Cari Post lain disini

Saturday, August 25, 2012

Duit Syiling Malaysia Siri Ketiga - Keunikan Malaysia

Set Duit Syiling Peringatan Siri Ketiga

Pada 12 Julai 2011, Bank Negara Malaysia (BNM) telah melancarkan duit syiling Malaysia siri ketiga sebagai duit syiling peringatan (Brilliant Uncirculated) untuk menandakan duit syiling ini bakal berada dalam edaran pada awal 2012. 

Set duit syiling tersebut dikeluarkan dalam “folder” khas atau “coin card” dengan denominasi 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Set duit syiling peringatan tersebut dikeluarkan sebanyak 500,000 secara berperingkat-peringkat dan dijual pada harga RM10 bagi setiap set.

Reka Bentuk Hadapan Dan Belakang Duit Syiling Siri Ketiga - Keunikan Malaysia

Reka bentuk duit syiling baharu ini mendapat sumber inspirasi dari ciri-ciri unik yang mencorakkan budaya dan warisan negara. Motif reka bentuk duit syiling ini memaparkan keindahan alam semula jadi, flora dan fauna serta seni kraftangan tradisional yang terdapat di Malaysia.

Denominasi/Nilai Muka Duit Syiling Dan Ikon

Duit syiling baharu ini mula diedarkan untuk edaran semasa pada 16 Januari 2012 bagi mengantikan duit syiling sedia yang sudah berada dalam edaran melebihi 20 tahun, Duit syiling siri lama akan dikeluarkan dari edaran secara beransur-ansur bagi memudahkan semua pihak termasuk vendor dan mereka yang menguruskan mata wang.

Reka bentuk bahagian hadapan setiap denominasi duit syiling memaparkan motif berbeza, 14 titik untuk melambangkan 13 negeri dan Wilayah Persekutuan manakala lima garis mendatar pula bagi menggambarkan prinsip-prinsip Rukun Negara (kecuali duit syiling 50 sen).

Bahagian belakang bagi semua denoninasi duit syiling memaparkan motif reka bentuk Bunga Raya atau Rosa-senensis iaitu bunga kebangsaan Malaysia, tahun penempaan, nilai muka duit syiling dan ukiran perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA”.

Pereka bagi duit syiling Malaysia siri ketiga masih belum diketahui, akan di"update" kemudian setelah mendapat maklumt.

Duit syiling siri baharu ini dihasilkan lebih kecil dan ringan bagi memudahkan orang ramai menggunakannya. Duit syiling berwarna kuning dan perak ini juga mempunyai sisi tepi yang berbeza-beza supaya memudahkan orang ramai dan mereka yang kurang upaya penglihatan untuk mengenali dan membezakan dengan lebih baik denominasi duit syiling yang berlainan. 

Selain itu, duit syiling tersebut dibuat dengan menggunakan kemajuan terkini dalam teknologi pembuatan duit syiling dengan memasukkan ciri-ciri keselamatan yang lebih baik untuk mengelak daripada pemalsuan. Logam baharu yang digunakan untuk menghasilkan duit syiling ini adalah dari jenis yang lebih berkualiti dan tahan lama.

Jenis –jenis sisi yang terdapat pada duit syiling Malaysia siri ketiga 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen adalah seperti berikut:

  • Sisi Kosong (Plain Edge)

  • Sisi Bergerigi Halus (Milled Edge) 

  • Sisi Bergerigi Kasar (Coarse Edge)

  • Sisi Kosong Berlekuk 9 (Plain Edge with 9 Indents) 


Ciri-ciri keselamatan duit syiling baharu hanya dimasukkan pada duit syiling denominasi 20 sen dan 50 sen sahaja kerana kedua-dua duit syiling tersebut berkemungkinan besar ianya akan dipalsukan adalah tinggi, di antara ciri-ciri keselamatan kedua-dua duit syiling tersebut adalah "Huruf Micro" dan "Imej Pendam";

1. Huruf Micro

Huruf mikro "B N M" iaitu singkatan daripada Bank Negara Malayisa adalah salah satu ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada muka hadapan duit syiling 20 sen dan 50 sen, jika kita melihat dengan mata kasar memang tidak nampak. Jadi, kita memerlukan kanta pembesar atau kamera berdefinisi tinggi untuk melihat tulisan mikro tersebut.

Huruf Mikro "B N M" Pada Muka Hadapan Duit Syiling 20 Sen Dan 50 sen


2. Imej Pendam

Ciri-ciri keselamatan kedua adalah Imej pendam yang hanya ada pada duit syiling 50 sen, tulisan "50" dan "SEN" akan dapat dilihat apabila duit syiling tersebut disendeng pada sesuatu sudut yang berlainan.

Imej Pendam Tulisan "50" Dan "SEN"


Penerangan ringkas dan spesifikasi teknikal duit syiling Malaysia siri ketiga (Keunikan Malaysia) mengikut denominasi seperti di bawah:

1. Duit Syiling 5 Sen - Destar Siga

Reka Bentuk Hadapan dan Belakang Duit Syiling 5 Sen

Kain destar siga merupakan sejenis tenunan kain asli suku kaum Kadazan Dusun di Sabah. Ia biasanya dijadikan sebagai hiasan kepala dalam majlis tradisi mereka. Kain hiasan kepala ini ditenun terutamanya dengan benang hitam dan diserikan dengan benang pelbagai warna bercorak geometri serta motif yang diilhamkan daripada flora dan fauna. Dengan berlatarkan motif sulur kacang, destar siga menjadi corak utama pada duit syiling 5 sen baharu.

Specifikasi Teknikal:
  • Bahan/Kandungan: Keluli Tahan Karat (Stainless Steel) 
  • Garis Pusat (mm) : 17.78
  • Berat (g) : 1.72
  • Ketebalan (mm) : 1.12
  • Bahagian Sisi: Sisi Kosong (Plain Edge)
  • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)


2. Duit Syiling 10 sen - Motif Orang Asli

Reka Bentuk Hadapan dan Belakang Duit Syiling 10 Sen

Orang Asli di Malaysia cukup terkenal dengan kemahiran seni anyaman daun-daun dan tumbuhan setempat untuk dijadikan perhiasan seperti hiasan kepala, selempang dan skirt yang dipakai di upacara dan majlis tradisional. Setiap kaum memiliki corak anyaman tersendiri yang lazimnya diilhamkan daripada sistem kepercayaan dan persekitaran mereka. Duit syiling 10 sen baharu mengabadikan seni warisan ini dalam bentuk corak anyaman unik suku kaum Mah Meri di Semenanjung Malaysia.

Spesifikasi Teknikal:
  • Bahan/Kandungan: Keluli Tahan Karat (Stainless Steel) 
  • Garis Pusat (mm) : 18.80
  • Berat (g) : 2.98
  • Ketebalan (mm) : 1.50
  • Bahagian Sisi: Sisi Bergerigi Halus (Milled Edge)
  • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

3. Duit Syiling 20 Sen - Bunga Melur

Reka Bentuk Hadapan dan Belakang Duit Syiling 20 Sen

Bunga melur mendapat tempat yang istimewa dalam kebudayaan tiga kaum utama di Malaysia. Keharuman bunga ini menjadikannya sebagai satu elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan. Motif bunga melur juga sering terdapat pada hasil kesenian dan pertukangan tangan tradisional seperti sulaman dan ukiran perak. Pada duit syiling 20 sen baharu ini, bunga melur dipaparkan dengan berlatarkan motif kain destar siga.

Spesifikasi Teknikal:
  • Bahan/Kandungan: Nikel Loyang (Nickel Brass)
  • Garis Pusat (mm) : 20.60
  • Berat (g) : 4.18
  • Ketebalan (mm) : 1.75
  • Bahagian Sisi: Sisi Bergerigi Kasar (Coarse Edge)
  • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

4. Duit Syiling 50 Sen - Sulur Kacang

Reka Bentuk Hadapan dan Belakang Duit Syiling 50 Sen

Motif sulur kacang pada duit syiling 50 sen amat terkenal kerana sering digunakan oleh para pengukir dalam seni ukiran kayu dan perak mereka. Kelembutan lingkaran dan juntaian pokok kacang tergambar dalam ukiran pada barang kemas, peti, dan juga pada bahagian-bahagian rumah kayu tradisional seperti muka pintu, bingkai tingkap serta panel kayu pada dinding rumah. Garisan halus pada latar belakang motif merupakan sebahagian daripada ciri keselamatan.

Spesifikasi Teknkal:
  • Bahan/Kandungan: Nikel Loyang Bersalut Kuprum (Nickel Brass Clad Copper)
  • Garis Pusat (mm) : 22.65
  • Berat (g) : 5.66
  • Ketebalan (mm) : 1.92
  • Bahagian Sisi: Sisi Kosong Berlekuk 9 (Plain Edge with 9 Indents)
  • Kilang/Tempat Tempaan : Kilang Wang BNM (Shah Alam)

Diharap maklumat yang dikongsi ini dapat membantu anda semua mengetahui sedikit sebanyak tentang duit syiling Malaysia siri ketiga atau lebih dikenali dengan duit syiling Keunikan Malaysia.

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute