Cari Post lain disini

Friday, January 28, 2011

Bank Negara Malaysia Melantik Tiga Penolong Gabenor Baharu

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan pelantikan tiga Penolong Gabenor baharu iaitu Encik Donald Joshua Jaganathan, Encik Abu Hassan Alshari bin Yahaya, dan Encik Marzunisham bin Omar, berkuat kuasa 1 Februari 2011.

Encik Donald Joshua Jaganathan sebagai Penolong Gabenor, akan bertanggungjawab terhadap Jabatan Penyeliaan Konglomerat Kewangan, Jabatan Penyeliaan Insurans dan Takaful, dan Jabatan Penyeliaan Perbankan.

Sebelum pelantikan beliau, Encik Donald Joshua Jaganathan memegang jawatan Pengarah di Jabatan Kewangan. Beliau juga telah berkhidmat di beberapa jabatan termasuk Jabatan Penyeliaan Insurans dan Perbankan, Jabatan Pengawalan Insurans, Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan dan Jabatan Pengurusan Strategik. Encik Donald memperoleh ijazah daripada Universiti Malaya dan merupakan ahli jawatankuasa Malaysian Institute of Accountants. Beliau juga mempunyai ijazah sarjana pentadbiran perniagaan daripada Cranfield School of Management, United Kingdom.

Penolong Gabenor Encik Abu Hassan Alshari bin Yahaya akan memegang jawatan Setiausaha kepada Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia. Beliau juga akan menyelia beberapa jabatan termasuk Jabatan Kewangan, Jabatan Komunikasi Strategik, Jabatan Perkhidmatan Korporat, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan Harta, Pusat Perhubungan Bersepadu Bank Negara Malaysia (BNMLINK) dan pejabat-pejabat wilayahnya, Jabatan Keselamatan dan Muzium dan Galeri Seni.

Encik Abu Hassan Alshari kini merupakan Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat. Pengalaman beliau di Bank merangkumi bidang penyeliaan dan pengawalan, serta komunikasi. Encik Abu Hassan Alshari memperoleh ijazah sarjana muda Ekonomi daripada Monash University, Australia.

Penolong Gabenor Encik Marzunisham bin Omar akan bertanggungjawab terhadap Jabatan Modal Insan Strategik, Jabatan Pengurusan Strategik, Pusat Pembangunan Modal Insan dan Perkhidmatan IT serta Unit Perkhidmatan Sumber Manusia.

Sebelum pelantikan beliau, Encik Marzunisham memegang jawatan Pengarah Jabatan Ekonomi dan Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris. Beliau juga pernah berkhidmat di Jabatan Antarabangsa dan Jabatan Pengawalan Bank. Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia. Encik Marzunisham, graduan University of Cambridge, United Kingdom, memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang Ekonomi.

AG Donald
Penolong Gabenor
Donald Joshua Jaganathan

AG Abu Hassan
Penolong Gabenor
Abu Hassan Alshari bin Yahaya

AG Marzunisham
Penolong Gabenor
Marzunisham bin Omar

Bank Negara Malaysia
27 Januari 2011

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute