tandatangan Tan Sri Dato' Jaffar bin Hussein

Wednesday, March 23, 2011

Wang RM10 Polimer Tahun 2004 - Zeti Aziz?

Gambar hiasan

Lama betul aku tak menulis dalam blog my-koleksi, yang banyak aku buat sekarang hanyalah “copy” dan “paste” info yang aku dapat dari akhbar untuk dijadikan isi blog. Tapi tak kisahlah sebab faktor masa yang menghalang aku untuk menulis perkara yang berkaitan hobi mengumpul matawang lama dan baru. Mungkin anda rasa sedikit pelik dengan tajuk “Wang RM10 Polimer Tahun 2004 – Zeti Aziz”.

Kenapa pula tiba-tiba aku tulis topik berkenaan wang RM10 polimer?, padahal aku tahu yang wang kertas tersebut sememangnya tidak wujud.....buku yang bertajuk Standard Catalog of World Paper Money Modern Issues 1961 – Present, 15th Edition yang menarik minat aku untuk menulis berkenaan perkara tersebut. Bagi sesiapa yang ada buku tersebut boleh buka mukasurat 627, terdapat satu tajuk “2004 ND polymer Issue”. Dibawah tajuk tersebut ada pula ditulis “10 Ringgit – ND (2004) Red Polymer Plastic”. Pelikkan? Sebab memang kita sedia maklum yang hanya ada Wang RM5 polimer sahaja yang digunapakai di Malaysia sekarang, dalam buku tu ditulis sebagai “5 Ringgit – ND (2004) Green Polymer Plastic”. Konfius kejap aku, kemudiannya aku terus mencari lagi dalam buku tersebut, mana tahu ada cerita selanjutnya ditulis pada mana-mana bahagian yang mungkin aku tak baca. Sila rujuk gambar dibawah;


Pandangan aku berkenaan Wang RM10 Polimer “10 Ringgit –ND (2004) Red Polymer Plastic” yang ditulis dalam buku tersebut adalah seperti berikut;

  1. Berkemungkinan penulis buku tersebut mendapat informasi yang salah berkaitan matawang polimer yang digunakan di Malaysia.
  2. Kesalahan tersebut mungkin juga tidak disengajakan kerana dalam buku setebal 1112 mukasurat yang padat dengan maklumat, tidak mustail penulis boleh jadi keliru dengan fakta/info hendak ditulisnya.
  3. Selain itu, mungkin juga penulis/editor terlepas pandang semasa menyemak isi kandungan buku tersebut sebelum ianya di “finalize” dan dicetak.

Harapan aku adalah supaya penulis/editor buku tersebut membuat pembetulan segera bagi kesilapan maklumat/fakta yang diberikan supaya tidak mendatangkan kekeliruan terutama sekali kepada “collector” matawang Malaysia.

Pesanan aku kepada pengunjung blog my-koleksi, Jangan pula lepas ni ada pula yang mencari wang RM10 Polimer tandatangan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz kerana memang tidak ada/wujud. Kalau nak cari juga aku tak menghalang, mana tahukan boleh dapat. Dunia sekarang macam-macam ada, yang mustahil pun boleh jadi tidak mustahil seperti Wang Kertas SA-PULOH siri pertama (1967 - 1972) watermark “Agong”......

Notes:

Sekiranya maklumat yang aku tulis ini salah, sila maklumkan kepada aku. Mana tahu aku pula yang terlepas pandang atau tersalah faham. TQ

Friday, March 11, 2011

Sejarah Mata Wang Islam di India

Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 11 Mac 2011


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

MATA wang yang dikeluarkan oleh kerajaan Islam yang terawal telah menjadi pemangkin kepada lebih banyak pengeluaran mata wang yang lebih kreatif dan indah buatannya.

Kerajaan Islam India yang dipelopori oleh dua pemerintah Islam tempatan iaitu Kesultanan Delhi dan Empayar Mughal yang memerintah dari abad ke 11 hingga abad ke 17 Masihi telah mengambil langkah sama untuk mengawal ekonomi. Pada masa sama mempamerkan kuasa yang dimiliki oleh pemerintah.

Jika Dinasti Umaiyah dan Abbasiyah memilih untuk bermula dengan reka bentuk mata wang yang di tempa oleh kerajaan Byzantium dan Sasanid, berlainan pula dengan kerajaan Islam di benua kecil India.

Reka bentuk mata wang Islam India bermula seawal abad ke 10 Masihi. Duit pertama yang dibuat di benua kecil itu adalah sewaktu pemerintahan Mahmud Ghazni, pemerintah Dinasti Islam Ghaznavid, yang telah beberapa kali cuba menawan beberapa wilayah India terutamanya di bahagian utara.

Walaupun Dinasti Ghaznavid adalah sebuah kerajaan yang berpusat di Bandar Ghazni yang kini merupakan salah satu wilayah Afghanistan, namun pendekatan yang diambil dalam pembuatan duit bagi wilayah India amat unik.

Baginda menggabungkan ciri mata wang Islam dan ciri tempatan dengan menggunakan tulisan Arab dan bahasa Arab di satu bahagian duit manakala tulisan Devanagri dan bahasa Sanskrit pada bahagian yang lain. Kedua-dua bahasa menyatakan nama baginda sebagai pemerintah.

Selepas pemerintahan Muhammad Ghazni, kerajaan Islam selepas baginda mula menempa duit dengan menggunakan imej figura. Imej figura yang digunakan adalah seperti lembu yang mempunyai bonggol di bahagian belakang, zodiak dan penunggang kuda.

Imej penunggang kuda mungkin diadaptasi daripada mata wang yang dihasilkan oleh Dinasti Ghaznavid di Ghazni. Duit yang dikeluarkan diperbuat daripada beberapa jenis logam seperti emas, perak, tembaga dan aloi (yang mempunyai campuran beberapa jenis logam).

Jika kebanyakan sultan memilih meletakkan nama dan gelaran mereka di atas duit yang ditempa, berlainan pula dengan Muhammad bin Tughlaq.

Baginda yang dikenali sebagai 'putera pembuat duit' kerana revolusi reka bentuk duit yang dilakukan telah memilih nama ayahanda baginda untuk diletakkan di atas duit yang ditempa.

Era baru dan sistem pembuatan duit yang teratur telah ditubuhkan sewaktu pemerintahan Akbar, yang merupakan maharaja Mughal pada pertengahan abad ke 16 Masihi.

Baginda menubuhkan satu jabatan berasingan dan melantik seorang ketua jabatan bagi memantau pengeluaran dan reka bentuk duit pada waktu itu.

Ketua jabatan tersebut yang pertama ialah Khwaja Abdul Samad yang merupakan seorang pelukis dan penulis khat terkenal pada zaman pemerintahan Akbar.

Selain transformasi dalam sistem pengeluaran dan pengawalan duit, Akbar turut menukar penggunaan tulisan yang berasaskan kewilayahan yang dikenali sebagai nagari kepada tulisan Arab dan tulisan Parsi.

Tulisan Parsi yang dipilih merupakan dua baris puisi Parsi yang terpilih, nama baginda, tempat pengeluaran dan tahun. Ini merupakan pengenalan tulisan dan bahasa Parsi dalam pembuatan duit di benua kecil India.

Bagi perkataan Arab, baginda tidak menggunakan kalimah syahadah tetapi menggunakan perkataan Allahu akbar jalla jalaluhu.

Seorang lagi pemerintah yang membuat perubahan terhadap kandungan tulisan yang dipilih untuk ditempa di atas duit adalah Maharaja Jahangir.

Jahangir yang memerintah selepas Akbar meletakkan nama permaisurinya di samping nama baginda. Permaisuri kesayangan baginda iaitu Nur Jehan terkenal dengan kebijaksanaan dan pelbagai kebolehan lain seperti menunggang kuda dan bermain pedang.

Kejatuhan Empayar Mughal pada abad ke-18 Masihi menjadikan sistem pengeluaran duit kerajaan Islam di benua kecil India turut menghadapi masalah.

Galeri mata wang Muzium Kesenian Islam Malaysia mempamerkan pelbagai bentuk rekaan duit dunia Islam bermula dari zaman Umaiyah sehingga abad ke 20 Masihi.

Bahagian terakhir pada minggu hadapan akan mengetengahkan sejarah mata wang Islam Dunia Melayu.

Sunday, March 6, 2011

Sandarkan Pada 999.9

Keratan Akhbar Mingguan Malaysia, 06 Mac 2011

MEMANG mereka bukan Tuhan. Tapi mereka punya fakta kukuh pengandal hujahan. Bukan saya kemukakan cadangan tanpa mengkaji kesahihan pendapat pakar-pakar ekonomi dunia yang meramalkan akan berlaku krisis ekonomi yang bakal meranapkan tugu ekonomi kapitalis, selama ini mendominan.

Tegar benar dia mempersenda usul saya agar membayar separuh daripada gaji tenaga kerja syarikat dengan dinar dan dirham. Mengganda penyimpan nilai aset syarikat selain dalam saham hartanah kepada bentuk emas tulen logam terindah ciptaan Allah.

Melihat dia masih lagi sangsi, saya tampilkan pentaukid bukti dengan mengutip bicara bapa ekonomi Islam. Ibn Khaldun menegaskan, jika tidak guna emas sebagai mata wang, ia mengundang krisis kewangan. Amaran itu sudah ternyata sahih apabila dunia menyaksikan tercetusnya krisis kewangan 14 tahun lalu secara berepisod. Malah kali ini dijangka lebih teruk.

Masakan dia tak faham, apabila ekonomi kapitalis menjunam, semua orang tidak lagi boleh membuat sebarang transaksi apatah lagi mengambil wang dalam mana-mana institusi perbankan? Hairan yang bukan kepalang melontar asak tanya saya ke kantung e-melnya.

Bukankah pernah kita berbincang selepas pulang dari menghadiri ceramah Matthias Chiang?

Kau terpegun apabila bekas penasihat politik Tun M itu jujur dalam wacananya biarpun kedengaran sangat gerun. Buku Future Fastfoward tulisan penganut Kristian Katolik yang anti Zionis itu sama-sama kita kupas sambil menikmati sepiring sukun.

Tidak cukupkah lagi bukti-bukti himpunan Chiang berupa kenyataan oleh penasihat-penasihat Bush, profesor di Havard dan Oxford, tulang belakang IMF, Bank Dunia dan para sifu Zionis yang mahir memanipulasi segala sumber kekayaan yang menyatakan sistem ekonomi kapitalis akan berantakan?

Bukankah kau sedia maklum tentang keadaan dunia akan jadi lebih teruk daripada krisis ekonomi dunia 1930-an? Lupakah juga kau bahawa dunia ini sekadar pinjam-pinjaman dan segalanya berkemungkinan? Sayang sekali hal sedemikian tidak dibahaskan dalam perhimpunan parti tahunan meski ia kian hampir menjadi kenyataan. Lima tahun bukanlah tempoh yang panjang, kawan!

Persoalan demi persoalan yang tidak dapat saya ajukan secara berhadapan, semuanya saya hantar ke mel elektroniknya. Sementara jiwa saya bertambah yakin apabila kakak yang pernah mewawancara Prof. Umar Vadillo ketika dia datang bertemu Tun M di Hotel Prince, teguh menyokong usaha saya ini.

Kakak berkongsi ilmu hasil menemubual pengkaji sistem kapitalis terkenal itu yang menerangkan secara rinci tentang sistem ini memang di ambang kehancuran. Sebab itulah ramai bijak pandai sekarang mulai beli duit emas keluaran syarikatnya yang beribu pejabat di Dubai dan bercawangan di Labuan.

kemusnahan

Ujarnya tanpa sembunyi, warga Malaysia paling banyak simpan duit emas dalam akaun syarikatnya ialah dua orang Tun. Maknanya kedua-dua Tun ini sememangnya sudah lama bersedia untuk menghadapi kemusnahan sistem ciptaan Yahudi ini.

Bagaimana lagi harus dia, saya yakinkan? Sesekali datang perasaan mahu sahaja membiarkan lelaki lewat 30-an yang memang sinonim dengan kedegilan itu meniru aksi Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Tidak tergamak pula rasanya untuk membiarkan kawan baik sendiri hanyut tanpa pertolongan.

Mungkinkah kerana perkenalan dengan rakan laman sosialnya yang dikatakan sanggup terbang dari Manhattan dan menawarkan diri untuk bekerjasama dengan anak syarikat Wangsajati itu punca utama rakan kongsi saya tiba-tiba bertingkah fikrah, memacu hala tuju sendiri?

Usai mesyuarat tadi, tidak saya sangka sama-sekali dia bangun dengan suara keras lalu menyanggah berapi-api cadangan saya agar membeli dan menyimpan aset emas dalam bentuk jongkong dan dinar buat bekalan menghadapi wabak krisis ekonomi yang bakal menular.

Barangkali, perancang strategi pelaburan syarikat Wangsajati itu perlu membaca sebuah lagi buku karangan Profesor Kamil Shufaad Bakri dari Fakulti Ekonomi di Taman Ilmu dan Budi. Zarah-zarah intelektual saya mula berdiskusi, mengusulkan cadangan berisi.

Susunan harta intelektual bangsa yang saya atur rapi menghiasi almari kamar bacaan, satu demi satu diamati. Akhirnya saya temui sejilid catatan sendiri ketika mendengar kuliah Prof. Shufaad Norani. Sayang sekali judul bukunya dirosakkan oleh tumpahan air pada dakwat basah atas kertas itu. Indera, minda dan jiwa pantas membaca ringkasan saya tulis baris demi baris.

Wang kertas atau dipanggil juga wang elektronik dalam bentuk angka itu sebenarnya tidak wujud pun dalam bank. Duit kertas yang disimpan di bawah bantal atau dalam tabung di rumah pula, saban tahun akan menyusut dan mengecut nilainya dengan teruk. RM1,000 hari ini tidak boleh membeli barang yang sama pada masa depan.

Peluh dingin mulai merenik dan perlahan-lahan berkumpul menuruni alur dahi terutama apakala saya tekun membaca penerangan ilmuan itu seputar kreasi wang (money creation) oleh pihak bank. Masalahnya, cerita fasal ini tidak disiarkan dalam akhbar arus perdana negara.

kebenaran

Betapa kesal saya memikirkan akhbar utama hanya memetik bulat-bulat laporan CNN, BBC, CNBC, Reauters yang jauh menyimpang dari kebenaran. Apa salahnya jika sesekali kutiplah juga isi-isi dari dalam akhbar sekutu Zionis seperti Herald, Weekly Commentator atau Jerusalem Post. Bukan payah pun untuk akses versi maya. Inilah akhbar yang menemani sarapan pagi sifu-sifu Zionis.

Saya bertekad mahu mempertahankan pendirian saya di hadapan semua pemegang saham utama syarikat. Gigih saya menyelidik melalui Internet tentang kecairan wang. Kemudian saya kaji dengan mendalam hakikat kekayaan sebenar dalam Islam.

Jantung saya bagaikan disambar petir apakala minda mentafsir informasi menzahir. Ia sama seperti sejak dari alam kuliah lagi sudah pun saya fikir. Tanah. Moleknya berlokasi di tepi sungai atau yang berhampiran dengan sumber air mengalir. Emas dan perak. Sekali lagi dengupan jantung mengeraskan rentak.

Az-zahab wal fiddah inilah yang sedang dikumpul oleh juak-juak Zionis. AS dan Eropah dijadikan lokasi penyimpan rezab emas terbesar. Berkehendakkan emas, mereka tukar kepada negara lain dengan duit kertas. Puak-puak Zionis inilah juga pemilik bank-bank utama dunia yang rancak mengatur dan memanipulasi kewangan dunia tanpa puas.

Mustahil Mukallaf lupa akan sejarah dan asal-usul institusi perbankan? Amat tidak logik kalau dia tidak tahu yang kita semua satu dunia, simpan duit kertas yang menurut pakar ekonomi tidak akan bernilai di kemudian hari. Bukankah berlambak-lambak dalam laman sesawang bercerita tentang "kematian wang"?

Tidakkah sarjana ekonomi itu baca apa yang saya baca, sedangkan selama ini pemikiran kami serupa?

tercemar

Tanah, emas, minyak dan air bersih. Saya pahat empat khazanah Allah yang bernilai ini dalam benak. Sebak dada saya membayangkan air akan tercemar dengan teruk di masa depan. Sekarang pun sumber utama air iaitu sungai banyak yang tercemar. Kita sewenang-wenangnya mengabaikan kebersihan walhal ia warisan yang kita pinjam daripada generasi akan datang.

Saya masih belum berpuas hati dengan segala bahan yang saya kumpulkan sebagai isi presentasi esok. Saya teruskan pembacaan di talian maya.

BBC melaporkan pada tahun 2001, air Sea of Galilee (sebenarnya ia sebuah tasik) di Palestin sedang surut dan belum menampakkan petanda akan pasang semula. Saintis membuat perkiraan dalam tempoh 50 tahun lagi tasik itu akan kontang, tiada setitis pun bersisa. Timur Tengah dan Zionis akan bercakaran kerana air pula.

Menurut pendapat penganalisis kemelut dunia, era dahaga menjarah separuh kedua abad ini lantaran tiada air dan alam maya bakal bergelap-gelita kerana tiada minyak untuk menjana kuasa elektrik setelah habis sumbernya.

Serta-merta saya teringat pada seminar nuklear yang saya hadiri setahun yang sudah. Seorang pakar dari Jepun mengatakan minyak dalam bumi hanya bertahan selama 30 tahun sahaja hayatnya.

Saya bertanya Tan Sri Penasihat Sains Negara, "Apa tindakan kita sebab negara tak ada polisi tenaga nuklear?"

Selamba jawabnya, "Tiada komen. Awak tanya sendiri kepada menteri."

Saya hubungi pejabat menteri berkenaan tapi rezeki tidak menyebelahi, dia keluar negara atas urusan peribadi menguruskan pendidikan anak. Ketika itu saya sedang menulis artikel mengenai polisi tenaga nuklear negara sebagai persediaan menghadapi kepupusan minyak.

Kakak juga memaklumkan dia pernah wawancara seorang jutawan emas, Datuk Syukor Hashim yang mengakui dia tidak menyimpan wang kertas (fiat money) dalam bank, tapi simpan duit emas.

Ujar Datuk Syukor, "fiat, perkataan Latin bermaksud 'just to it.' Kublai Khan diisytihar oleh pengkaji matawang sebagai pencipta wang fiat pertama dunia. Ia pupus sedangkan dinar dan dirham musuh wang kertas. Syiling emas seberat 4.25 gram pada zaman Rasulullah dapat membeli seekor kambing dan sekarang dengan nilai 1 dinar bersamaan RM654 pada 1 Mac 2011 juga boleh membayar seekor kambing. Kini setelah 1400 tahun berlalu, harga seekor ayam sekitar 1 dirham (wang perak seberat 2.975 gram) bersamaan RM20.00."

Minda saya teringatkan sesuatu. Tentang tiga buah buku yang berkaitan wang kertas dan hubungkaitnya dengan riba (faedah bank) yang dihadiahkan oleh Datuk berkenaan. Oleh kerana hobi menulis memujuk saya menjadi ulat buku, sengaja kakak minta saya simpan buku-bukunya itu.

Helaian demi helaian buku koleksi pakar penganalisis kewangan itu terus saya hadam tanpa toleh kiri kanan meskipun perut mulai memberi isyarat meminta hak. Saya kira mashlahah ummah dan negara lebih mustahak.

Kalbu saya tak lekang berdoa agar Mukallaf dan para pemegang saham utama syarikat Wangsajati perasan akan peranan riba, duit kertas dan duit elektronik sendirilah punca penyebab kepada kehancuran sistem ekonomi kapitalis yang bakal menjelma sedikit masa nanti.

Sengaja saya memilih judul senjata makan tuan ini untuk digarisbawahkan. Ia bukti jelas krisis ekonomi Asia 1997 angkara George Soros pada zaman saya dan Mukallaf selesai mencapai status graduan.

"Ish, masakan semua kandungan bahan bacaan yang aku pinjamkan, telah Mukallaf luputkan dari ingatan?" Komen saya sendirian. Secalit kecewa memalit rasa memikirkan Zedrin Mukallaf sengaja memalapkan obor jiwa sufi fikrah haraki yang bertahun-tahun saya nyalakan dalam kalbu dan mindanya. Mengapa tidak gen ayahnya yang lahir di bumi yang sama dengan Yusuf al-Qaradawi mendominasi peribadi, mengalahkan asuhan ibunya yang taksub dengan gaya keluarga korporat berlatarkan pendidikan sekular negara kiwi?

Rakan kongsi berdarah kacukan Arab-Melayu itu acapkali saya mesrakan dengan kitab-kitab ulama silam. Kekaguman saya kian membara apabila dia mula menyukai fikrah Syed Qutub dan Hassan Al-Banna.

Nama pemberian bonda, kata Mukallaf, sangat sinonim dengan personaliti saya yang baginya memancarkan semangat, sumber tenaga dan sinar cahaya pencerahan jiwa.

Ucapan bombastik itu saya terima daripada Mukallaf sewaktu meraikan kejayaan saya memperolehi tender menyiapkan medan simulasi di Kementerian Pertahanan bagi mempersiapkan perwira negara ke medan peperangan dunia.

Setelah jeda seketika dibuai kenangan silam, selepas hak badan usai saya tunaikan, kewajipan kepada Pencipta pun sudah saya langsaikan. Senaskah al-Quran berkulit keras warna kemilau emas dan bercetak perak mengembalikan ingatan saya kepada tugas untuk memahamkan kawan seperjuangan apa sebenarnya hakikat kekayaan yang agama sarankan.

Maha Suci Allah menyerlahkan kebenaran nyata. Tatkala membaca Surah Yusuf, terkesima saya seketika. Tentera-tentera sebak, sayu dan hiba mula menguasai kota jiwa. Genangan di tubir mata gagal diseka, mula berkompromi dengan rasa.

Wahai Nabi Allah Yusuf a.s, betapa bersyukur dan berterima kasih daku atas kebijaksanaan dan kasih sayangmu sejak berabad lama dahulu. Segala peringatan dan pesananmu akan daku hebahkan.

Bersaksilah bahawa akan aku gegerkan betapa AS sekarang, selain emas dan minyak, sedang giat menyimpan sebanyak-banyaknya stok makanan.

Duit kertas dan duit elektronik dilambakkan ke negara lain di mana tiga per empat daripada dolar sekarang sedang berlegar- legar di luar AS. Menanti saat kejatuhan.

Begitu saya berkasam pada diri sendiri selepas menghayati intipati Surah Yusuf dan merujuk banyak rencana mengenai krisis dolar Amerika. Saya menterjemah kenyataan Warren Buffet, pelabur terulung dan manusia kedua terkaya di dunia.

"Kenaikan harga emas ini disebabkan ia tidak memiliki nilai nyata kecuali harga pasaran."

Dan kenyataan Paul Volker, bekas pengerusi Federal Reserve Board, dipetik sebagai berkata, we have a 75% chance of a crisis within 5 years.

Semoga ada yang berasa seperti terkena getah nangka dengan kesengajaan saya mengekalkan bahasa ibunda Volker sebagai penempelak kepada ahli lembaga pengarah yang gemar meminjam lidah penjajah ketika bersidang di meja bulat syarikat yang sepenuhnya berstatus bumiputera.

Berpuas hati dengan segala dalil hujahan, sepenuh keyakinan saya khatamkan akhir perenggan kesimpulan dengan sepotong hadis daripada Abu Bakar Ibn Abi Maryam yang meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Suatu masa akan sampai kepada manusia di mana tidak ada apa lagi yang tinggal berguna kecuali dinar dan dirham." (Musnad Imam Ahmad bin Hanbal). Sebuah tanda tangan saya turunkan pada halaman akhir kertas pembentangan jelas boleh dibaca. Kirana.

Melalui sistem khidmat pesanan ringkas, saya kirimkan sebuah gubahan aksara kepada Mukallaf dengan iringan doa agar Allah sudi membaiki kompas imannya yang terbabas.

Setia mengajar saya, jika mahu jadi pencinta budiman sandarkan pada kenangan dan bijaksana mengajar saya, jika mahu jadi hartawan dermawan sandarkan pada emas 999.9!

Friday, March 4, 2011

Sejarah Mata Wang Islam

Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 04 Mac 2011


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

Dirham Dinasti Abbasiyah (Pemerintah : Abdullah Al-Saffah) Kufah 132 HijrahDiameter: 23.91 mm.

Duit adalah medium yang penting dalam perniagaan pada hari ini. Sebelum duit diperkenalkan, pelbagai barangan digunakan sebagai pertukaran bagi mendapatkan sesuatu jenis barangan dan perkhidmatan seperti makanan, buah-buahan dan haiwan dalam sistem yang dikenali sebagai sistem barter.

Sistem ini membolehkan manusia memperolehi pelbagai barangan dan perkhidmatan yang mereka perlukan dalam kehidupan mereka daripada ahli masyarakat yang lain tanpa menggunakan medium yang dipanggil duit.

Sebelum tahun 696 Masihi, masyarakat Arab menghasilkan duit yang mempunyai pengaruh salah satu daripada dua kuasa besar pada abad ketujuh Masihi iaitu Kerajaan Sasanid atau Kerajaan Byzantium.

Mata wang itu digunakan oleh masyarakat Arab sebagai medium mendapatkan barangan dan perkhidmatan dalam urusan harian mereka selama 31 tahun selepas peristiwa hijrah. Kedua-dua pengaruh ini mempunyai gambar pemerintah di atas duit yang dikeluarkan.

Dinasti Umayyah di bawah pemerintahan Khalifah Abd. al-Malik ibn Marwan (685 - 705 Masihi) telah mengambil inisiatif mengeluarkan duit kerajaan Islam bagi menyatukan seluruh umat Islam ketika itu dengan menggunakan ciri-ciri duit Empayar Byzantium.

Maharaja Rom ketika itu merasa tercabar dan tidak mengiktiraf duit yang dikeluarkan oleh Khalifah Abd al-Malik. Khalifah Abd al-Malik menggunakan hiasan figura salah satu maharaja Byzantium pada satu permukaan syilingnya dan motif kaligrafi mengenai tahun ia dibuat pada satu permukaan yang lain.

Dalam sejarah Islam, penghasilan duit syiling dengan menggunakan seni hiasan Islam sepenuhnya bermula pada tahun 696 - 698 Masihi.

Duit ini menggunakan motif kaligrafi kufik di kedua-dua belah permukaan duit syiling yang dihasilkan. Gaya hiasan ini kemudiannya telah digunapakai selama beberapa ratus tahun oleh dinasti Islam yang lain di seluruh dunia Islam.

Pertukaran rekaan duit ini adalah sebagai tindak balas Khalifah Abd al-Malik selepas Maharaja Byzantium mengeluarkan rekaan duit yang sama dengan yang dikeluarkan oleh baginda.

Khalifah Abd al-Malik juga mengeluarkan dekri supaya duit yang dikeluarkan baginda digunakan di dalam wilayah pemerintahan Dinasti Umayyah sepenuhnya. Manakala duit yang dikeluarkan oleh Empayar Byzantium yang terdapat dalam wilayah Dinasti Umayyah telah dikumpulkan dan dileburkan semula bagi pengeluaran duit Dinasti Umayyah. Sesiapa yang ingkar akan dijatuhkan hukuman berat.

Tuesday, March 1, 2011

Perak Lancar Dinar Emas, Dirham Perak


IPOH 28 Feb. - Kerajaan negeri Perak hari ini melancarkan dinar emas dan dirham perak, khusus untuk simpanan dan pelaburan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, dinar dan dirham itu mempunyai kandungan 99.9 peratus emas dan perak iaitu bersamaan emas 24 karat.

Beliau berkata, dinar dan dirham berkenaan lebih berkualiti berbanding produk pertama yang dihasilkan tokoh ilmuwan Islam, Abdul Malik ibn Marwan pada tahun 75 Hijrah iaitu 1,357 tahun lalu yang mengandungi 97 peratus kandungan bahan.

"Tetapi ini (dinar dan dirham) bukanlah berbentuk mata wang tetapi sebagai instrumen baru sebagai simpanan dan pelaburan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dinar emas dan dirham perak di sini hari ini.

Zambry berkata, pengeluaran dinar dan dirham berkenaan yang telah dibincangkan sejak tahun 2005, dikeluarkan Goldnet International Sdn. Bhd. (Goldnet), sebuah syarikat usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Katanya, sebagai permulaan sebanyak 1,000 keping dinar emas dan dirham perak telah dicetak dan akan dipasarkan melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) dan Nusantara Bullion Exchange (Nubex Sdn. Bhd.).

Ia membabitkan empat jenis instrumen iaitu setengah dinar emas seberat 2.125 gram dengan harga RM345, satu dinar emas seberat 4.25 gram pada harga RM690 dan dua dinar emas seberat 8.5 gram pada harga RM1,380 manakala set dirham perak dijual pada harga RM260.

Majlis itu dimeriahkan dengan persembahan nasyid kumpulan Rabbani dan penyanyi antarabangsa, Maher Zain. - BERNAMA



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute