Cari Post lain disini

Loading...

Tuesday, October 25, 2011

Duit Syiling, Wang Kertas Siri Baru Elak Pemalsuan

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Pengenalan duit syiling baru siri ketiga dan wang kertas baharu siri keempat bertujuan memperkukuhkan ciri-ciri keselamatan bagi menghindarkan wang tersebut daripada dipalsukan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Cha i berkata, wang tersebut juga mempunyai reka bentuk yang lebih menarik, mesra pengguna dan beridentitikan keunikan Malaysia.

Katanya, pelantikan pembekal mata wang siri baharu itu dibuat melalui proses tender terbuka sejajar dengan amalan biasa bagi semua kontrak pembekalan dan percetakan mata wang.

"Syarikat pembekal tersebut antaranya Poongsan Corporation, Korea, bagi kontrak bekalan duit syiling kosong dan duit syiling tersebut kemudiannya ditempah di kilang wang Bank Negara Malaysia (BNM), Shah Alam.

"Kontrak bekalan wang kertas siri baru diberikan kepada Crane AB, Sweeden; Giesecke dan Devrient GmbH, German; Oberthur Technologies, Perancis dan Orell Fussli, Switzerland," katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Lip Eng meminta kementerian berkenaan menyatakan rasional pengeluaran siri baru bagi kedua-dua mata wang tersebut, termasuk kos yang diperlukan bagi proses pengeluarannya.

Siang Chai berkata, BNM dijangka menjimatkan kos pengeluaran duit syiling sehingga 49 peratus setahun bagi pengeluaran duit syiling siri ketiga itu.

Ini kerana, katanya, BNM menggunakan logam asas yang dipilih berdasarkan teknologi penempaan dan spesifikasi teknikal lebih baik daripada siri-siri duit syiling terdahulu.

Menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) mengenai kesan ekonomi akibat keputusan Amerika Syarikat (AS) mengehadkan kadar syiling hutang negara mereka, beliau berkata, langkah itu tidak memberi kesan kepada Malaysia.

Ini kerana, Malaysia tidak bergantung kepada AS sebagai pasaran eksport semata-mata dan telah meningkatkan perdagangan dua hala dengan negara di Asia Tenggara.

Katanya, asas-asas ekonomi yang kukuh seiring dengan dasar pengurusan makroekonomi yang pragmatik serta pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan program di bawah Bajet 2012 turut menyokong peningkatan pertumbuhan ekonomi negeri.

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute