Cari Post lain disini

Monday, July 1, 2024

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara

Embargo : Untuk siaran segera
1 Jul 2024

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-75 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (pruf)

Duit syiling berbentuk segi empat tepat yang pertama di Malaysia ini diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan mempunyai berat 32.7 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual dengan harga RM330 sekeping. Sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Duit syiling ini diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan mempunyai berat 8.5 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM385. Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic. Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Butiran terperinci mengenai duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran.

Reka Bentuk Duit Syiling

Reka bentuk duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Perak Sterling (Pruf)

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.


Bahagian Hadapan – Bahagian atas duit syiling memaparkan teks “JUBLI INTAN”, menandakan ulang tahun ke-75 JPN. Bahagian kiri duit syiling memaparkan bayang warganegara Malaysia mengikut pelbagai peringkat umur, yang melambangkan fungsi utama JPN dalam pendaftaran peristiwa penting individu. Olahan imej folder pada bahagian kanan duit syiling menggambarkan kepelbagaian rekod pendaftaran yang dikendalikan oleh JPN sebagai agensi utama pengurusan rekod penduduk negara ini sejak tahun 1948. Diilhamkan oleh transformasi digitalnya yang selaras dengan Pelan Identiti Digital Nasional 2020, olahan bentuk iris melambangkan inisiatif pendigitalan terkini JPN.

Bahagian Belakang – Bahagian atas duit syiling memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik. Logo ulang tahun ke-75 JPN dipaparkan pada bahagian kanan syiling, berserta olahan gambaran cap jari pada bahagian kiri.

Teks “10 RINGGIT” dipaparkan pada bahagian bawah kiri duit syiling yang mewakili nilai mukanya.

2. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic Brilliant Uncirculated (B.U.)

Nota: Sila rujuk Lampiran untuk saiz duit syiling yang sebenar.


Bahagian Hadapan – Sekelling bahagian atas duit syiling memaparkan teks “JABATAN PENDAFTARAN NEGARA” manakala sekeliling bahagian bawah memaparkan teks “JUBLI INTAN”. Reka bentuk ini diilhamkan oleh aspirasi pemodenan dan inisiatif transformasi digital JPN. Reka bentuk ini turut memaparkan imej cap jari yang dikelilingi oleh pelbagai ikon yang melambangkan peranan utama JPN dalam menguruskan rekod kelahiran, pengenalan, perkahwinan, kewarganegaraan dan kematian.

Bahagian Belakang – Sekeliling bahagian atas kiri duit syiling memaparkan teks “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling numismatik, dengan logo ulang tahun ke-75 JPN dipaparkan pada sebelah kanan. Teks “1 RINGGIT” ditunjukkan pada bahagian bawah kiri duit syiling yang mewakili nilai mukanya, berlatarbelakangkan bayang olahan MyKad (kad pengenalan).

Jualan Duit Syiling Peringatan

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 11:00 pagi Isnin, 1 Julai 2024 hingga 11:00 malam Ahad, 14 Julai 2024.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain. Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang Berjaya.
 
Lampiran: Spesifikasi Teknikal


Nota: Harga yang dinyatakan di atas termasuk 10% Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST).

Bank Negara Malaysia
1 Julai 2024

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute