Cari Post lain disini

Wednesday, March 26, 2008

Lambang Apresiasi Wang

Abdullah Ismail mempunyai hobi mengumpul wang-wang lama dan antara simpanannya ialah wang Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1445. Mengapa dia meminati wang lama?


ABDULLAH ISMAIL bergambar bersama sebahagian daripada kira-kira 20,000 wang lama yang terdapat dalam koleksinya di Shah Alam, Selangor.


BERMULA daripada tiga keping duit kertas lama yang dihadiahkan bapanya ketika berusia 15 tahun, Abdullah Ismail menambah koleksi wang lama sehingga kini jumlahnya melebihi 20,000 keping. Jumlah ini mungkin lebih banyak memandangkan dia tidak merekodkan bilangannya.

Daripada tiga keping wang kertas ini iaitu satu dolar Malaya Borneo dengan lambang kapal layar, 10 dolar Malaya British Borneo dengan gambar kerbau dan sekeping wang kertas zaman Jepun, minat Abdullah untuk mengumpul duit-duit lama mula membuak-buak.

"Masa itu, saya bersekolah di tingkatan tiga. Ayah saya berikan saya wang yang telah lama disimpannya sebagai hadiah kerana dia tahu saya minat mengumpul wang. Sejak itu, saya mula 'jatuh cinta' terhadap wang lama dan mahu mengumpul lebih banyak lagi," kata Abdullah, 38, ketika ditemui di rumahnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Koleksi persendiriannya mengagumkan. Walaupun belum cukup layak untuk digelar muzium, namun sedikit sebanyak, ia mampu membawa kita melayari sejarah wang silam di negara ini. Kebanyakan wang kertas milik Abdullah disimpan rapi di dalam album-album dan kebanyakan wang syiling pula disimpan secara berpaket di dalam peti.

Beliau bukan sekadar menyimpan wang dari zaman penjajahan British dan Jepun. Turut terdapat di dalam koleksi duit lamanya ialah duit zaman Kesultanan Melayu Melaka. Duit dari zaman Sultan Muzaffar Shah pada tahun 1445 adalah antara yang paling lama usianya.


ABDULLAH ISMAIL turut mengumpul wang-wang luar negara termasuk yang tidak digunakan lagi pada hari ini.


Duit pada zaman itu diperbuat daripada timah dan merupakan antara wang terawal bertemakan Islam. Timah merupakan komoditi utama negeri-negeri Melayu ketika itu.

Berwarna seakan-akan hitam, bahagian depan duit ini tertera huruf jawi 'Sultan Muzaffar Shah'. Sementara belakangnya pula tertera tulisan yang berbunyi 'penolong kepada dunia dan agama'.

Mengakui mendapat kepuasan daripada hobi mengumpul duit lama, Abdullah berkata, dia seronok melihat perubahan wang dari satu zaman ke satu zaman.

"Kita dapat melihat perubahan wang. Misalnya, tengok duit Sultan Muzaffar ini, kita dapat tahu bagaimana bentuk wang pada zaman itu? Ia tidaklah sebulat duit syiling yang ada pada masa ini dan kelihatan dibentuk secara manual. Tetapi, kini...sains dan teknologi telah mengubah segalanya.

"Apapun jika anda amati, setiap zaman menjanjikan keunikan yang tersendiri. Bukan sahaja pada corak, tetapi juga bentuknya. Ada duit syiling yang berlubang di tengah dan ada yang bersegi-segi. Duit syiling satu sen pada zaman British berbentuk segi empat sama," ujar lelaki berasal dari Taiping, Perak ini. Dia turut menyimpan wang zaman Portugis dan Belanda.

Tambahnya lagi, wang juga boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Selain syiling dan wang kertas, ia juga boleh didapati dalam bentuk token seperti token saudagar yang juga terdapat dalam simpanan Abdullah.


DUIT-DUIT lama mempunyai keunikan tersendiri.


Pada tahun 1840-an, token yang mempunyai lambang ayam jantan dan tertulis tulisan jawi 'Tanah Melayu' itu telah digunakan secara meluas di Kedah dan negeri-negeri sekitarnya sebagai medium pertukaran.

Apabila syiling diperkenalkan di Negeri-Negeri Selat pada tahun 1848, penggunaan token mula dilarang dan menjelang tahun 1853, token-token ini tidak lagi digunakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Selain token, ada juga medium pertukaran yang berbentuk kupon seperti kupon yang diperkenalkan British pada tahun 1941 yang digunakan dalam hal jual-beli getah kering.

Ditanya bagaimana cara dia mendapatkan wang-wang lama itu, Abdullah berkata, dia lazimnya akan bertukar-tukar dengan sahabat yang mempunyai minat yang sama, bertanya kepada orang-orang tua di kampung-kampung atau membelinya.

"Biasanya, saya bertukar-tukar dengan kawan-kawan. Tetapi, kalau pergi ke kampung-kampung, ada juga saya bertanyakan kepada mereka kalau-kalau mereka masih menyimpan duit lama.

"Ada juga yang saya beli atau bertukar dengan barangan lain yang saya miliki," jelasnya. Katanya, hal ini membuatkan penulis memahami mengapa terdapat beberapa barang antik di rumah Abdullah seperti seterika tembaga, radio lama, keris dan sebagainya.

"Saya dapat syiling Sultan Muzaffar Shah ini melalui pertukaran barangan dengan seorang kawan. Saya tukarkan seterika tembaga kepala ayam milik saya untuk dapatkan duit ini," ujarnya.

Abdullah memberitahu kos terbanyak yang dilaburkan untuk membeli sesuatu duit lama ialah RM1,200. Duit lama itu ialah wang kertas 10 dolar King George yang merupakan antara yang paling sukar didapati.

Ditanya yang mana satukah antara wang lama dalam koleksinya yang paling disayanginya, Abdullah berkata, tiga wang kertas yang diberikan ayahnya, Ismail Yusof, 70, dan sekeping wang kertas yang dibelinya buat kali pertama.

"Ia adalah duit pertama yang saya beli dengan wang poket sendiri selepas mula bekerja sebagai peniaga kedai runcit pada tahun 1989. Duit itu ialah wang kertas 10 sen yang dikeluarkan pada tahun 1941.


ANTARA wang kertas lama yang digunakan di negara ini ketika pemerintahan British dan Jepun.


Kata Abdullah, apa yang dilakukannya ini adalah sebagai lambang apresiasinya terhadap wang.

"Saya amat menghargai wang. Apabila saya melihat orang ramai membuang duit satu sen, saya rasa sedih. Orang tidak sedar, duit itu walaupun sekecil mana nilainya mungkin boleh membantu kita satu hari nanti," katanya yang turut menyimpan duit yang tidak lagi dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) seperti wang kertas RM20, RM500 dan RM1,000 dan syiling RM1 berkeris emas.

Beliau mengakui koleksinya belum lengkap. Masih banyak yang perlu dicari dan sebagai pengumpul sejati, beliau tidak akan berhenti.

"Apabila sudah jadi hobi, saya rasa tidak puas selagi tidak melengkapkannya. Lagi susah mendapatkannya, lagi terasa mencabar," katanya sambil memberitahu dia merujuk buku-buku wang yang menghidangkan informasi yang sahih termasuk buku keluaran BNM untuk mengetahui tentang wang-wang lama.

Sunday, March 23, 2008

Tibor Gaal a.k.a T-Boy



Bila aku baca Utusan Malaysia 11 Mac lepas, Terjumpa satu cerita yang menarik iaitu seorang artis terkenal Tibor Gaal a.k.a T-Boy telah menghasilkan sesuatu dengan duit syiling satu dan dua forint (sekitar o.o19 sen) yang tidak lagi sah diperlakukan dengan nilai sejak 29 Februari lalu oleh bank Negara Hungary, kini telah menjadi bahan fasyen yang amat bergaya. T-boy telah menukar duit syiling yang tidak lagi laku dengan menjadikan satu hiasan pakaian dari kepala hingga ke hujung kaki termasuklah kaca mata, tali leher, rompi, jaket luar, seluar dan kasut. Hasilnya amatlah menarik dan mempersonakan, berapa banyak agaknya syiling satu dan dua forint yang digunakan???

Aku rasa kita pun boleh buat benda yang sama dengan syiling 1 sen, Betul tak??. Lebih baik menghasilkan sesuatu yang kreatif daripada membiarkan ianya bersepah dan terbuang tanpa sebarang nilai.







Friday, March 21, 2008

1 sen - Mengenai Mekanisme Penggenapan


Kerajaan Malaysia mengumumkan pengenalan Mekanisme Penggenapan kepada
5 sen terdekat untuk semua pembayaran yang dibuat di kaunter pembayaran berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 April 2008.

Mekanisme Penggenapan ini diterima pakai untuk jumlah keseluruhan bil dan bukan bagi setiap unit barangan. Dalam pelaksanaan Mekanisme Penggenapan ini, jumlah keseluruhan bil, yang berakhir dengan 1, 2, 6 dan 7 sen akan diturunkan kepada 5 sen yang terdekat, manakala 3, 4, 8 dan 9 sen akan dinaikkan kepada 5 sen yang terdekat.

Pelaksanaan Mekanisme Penggenapan ini memberikan faedah kepada peniaga dan pelanggan. Para peniaga akan dapat mengurangkan kos pengendalian manakala bagi para pelanggan, pembayaran akan dapat dibuat dengan lebih cepat dan lebih mudah.

Jadual di bawah menggambarkan bagaimana Mekanisme Penggenapan dilaksanakan:

Garis Panduan Mekanisme Penggenapan

  1. Jumlah keseluruhan bil (termasuk barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai) yang berakhir dengan 1, 2, 6 dan 7 sen akan diturunkan kepada 5 sen terdekat dan 3, 4, 8 dan 9 sen dinaikkan kepada 5 sen terdekat.

  2. Mekanisme Penggenapan ini diterima pakai untuk semua jenis pembayaran tunai atau bukan tunai.

  3. Jadual Mekanisme Penggenapan hendaklah dipamerkan di kaunter pembayaran bagi memastikan pengguna dimaklumkan cara penggenapan dilakukan.

  4. Resit / bil / invois perlu menunjukkan jumlah keseluruhan sebelum dan selepas penggenapan dilakukan.

  5. Duit syiling 1 sen masih sah diperlakukan.

Maklumat

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)( www.kpdnhep.gov.my) dan laman web Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my) atau melalui telefon di talian 1-800-886-800 (KPDNHEP) atau 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia).

Atau melalui emel di 1sen@bnm.gov.my.

Lihat juga :

Soalan Lazim mengenai Mekanisme Penggenapan

Tuesday, March 18, 2008

Wang Kertas RM5

Pelbagai revolusi dari segi corak dan rekabentuk wang kertas RM5 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dari tahun 1967 hingga sekarang, hasilnya begitu menarik sehinggalah yang terkini RM5 polimer. Selain corak dan rekabentuk, tandatangan gabenor adalah berbeza mengikut tahun keluarannya. Ini menjadikan wang kertas ini menjadi lebih unik untuk disimpan;




Tun Ismail bin Mohamed Ali
(Julai 1962 - Julai 1980)



Tan Sri Dato' Abd Aziz bin Hj. Taha
(Julai 1980 - Jun 1985)



Tan Sri Dato' Jaffar Hussein
(Jun 1985 - Mei 1994)



Tan Sri Dato' Ahmad Mohd Don
(Mei 1994 - Ogos 1998)



Tan Sri Dato' Seri Ali Abul Hassan bin Sulaiman
(September 1998 - April 2000)



Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz
(Mei 2000 - Kini)



Tan Sri Dato' Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz
(Mei 2000 - Kini)


Wednesday, March 12, 2008

Menara 50 sen



Menara yang Berdiri Megah

Kali ni aku nak cerita pula apa yang aku buat dengan syiling 50 sen yang aku simpan setahun lepas. Jawapannya, aku buat menara seakan-akan KLCC kononnya tapi siap sebelah saja kerana untuk buat menara sebelah lagi aku perlu simpan lagi banyak syiling 50 sen. Tunggulah nanti kalau ada masa aku bina pula menara lengkap seakan-akan KLCC dengan menggunakan syiling 50 sen sahaja, inilah hasil penat lelah aku pada 11 Disember 2007 lalu. Baru sekarang aku nak postkan dalam blog ni, semua sekali syiling tersebut bernilai hampir RM290.00. Marilah nikmati hasil karya gila aku yang terhasil untuk mengisi masa boring dan tention aku bila penat bekerja. Sebenarnya syiling 50 sen ni aku buat tabungan untuk masa hadapan disamping koleksi.
















Tuesday, March 11, 2008

Pertandingan Mereka Bentuk Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun Ke-50 Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia akan menyambut Ulang Tahun yang Ke-50 pada 26 Januari 2009. Sehubungan dengan itu, Bank Negara Malaysia melancarkan Pertandingan Mereka Bentuk Duit Syiling Peringatan ke seluruh negara dari 10 Mac hingga 9 April 2008.

Matlamat pertandingan ini adalah untuk mendapatkan reka bentuk terbaik yang mencerminkan peranan Bank Negara Malaysia dalam proses pembinaan negara.

Reka bentuk duit syiling peringatan yang memenangi pertandingan ini akan digunakan untuk penempaan dan penghasilan Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun Ke-50.

Pemenang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, manakala 10 pemenang hadiah sagu hati akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

Sila layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut berkaitan syarat-syarat pertandingan. Borang penyertaan boleh dimuat turun dari laman web dan/atau diambil di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) dan di cawangannya di Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu.

Panduan Mereka Bentuk Duit Syiling

  1. Setiap reka bentuk mesti menggambarkan perkara berikut:
    • Depan:
      • Tema: Peranan Bank Negara Malaysia dalam proses Pembinaan Negara
    • Belakang:
      • Logo Bank Negara Malaysia pada bahagian tengah permukaan duit syiling
      • Mengandungi perkataan 'Ulang Tahun Ke-50 Bank Negara Malaysia'; serta tahun '1959' dan '2009' di permukaan ukur lilit duit syiling.
      • Nilai muka duit syiling iaitu 'RM100'.
  2. Peserta dikehendaki memberikan penerangan dan rasional yang jelas mengenai reka bentuk mereka secara bertaip.
  3. Reka bentuk mesti nampak terhormat dan tersendiri. Penggunaan lebih daripada tiga warna adalah tidak dibenarkan.
  4. Reka bentuk mesti senang diukir.
  5. Saiz reka bentuk yang dihantar mesti bergaris pusat antara 140mm hingga 160mm.
  6. Reka bentuk boleh dihantar sama ada dalam bentuk rekaan komputer atau lukisan tangan menggunakan pensel warna, akrilik, cat minyak, cat air atau dakwat.
  7. Penyertaan mesti dihantar secara lengkap satu set (reka bentuk Depan dan Belakang) dan bukannya reka bentuk untuk sebelah bahagian duit syiling sahaja.
  8. Penyertaan hendaklah dihantar hanya dalam bentuk bercetak atau salinan cetak sahaja dengan ukuran tidak melebihi kertas bersaiz A4. Cetakan atau salinan cetak reka bentuk perlu dilekapkan pada papan pelekap.

Syarat-syarat1

Kelayakan

  1. Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
  2. Kakitangan Bank Negara Malaysia dan anggota keluarga terdekat tidak layak menyertai pertandingan ini.

Peraturan Pertandingan

  1. Setiap peserta hanya boleh menghantar satu set reka bentuk duit syiling (Depan dan Belakang).
  2. Setiap reka bentuk duit syiling mestilah karya asli. Penggunaan semula karya sedia ada, lukisan, reka bentuk, corak atau simbol yang mempunyai hak cipta adalah dilarang sama sekali. Setiap reka bentuk yang dihantar haruslah tidak tertakluk kepada mana-mana sekatan atau tuntutan undang-undang. Penyertaan reka bentuk seperti itu akan terbatal walaupun telah dipilih sebagai pemenang dan Bank Negara Malaysia tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa tuntutan atau ganti rugi akibat pelanggaran undang-undang sedemikian.
  3. Setiap penyertaan perlu dihantar menggunakan Borang Penyertaan Pertandingan Mereka Bentuk Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun Ke-50 Bank
    Negara Malaysia yang lengkap diisi. Borang penyertaan pertandingan boleh didapati di ibu pejabat Bank Negara Malaysia (BNMLINK) dan di semua cawangannya di Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Johor Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu atau boleh dimuat turun melalui pautan ini.
  4. Semua penyertaan perlu dihantar dalam sampul surat yang dilekatkan, dan ditulis 'Reka Bentuk Duit Syiling Peringatan' di sudut atas sebelah kiri sampul surat dan diposkan/diserahkan ke alamat berikut:
  5. Pertandingan Mereka Bentuk Duit Syiling Peringatan Ulang Tahun Ke-50 Bank Negara Malaysia
    Jabatan Pengurusan dan Operasi Matawang
    Tingkat Mezzanine
    Bank Negara Malaysia
    Jalan Dato' Onn
    50480 Kuala Lumpur

  6. Tarikh tutup penyertaan adalah pada pukul 5.00 petang, hari Rabu, 9 April 2008. Bukti penghantaran tidak akan diterima sebagai bukti penerimaan.
  7. Penyertaan yang lewat, tidak lengkap, tidak tepat, tidak boleh dibaca atau tidak asli akan dibatalkan.
  8. Semua reka bentuk yang dihantar, sama ada berjaya ataupun tidak, menjadi hak milik Bank Negara Malaysia dan tidak akan dikembalikan. Bank Negara Malaysia berhak menggunakan, mengeluarkan semula, membuat penyesuaian, mencetak dan mengedar reka bentuk duit syiling yang dipilih sebagai pemenang tanpa perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu.
  9. Keputusan pengadil adalah muktamad. Sebarang rayuan atau surat-menyurat tidak akan dilayan. Pihak menganjur akan hanya menghubungi peserta yang berjaya. Para pemenang dikehendaki menghadiri majlis penyampaian hadiah.
  10. Hadiah wang tunai tidak boleh dipindah milik, dan akan hanya diberikan kepada peserta yang nama dan nombor kad pengenalannya sama seperti yang tertera dalam borang penyertaan.
  11. Bank Negara Malaysia berhak menggunakan, menyiarkan atau mencetak nama, gambar dan maklumat para pemenang.

Untuk keterangan lanjut , sila hubungi:
03 - 2698 8044 ext. 8422 / 7874 / 7309

Nota : 1 Dengan menyertai pertandingan ini, peserta mengaku telah membaca dan menerima Syarat-Syarat pertandingan.

Lihat juga :

Saturday, March 1, 2008

Tahap Gred Mata Wang Syiling

Kali aku bawa anda semua untuk mengetahui Tahap Gred Mata Wang Siling pula, sila rujuk panduan gred dibawah;

Poor/pair (P)
Tulisan dan gambarnya amat sukar dibaca tetapi keseluruhan reka bentuk masih dapat dilihat. Biasanya tidah dihiraukan oleh para pengumpul.

Good (G)
Tulisan dan gambarnya pudar tetapi masih boleh dibaca, permukaannya telah diratakan. Sebahagian daripada tulisan masih boleh dikenalpasti, terdapat kesan calar dan pinggirannya pecah. Melainkan ianya duit syiling yang sukar dijumpai, ia tidak digemari oleh para pengumpul.

Fine (F)
Masih menunjukkan keseluruhan reka bentuknya, terdapat kesan calar dan pinggirannya yang pecah.

Very Fine (VF)
Terdapat kesan calar, bukti penggunaan yang terhad, terdapat tombokan pada permukaan, namun tulisan dan gambarnya amat jelas sekali.

Extremely Fine (EF)
Terdapat bintik tompok pada permukaan, masih jelas dan tajam kelihatan. Warnanya masih terpelihara.

Uncirculated (UNC)
Tiada kesan calar atau pecah, kesan calar yang amat sikit mungkin disebabkan oleh ketidak sempurnaan semasa penempaan. Syiling yang lama mungkin kelihatan sedikit warna asal.

Brilliant Uncirculated (BU)
Warna asal yang jelas, tiada kesan kotoran atau kesan calar.

Fleur de Coin (FDC)
Proses penempaan yang sempurna, tiada kesan calar, warna asal yang jernih dan biasanya digunakan untuk syiling Peruf.

Proof (PROOF)
Sering dijalankan dengan menggunakan acuan yang dikilatkan, mengenakan 2 kali ganda tekanan ke atasnya bagi memastikan acuan dipenuhi sepenuhnya. Salah satu kriteria utama ialah ianya mempunyai permukaan yang tajam dan jelas.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute