Cari Post lain disini

Friday, March 11, 2011

Sejarah Mata Wang Islam di India

Keratan Akhbar Utusan Malaysia, 11 Mac 2011


Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA

MATA wang yang dikeluarkan oleh kerajaan Islam yang terawal telah menjadi pemangkin kepada lebih banyak pengeluaran mata wang yang lebih kreatif dan indah buatannya.

Kerajaan Islam India yang dipelopori oleh dua pemerintah Islam tempatan iaitu Kesultanan Delhi dan Empayar Mughal yang memerintah dari abad ke 11 hingga abad ke 17 Masihi telah mengambil langkah sama untuk mengawal ekonomi. Pada masa sama mempamerkan kuasa yang dimiliki oleh pemerintah.

Jika Dinasti Umaiyah dan Abbasiyah memilih untuk bermula dengan reka bentuk mata wang yang di tempa oleh kerajaan Byzantium dan Sasanid, berlainan pula dengan kerajaan Islam di benua kecil India.

Reka bentuk mata wang Islam India bermula seawal abad ke 10 Masihi. Duit pertama yang dibuat di benua kecil itu adalah sewaktu pemerintahan Mahmud Ghazni, pemerintah Dinasti Islam Ghaznavid, yang telah beberapa kali cuba menawan beberapa wilayah India terutamanya di bahagian utara.

Walaupun Dinasti Ghaznavid adalah sebuah kerajaan yang berpusat di Bandar Ghazni yang kini merupakan salah satu wilayah Afghanistan, namun pendekatan yang diambil dalam pembuatan duit bagi wilayah India amat unik.

Baginda menggabungkan ciri mata wang Islam dan ciri tempatan dengan menggunakan tulisan Arab dan bahasa Arab di satu bahagian duit manakala tulisan Devanagri dan bahasa Sanskrit pada bahagian yang lain. Kedua-dua bahasa menyatakan nama baginda sebagai pemerintah.

Selepas pemerintahan Muhammad Ghazni, kerajaan Islam selepas baginda mula menempa duit dengan menggunakan imej figura. Imej figura yang digunakan adalah seperti lembu yang mempunyai bonggol di bahagian belakang, zodiak dan penunggang kuda.

Imej penunggang kuda mungkin diadaptasi daripada mata wang yang dihasilkan oleh Dinasti Ghaznavid di Ghazni. Duit yang dikeluarkan diperbuat daripada beberapa jenis logam seperti emas, perak, tembaga dan aloi (yang mempunyai campuran beberapa jenis logam).

Jika kebanyakan sultan memilih meletakkan nama dan gelaran mereka di atas duit yang ditempa, berlainan pula dengan Muhammad bin Tughlaq.

Baginda yang dikenali sebagai 'putera pembuat duit' kerana revolusi reka bentuk duit yang dilakukan telah memilih nama ayahanda baginda untuk diletakkan di atas duit yang ditempa.

Era baru dan sistem pembuatan duit yang teratur telah ditubuhkan sewaktu pemerintahan Akbar, yang merupakan maharaja Mughal pada pertengahan abad ke 16 Masihi.

Baginda menubuhkan satu jabatan berasingan dan melantik seorang ketua jabatan bagi memantau pengeluaran dan reka bentuk duit pada waktu itu.

Ketua jabatan tersebut yang pertama ialah Khwaja Abdul Samad yang merupakan seorang pelukis dan penulis khat terkenal pada zaman pemerintahan Akbar.

Selain transformasi dalam sistem pengeluaran dan pengawalan duit, Akbar turut menukar penggunaan tulisan yang berasaskan kewilayahan yang dikenali sebagai nagari kepada tulisan Arab dan tulisan Parsi.

Tulisan Parsi yang dipilih merupakan dua baris puisi Parsi yang terpilih, nama baginda, tempat pengeluaran dan tahun. Ini merupakan pengenalan tulisan dan bahasa Parsi dalam pembuatan duit di benua kecil India.

Bagi perkataan Arab, baginda tidak menggunakan kalimah syahadah tetapi menggunakan perkataan Allahu akbar jalla jalaluhu.

Seorang lagi pemerintah yang membuat perubahan terhadap kandungan tulisan yang dipilih untuk ditempa di atas duit adalah Maharaja Jahangir.

Jahangir yang memerintah selepas Akbar meletakkan nama permaisurinya di samping nama baginda. Permaisuri kesayangan baginda iaitu Nur Jehan terkenal dengan kebijaksanaan dan pelbagai kebolehan lain seperti menunggang kuda dan bermain pedang.

Kejatuhan Empayar Mughal pada abad ke-18 Masihi menjadikan sistem pengeluaran duit kerajaan Islam di benua kecil India turut menghadapi masalah.

Galeri mata wang Muzium Kesenian Islam Malaysia mempamerkan pelbagai bentuk rekaan duit dunia Islam bermula dari zaman Umaiyah sehingga abad ke 20 Masihi.

Bahagian terakhir pada minggu hadapan akan mengetengahkan sejarah mata wang Islam Dunia Melayu.

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute