Cari Post lain disini

Saturday, August 18, 2012

Duit Syiling Malaysia Siri Kedua - Bunga Raya

Reka Bentuk Duit Syiling Malaysia Siri Kedua - Bunga Raya

Duit syiling Malaysia siri kedua untuk edaran biasa dikeluarkan pada 4 September 1989. Duit syiling ini mempunyai spesifikasi teknikal yang sama seperti duit syiling Malaysia siri pertama bagi denominasi 1 Sen, 5 Sen, 10 Sen, 20 Sen dan 50 Sen kecuali duit syiling 1 Ringgit ($1) siri kedua yang lebih kecil saiznya berbanding dengan keluaran awal serta diperbuat daripada campuran Tembaga-Zink-Timah (Copper-Zinc-Tin).

Duit syiling ini juga dikenali umum sebagai duit “Bunga Raya” kerana terdapat ukiran Bunga Raya pada bahagian belakang duit syiling tersebut yang merupakan bunga Kebangsaan Malaysia bersama-sama nilai muka syiling mengikut denominasi dan ukiran perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” berserta tahun tempaan.

Untuk makluman anda, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu pada 28 Julai 1960 dan telah mengenepikan bunga-bunga lain iaitu Bunga Kenanga, Bunga Melur, Bunga Teratai, Bunga Mawar, Bunga Cempaka dan Bunga Tanjung.

Pereka bagi duit syiling Malaysia Siri kedua ini adalah En. Low Yee Kheng, beliau telah memenangi Pertandingan Mereka Bentuk Duit Syiling Kebangsaan yang di anjurkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 1987.

Artifak-artifak bercorak budaya Malaysia telah dipilih bagi menghiasi ukiran bahagian hadapan duit syiling tersebut:

Denominasi/Nilai Muka Duit Syiling Dan Artifak

Pada tahun 1990, BNM turut mengeluarkan set duit syiling Malaysia siri kedua (1 sen – $1) dengan “folder” khas sebanyak 100,000 set didalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Melayu (Syiling Malaysia 1990) dan Bahasa Inggeris (Coins of Malaysia 1990) telah dikeluarkan.

Set Keluaran Khas Duit Syiling Malaysia Siri Kedua - Bunga Raya

Jenis –jenis sisi yang terdapat pada duit syiling Malaysia siri kedua 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen, 50 sen dan 1 Ringgit ($1) adalah seperti berikut:

  • Sisi Kosong (Plain Edge)

  • Sisi Bergerigi (Milled Edge)

  • Sisi Kosong Berukir Tulisan “BANK NEGARA MALAYSIA”


Penerangan ringkas dan spesifikasi teknikal kerkenaan duit syiling Malaysia siri kedua (Bunga Raya) mengikut denominasi seperti yang terdapat pada “folder” set duit syiling yang dikeluarkan pada tahun 1990.

1. Duit Syiling 1 Sen - Rebana Ubi


Reka Bentuk Hadapan Dan Belakang Duit Syiling 1 Sen

Rebana Ubi adalah sejenis gendang berwarna-warni yang diperbuat daripada kulit tebal berlilitkan rotan dibahagian tepi dan kayu tebak dibahagian bawah. Ia biasanya dipalu secara berkumpulan lima orang di majlis-majlis perkahwinan. Paluan Rebana Ubi juga dilakukan bagi mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Spesifikasi Teknikal:
  • Bahan/Kandungan: Keluli Bersalut Tembaga (Copper Clad Steel)
  • Garis Pusat (mm) : 17.78
  • Berat (g) : 1.74
  • Ketebalan (mm) : 1.26
  • Bahagian Sisi : Sisi Kosong (Plain Edge)
  • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

          2. Duit Syiling 5 Sen - Gasing

          Reka Bentuk Hadapan Dan Belakang Duit Syiling 5 Sen

          Permainan Gasing merupakan satu sukan yang menghiburkan di kalangan penduduk pantai timur Semenanjung Malaysia. Ianya popular sewaktu musim padi masak dan dipercayai membawa hasil tuaian yang lumayan. Pertandingan gasing menarik perhatian ramai kerana masing-masing berusaha menewaskan antara satu sama lain.

          Spesifikasi Teknikal:
          • Bahan/Kandungan: Tembaga-Nikel (Copper-Nickel)/Cu: 75, Ni: 25
          • Garis Pusat (mm) : 16.25
          • Berat (g) : 1.41
          • Ketebalan (mm) : 1.04
          • Bahagian Sisi : Sisi Bergerigi (Milled Edge)
          • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

          3. Duit Syiling 10 Sen - Congkak

          Reka Bentuk Hadapan Dan Belakang Duit Syiling 10 Sen

          Papan congkak digunakan untuk permainan tradisional masa lapang dirumah di perkampungan Melayu oleh kanak-kanak dengan menggunakan biji guli. Ianya diperbuat daripada kayu dan mempunyai beberapa lubang. Permainan ini mempunyai beberapa peraturan dan dimainkan oleh dua orang. Papan congkak biasanya diletakkan di atas tikar anyaman tradisional yang banyak terdapat di perkampungan Melayu.

          Spesifikasi Teknikal:
          • Bahan/Kandungan: Tembaga-Nikel (Copper-Nickel)/Cu: 75, Ni: 25
          • Garis Pusat (mm) : 19.40
          • Berat (g) : 2.82
          • Ketebalan (mm) : 1.37
          • Bahagian Sisi : Sisi Bergerigi (Milled Edge)
          • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

          4. Duit Syiling 20 Sen – Tepak Sirih

          Reka Bentuk Hadapan Dan Belakang Duit Syiling 20 Sen

          Tepak sirih yang diukir cantik digunakan untuk menyimpan daun sirih serta rencah-rencahnya. Ia biasanya digunakan di upacara tertentu dan merupakan satu adat menyambut tetamu di kalangan orang Melayu.

          Spesifikasi Teknikal:
          • Bahan/Kandungan: Tembaga-Nikel (Copper-Nickel)/Cu: 75, Ni: 25
          • Garis Pusat (mm) : 23.59
          • Berat (g) : 5.66
          • Ketebalan (mm) : 1.75
          • Bahagian Sisi : Sisi Bergerigi (Milled Edge)
          • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

          5. Duit Syiling 50 Sen - Wau

          Reka Bentuk Hadapan Dan Belakang Duit Syiling 50 Sen

          Wau merupakan satu permainan masa lapang yang popular semasa musim berangin terutama di kalangan penduduk pantai timur semenanjung Malaysia. Ianya memerlukan kemahiran, ketangkasan dan pengalaman untuk membuat dan melayangkannya. Wau juga kadangkala menjadi alat perhiasan dinding rumah di Malaysia.

          Spesifikasi Teknikal:
          • Bahan/Kandungan: Tembaga-Nikel (Copper-Nickel)/Cu: 75, Ni: 25
          • Garis Pusat (mm) : 27.76
          • Berat (g) : 9.33
          • Ketebalan (mm) : 2.18
          • Bahagian Sisi : Sisi Kosong Berukir Tulisan “BANK NEGARA MALAYSIA”
          • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

          6. Duit Syiling 1 Ringgit – Keris Berlatarkan Songket

          Reka Bentuk Hadapan Dan Belakang Duit Syiling $1 Dan 1 Ringgit

          Keris merupakan sejenis senjata tradisional Melayu yang melambangkan kekuasaan dan kekuatan. Ianya merupakan salah satu lambang utama dalam pentadbiran diraja di Malaysia. Dahulu ianya merupakan senjata, kini keris digunakan dalam istiadat tertentu dan ianya juga merupakan satu hasil karya seni. Rekabentuk latar belakang bermotifkan tenunan Songket.

          Spesifikasi Teknikal:
          • Bahan/Kandungan: Tembaga-Zink-Timah (Copper-Zinc-Tin)/Cu:84, Zn:12, Sn: 4
          • Garis Pusat (mm) : 24.50
          • Berat (g) : 9.30
          • Ketebalan (mm) : 2.60
          • Bahagian Sisi : Sisi Bergerigi (Milled Edge)
          • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

          Diharap maklumat yang dikongsi ini dapat membantu anda semua mengetahui sedikit sebanyak tentang duit syiling Malaysia siri kedua atau lebih dikenali dengan duit syiling Bunga Raya.

          No comments:



          Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

          Harga Spot Gold Terkini

          GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute