Cari Post lain disini

Wednesday, September 28, 2022

Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Ke-50 Kilang Wang Bank Negara Malaysia

Embargo : Untuk siaran segera
28 Sep 2022

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Kilang Wang yang ke-50. Kilang Wang yang ditubuhkan pada 10 Julai 1971 merupakan penempa rasmi duit syiling Malaysia.

Duit syiling peringatan ini boleh dibeli mulai hari ini, Rabu, 28 September 2022 melalui https://duit.bnm.gov.my.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah binti Mohd Yunus berkata, ““Sejak lima dekad yang lalu, Kilang Wang telah menempa syiling yang cantik dengan reka bentuk yang digemari rakyat Malaysia. Dengan bentuk dan rekaan yang tersendiri, duit syiling peringatan ini dikeluarkan bersempena dengan ulang tahun Kilang Wang yang ke-50 ini meraikan warisan budaya negara dan pada masa yang sama mempamerkan kemahiran pengukir serta teknologi Kilang Wang."

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Tembaga (pruf) – Bentuk Wau, Gasing dan Congkak

Duit syiling ini diperbuat daripada logam tembaga dengan ketulenan 99.9 dan dikeluarkan dalam tiga bentuk iaitu Wau, Gasing dan Congkak, dengan berat 36.6 gram, 21.7 gram dan 22.8 gram setiap satu. Nilai muka duit syiling ini ialah RM5 dan akan dijual pada harga RM220 sekeping. Sejumlah 1,200 keping telah ditempa untuk setiap jenis.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain, dengan berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM13.20 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 3 dalam 1 untuk jualan. Set ini berharga RM605 dan mengandungi sekeping duit syiling pruf tembaga berbentuk Wau, Gasing dan Congkak. Sejumlah 1,200 set tersedia untuk pembelian.

Butiran terperinci mengenai kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Nota: Harga yang dinyatakan di atas adalah termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:
 
1. Duit Syiling Peringatan Tembaga (pruf) – Bentuk Wau

  • Bahagian hadapan - Sudut kiri atas memaparkan perkataan “50 TAHUN PENGHASILAN DUIT SYILING” sempena 50 tahun penempaan syiling oleh Kilang Wang. Angka lima dan sifar digayakan menyerupai bentuk dua keping syiling. Bahagian atas sebelah kanan menampilkan wau, iaitu layang-layang tradisional dengan motif bunga, yang terbang tinggi melintasi denai bintang. Rekaan ini merupakan simbolik bagi pergerakan dan kemajuan yang melambangkan evolusi Kilang Wang selama ini.
  • Bahagian belakang – Tulisan “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling dipaparkan pada bahagian atas, diikuti dengan nilai muka “5 RINGGIT” pada bahagian tengah. Elemen tulisan ini diletakkan pada latar belakang tradisional yang diilhamkan daripada wau dan motif bunga.

2. Duit Syiling Peringatan Tembaga (pruf) – Bentuk Gasing

  • Bahagian hadapan - Sudut kiri atas memaparkan perkataan “50 TAHUN PENGHASILAN DUIT SYILING” sempena 50 tahun penempaan syiling oleh Kilang Wang. Angka lima dan sifar digayakan menyerupai bentuk dua keping syiling. Bahagian kanan memaparkan imej litar dan peralatan mekanikal yang melambangkan kemajuan, pemodenan dan teknologi. Latar belakangnya mempunyai jalur linear yang menggambarkan pergerakan dan kelajuan, diilhamkan daripada gasing leper tradisional iaitu sejenis gasing tradisional Melayu.
  • Bahagian belakang – Bahagian tengah memaparkan tulisan “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling, diikuti dengan nilai muka “5 RINGGIT” pada bahagian tengahnya. Latar belakang duit syiling memaparkan angka 1, 5, 10, 20 dan 50 dalam pelbagai rupa huruf (typeface) untuk menggambarkan siri syiling berbeza yang dikeluarkan selama ini, di samping melambangkan lima dekad penempaan duit syiling.

3. Duit Syiling Peringatan Tembaga (pruf) – Bentuk Congkak

  • Bahagian hadapan - Sudut kiri bahagian atas memaparkan perkataan “50 TAHUN PENGHASILAN DUIT SYILING” sempena 50 tahun penempaan duit syiling oleh Kilang Wang. Angka lima dan sifar digayakan menyerupai bentuk dua keping syiling. Dengan latar belakang bertekstur yang menyerupai tikar mengkuang, terdapat tujuh imej dan motif daripada pelbagai siri duit syiling yang dikeluarkan oleh Kilang Wang selama ini iaitu bangunan Parlimen daripada siri duit syiling pertama; wau, rebana dan gasing daripada siri duit syiling kedua; serta motif Mah Meri dan sulur kacang daripada siri duit syiling ketiga.
  • Bahagian belakang - Pada bahagian tepi duit syiling ini yang rekaannya seperti papan congkak, rumah sebelah kiri memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling, manakala rumah sebelah kanan memaparkan nilai muka “5 RINGGIT”. Bahagian tengahnya menampilkan dua baris lubang congkak yang mengandungi guli dengan rona berkabut yang direka untuk menunjukkan ilusi optik angka "50", menandakan 50 tahun penempaan duit syiling oleh Kilang Wang.

4. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

  • Bahagian hadapan – Bahagian muka duit syiling memaparkan perkataan “50 TAHUN PENGHASILAN DUIT SYILING” dan “JUBLI EMAS” untuk memperingati 50 tahun penempaan duit syiling oleh Kilang Wang. Angka lima dan sifar pada bahagian tengah duit syiling digayakan menyerupai bentuk dua keping duit syiling. Pada sekeliling duit syiling ditampilkan motif bulatan hiasan yang melambangkan peredaran pasaran. Pada bahagian dalam angka lima terdapat seekor kijang yang mewakili Bank Negara Malaysia.
  • Bahagian belakang – Bahagian kanan duit syiling memaparkan tulisan ‘BANK NEGARA MALAYSIA’ sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling, diikuti dengan nilai muka ‘1 RINGGIT’. Pada sekeliling kiri bahagian atas dipaparkan imej duit syiling 5 sen yang dikeluarkan pada tahun 1971, iaitu tahun Kilang Wang mula menempa duit syiling. Pada sekeliling kiri bahagian bawah pula ditampilkan imej duit syiling 50 sen yang dikeluarkan pada tahun 2021 bagi memperingati 50 tahun penempaan duit syiling oleh Kilang Wang.

Jualan duit syiling peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 3 dalam 1, satu keping duit syiling tembaga (pruf) untuk setiap bentuk (Wau, Gasing dan Congkak) dan maksimum hingga lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui https://duit.bnm.gov.my mulai 12.00 tengah hari Rabu, 28 September 2022 hingga 11.00 malam Ahad, 9 Oktober 2022.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan.
 
Lampiran I – Spesifikasi Teknikal



 
Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% SST
Bank Negara Malaysia
28 September 2022
© Bank Negara Malaysia, 2022. All rights reserved.

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute