Cari Post lain disini

Monday, February 29, 2016

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena Dengan Kejohanan Pingpong Berpasukan Dunia 2016

Ref No : 02/16/09 
Embargo : Untuk Siaran Segera    

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan hari ini bersempena dengan Kejohanan Pingpong Berpasukan Dunia 2016. Kejohanan antarabangsa ini telah menerima penyertaan lebih daripada 100 negara. Kejohanan ini akan diadakan dari 28 Februari 2016 hingga 6 Mac 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling berwarna pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Tembaga

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga tulen dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 130 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM5 dan akan dilelong pada harga penunjuk RM150. Sebanyak 300 keping sahaja ditempa, iaitu 150 keping dalam kemasan tanpa kilat dan 150 keping dalam kemasan kilat (mirip pruf).

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 10,000 keping sahaja ditempa.
Kesemua duit syiling peringatan ini juga boleh didapati dalam set 2 dalam 1. Set 2 dalam 1 mengandungi duit syiling pruf perak berwarna dan pruf emas Nordic. Sebanyak 2,000 set akan dijual pada harga RM250 setiap set.

Nota: Kesemua harga tertakluk kepada 6% GST.

Butiran terperinci mengenai spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.



1. Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

2. Bahagian Hadapan Duit Syiling
Aksi pemain pingpong melakukan servis dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini. Bagi duit syiling perak berwarna, imej bet pingpong berwarna merah dan bolanya berwarna kuning. Perkataan ”WORLD TEAM” tertera pada bahagian atas duit syiling manakala perkataan ”TABLE TENNIS CHAMPIONSHIPS 2016” pula dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling ini.

Bahagian Belakang Duit Syiling

Perkataan ”BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling pula tertera pada bahagian bawah duit syiling. Logo acara bersempena dengan Kejohanan Pingpong Berpasukan Dunia 2016 dipaparkan pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini.
Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran II.

Lampiran II

Lokasi Jualan

Duit syiling pruf perak berwarna dan emas Nordic akan dijual mulai 29 Februari 2016 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG), pejabat wilayah Bank Negara Malaysia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching serta di cawangan Kuala Terengganu. Duit syiling tembaga pula akan dilelong secara berasingan pada 6 Mac 2016 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia.

Bank Negara Malaysia
27 Februari 2016

Sumber asal: www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute