Cari Post lain disini

Loading...

Friday, February 19, 2016

Zeti Tidak Akan Sambung Khidmat Sebagai Gabenor BNM

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR - Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata beliau tidak akan menyambung khidmat untuk satu lagi penggal sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Proses mencari pengganti sedang dibuat oleh Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga BNM yang terdiri daripada pengarah bebas daripada sektor swasta.

"Saya tidak mempunyai kebebasan untuk membincangkan perkara itu. Pengumuman mengenai pengganti saya akan dibuat tidak lama sekali. Ia sudah tentunya akan berlaku," kata Zeti kepada pemberita selepas melancarkan Platform Akaun Pelaburan (IAP), di sini, hari ini.

Menurutnya, meskipun proses pengganti beliau sedang dijalankan, beliau tidak menerima sebarang permintaan agar terus kekal memegang jawatan itu.  

"Sudah pastinya Gabenor seterusnya perlu mempunyai latar belakang dan keupayaan berkaitan, terutamanya pada waktu seperti ini agar peralihan boleh diuruskan dengan baik.

"Individu boleh datang dan pergi," katanya sambil menambah beliau merancang untuk berehat seketika dan kemudiannya mula menulis.

Zeti juga berkata beliau akan terus menyokong inisiatif pendidikan seperti Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam, Pusat Kepimpinan dan Tadbir Urus dan sekolah perniagaan baharu yang akan bermula tahun ini.

"Saya tidak akan memegang apa-apa jawatan sudah tentunya," katanya.  


Mengenai soalan sama ada ahli politik boleh menjadi Gabenor akan datang, Zeti berkata tidak ada ahli politik yang menganggotai lembaga pengarah mana-mana institusi kewangan, "apatah lagi bagi Bank Negara.

"Setiap negara memerlukan organisasi seperti bank pusat yang tidak mempunyai sebarang agenda politik. Ia harus kekal fokus memastikan kestabilan makroekonomi, kewangan dan ekonomi.

"Jadi dasar ekonomi dan kewangan akan ditumpukan untuk mencapai apa yang menjadi kepentingan terbaik negara," katanya, sambil menambah BNM sentiasa dihormati dan beliau menjangkakan tanggapan ini akan berterusan.

"Saya percaya bank pusat telah menjadi satu organisasi yang kukuh. Ia mempunyai kekuatan institusi, daya tahan dan diasaskan kepada undang-undang yang sah.  

"Akta Bank Pusat memberikan kuasa yang luas dan juga kebebasan. Dengan itu, kami bertanggungjawab bagi keseluruhan mandat seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Akta tersebut," katanya.

Mengenai Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Zeti berkata, notis nasihat yang dikeluarkan oleh BNM kepada institusi kewangan bukan bank adalah bertujuan untuk memastikan institusi ini terus diurus dengan baik dan melaksanakan peranan tujuan penubuhannya dengan efektif.

"Kami mengeluarkan notis nasihat dari semasa ke semasa. Biasanya, notis-notis ini dikeluarkan sebelum berlaku masalah, jadi sekiranya terjadi masalah, ia boleh ditangani," katanya.

Tabung Haji bukan satu-satunya institusi yang menerima notis nasihat daripada BNM kerana institusi lain turut dikeluarkan notis yang sama, katanya.  

"Mereka tidak berada di bawah rangka kerja kawal selia dan rejim kawal selia kami tetapi apa yang berlaku dalam organisasi mereka mungkin akan membawa implikasi sistemik dan berkait dengan institusi kewangan lain," katanya.

Mengenai ringgit, Zeti berkata, prestasi mata wang tempatan itu bergantung kepada perkembangan domestik dan antarabangsa.

"Kami akan mengeluarkan data Keluaran Dalam Negara Kasar suku keempat esok.  

"Apa yang penting adalah ekonomi terus berkembang.

"Asas pendasar penting lain ialah kita mempunyai lebihan perdagangan, kita mempunyai lebihan akaun semasa dan rizab kita kukuh.

"Hutang luar kita juga berada pada paras yang sangat terkawal," katanya sambil menambah semua ini merupakan faktor-faktor yang menyokong ringgit.  - Bernama

Sumber asal: www.sinarharian.com.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute