Cari Post lain disini

Tuesday, January 18, 2011

Negara Islam perlu kekal guna wang kertas

NEGARA Islam perlu terus menggunakan mata wang kertas dan bukan dinar emas kerana sejarah telah membuktikan bahawa sistem duit syiling itu boleh meningkatkan kadar faedah, dan menyukarkan kawalan inflasi.

Profesor Sejarah Ekonomi Perbandingan di Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan dalam Kewangan Islam (INCEIF), Dr Murat Cizakca, berkata wang sepatutnya berperanan sebagai alat pertukaran, bukan komoditi.

"Kita perlu terus menggunakan mata wang kertas, dan bank pusat yang mengawal mata wang kertas wajar mempunyai kuasa penuh," katanya dalam syarahan umum bertajuk ‘Dinar Emas Islam: Mitos dan Realiti’ anjuran Persatuan Profesional Kewangan Islam Berkanun dan INCEIF di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, bekalan emas dikuasai oleh negara bukan Islam.

"Dinar emas akan terdedah kepada spekulasi memandangkan harga emas juga turun dan naik, justeru, negara Islam wajar terus menggunakan mata wang kertas dan meningkatkan perdagangan sesama mereka dan akhirnya bersetuju menggunakan mata wang kertas yang sama pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Perancangan Strategik Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin, yang mengulas pendapat Cizakca, berkata: "Dalam sejarah, sudah terbukti penggunaan mata wang berasaskan komoditi tidak membantu mengekang inflasi."

Beliau berkata, apabila inflasi tidak dapat dikawal, gaji sebenar rakyat turut jatuh.
"Peranan mata wang ialah sebagai alat perantara pertukaran, dan apabila mata wang berasaskan komoditi, nilai mata wang akan banyak bergantung kepada komponen komoditi dan kita tidak dapat lari daripada naik turun”, katanya. – BERNAMA

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute