Cari Post lain disini

Friday, February 7, 2020

Kenali Pereka Matawang Malaysia

Dalam dunia hobi numismatik, mereka yang terlibat dalam menghasilkan sesuatu matawang samada matawang dalam edaran ataupun matawang peringatan kurang diberi publisiti oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM). 

Kenapa?

Perkara ini agak berlainan dengan pihak Pos Malaysia Berhad dimana mereka yang terlibat dalam menghasilkan sesuatu setem khasnya setem peringatan diberi publisiti dan orang ramai boleh berjumpa dengan mereka untuk berkenalan dan minta tandatangan.

Pereka Setem En. KY Lim (Sumber Gambar:Google)


Sudah lama mykoleksi tertanya-tanya kenapa pihak BNM tidak memperkenalkan mereka-mereka yang memerah idea dan korbankan masa untuk menghasilkan sesuatu rekaan matawang supaya kami dapat kenali?

Rasanya tidak akan hilang populariti pihak BNM jika kami peminat dunia hobi numismatik mengenali mereka, malah nama BNM akan terus harum mewangi dengan adanya mereka ini.

Setakat ini mykoleksi hanya mengenali beberapa orang sahaja yang pernah terlibat dalam merekabentuk matawang, itupun hasil carian melalui "google" dan sumber-sumber lain.

Kalau tak jangan harap mykoleksi akan mengenali lagenda pereka-pereka matawang Malaysia seperti dibawah:

1. Ismail Ibrahim

Mantan Pereka Syiling Kilang Wang BNM/Royal Mint Malaysia

Bakat beliau mula dikesan dan digilap semasa beliau mula berkhidmat sebagai pereka muda di Mariwasa Kraftangan di Kuala Kangsar yang terkenal sebagai syarikat dengan hasil seni kraf berasaskan perak dan pingat-pingat kebesaran.

"Remaja" kelahiran Kampung Gong Bayor, Besut Terengganu ini juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Reka Bentuk Syiling di Kilang Wang Bank Negara Malaysia (BNM) Shah Alam sebelum diswastakan menjadi Royal Mint Malaysia pada tahun 2000.

Boleh tahan banyak juga duit syiling peringatan yang dihasilkan oleh beliau diantaranya adalah duit syiling peringatan UiTM, NAM, OIC, LIMA dan Millenium tahun 2000.

Beliau juga pernah memenangi 3 tahun berturut-turut (2003, 2004 dan 2005) award coin competition yang diadakan di jepun

Kalau nak cerita pasal pereka lejen ini, memang panjang lebar la nanti. Jadi, mykoleksi cadangkan anda "add friend di Facebook" dan lepas tu anda boleh sembang sendiri pasal pengalamannya sebagai seorang pereka syiling.


2. Michael Yong

Pemilik nama ini merupakan pereka duit syiling Pattern/cadangan Malaysia 1966 yang pada tahun 2015 pernah dilelong dengan harga lebih RM740,000 dan turut menggemparkan dunia hobi numismatik.

Beliau telah memenangi pertandingan yang diadakan bagi memilih rekabentuk atau motif duit syiling Malaysia yang pertama. Rekabentuk duit syiling yang dihasilkan beliau bertemakan haiwan iaitu Monyet Belanda, burung bangau, burung merak, tapir, kijang dan tenggiling.

Namun rekabentuk tersebut tidak digunakan pada duit syiling Malaysia setelah dipersembahkan kepada Tunku Abdul Rahman, kemudian rekaan set duit syiling pertama tersebut digantikan dengan rekaan bangunan parlimen.


3. Geoffrey Colley

Geoffrey Colley (GC) (Sumber Gambar: Google)

Inilah pemilik gelaran "GC" yang terdapat pada duit syiling siri Parlimen Malaysia bermula pada tahun 1967 - 1988.

Geoffrey Colley dilahirkan di Gillenham, Kent, UK, pada tahun 1934. Geoffrey Colley mendapat pendidikan dalam senilukis di Kent and London.

Antara ciptaan-ciptaan yang dihasilkan oleh beliau adalah: Battle of Britain 25th Anniversary, Desert War 25th Anniversary, Albert Einstien, Maiden Voyage of Queen Elizabeth II 1969, General Dwight David Eisenhower, 900th Anniversary of the Norman Conquest 1966 and eight medals honoring the American Revolution.


4. Low Yee Kheng

En. Low Yee Kheng (Sumber Gambar: Google)

Satu pertandingan rekabentuk set duit syiling baru malaysia bagi menggantikan set duit syiling parlimen, Low Yee Kheng telah diumumkan sebagai juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.

Jadi, sekarang anda sudah kenal dengan pereka duit syiling siri Bunga Raya Malaysia yang mula diedarkan pada 1989.


5. Muhammad Fikri bin Abd Aziz

Pereka Duit Syiling 50 Tahun Yayasan Sabah


Beliau merupakan merupakan pelajar Fakulti Senireka Teknologi Kreatif di UniSZA yang memenangi pertandingan merekabentuk duit syiling peringatan yang dianjurkan oleh BNM, duit syiling peringatan bersempena 50 tahun Yayasan Sabah yang kita simpan sebagai koleksi itulah direka oleh beliau


6. Mohammad Haniff bin Halim

Pereka Duit Syiling 100 Tahun Pandu Puteri Malaysia 

Pelajar kedua daripada Fakulti Senireka Teknologi Kreatif di UniSZA ini turut memenangi tempat pertama dalam pertandingan yang dianjurkan oleh BNM dalam merekabentuk duit syiling peringatan, rekabentuk duit syiling peringatan 100 tahun Pandu Puteri Malaysia telah mengangkat sebagai pemenang.


7. Zulkefli Abdul Azizi

Tidak banyak maklumat yang mykoleksi tahu tentang beliau, apa yang pasti beliau adalah pemenang pertandingan rekabentuk duit syiling peringatan 50 tahun Bank Negara Malaysia yang pernah dianjurkan oleh BNM dahulu.

Untuk makluman anda beliau juga yang mengalahkan mykoleksi dalam pertandingan tersebut


8. Mohd Faizal Abdul Latif

Mohd Faizal Abdul Latif

Pereka duit kilang wang BNM, salah satu duit syiling peringatan yang mendapat sentuhan beliau adalah duit syiling peringatan bersempena pertabalan YDP Agong ke-16, salah satu ilham beliau dalam merekabentuk duit syiling tersebut diambil daripada payung ubur-ubur kuning.


9. Mohd Ubaidillah Daud

Pereka Duit Syiling Peringatan 70 tahun RTM

Beliau juga pereka duit syiling kilang wang BNM, lama dah mykoleksi cari pemilik nama tersebut. Akhirnya telah didedahkan dalam rancangan khas RTM TV1, beliaulah pereka duit syiling peringatan bersempena 70 tahun RTM


10.Yong Wen Xia

Merupakan pelajar universiti Limkokwing dalam jurusan "Bachelor of Design (Hons) in Professional Design (Visual Communication)", beliau memenangi pertandingan merekabentuk duit peringatan bersempena sambutan Jubli Emas Felcra yang dianjurkan oleh BNM.


Sehingga ke hari ini mykoleksi masih belum dapat meng"hadam" kenapa BNM merahsiakan nama-nama pereka matawang yang dikeluarkan oleh BNM?

Jika kerahsiaan ini berhubung kait dengan sesuatu akta atau terma dan syarat. Nampaknya, kita mesti menerimanya dengan redha.

Apa yang pasti, setiap matawang yang dikeluarkan oleh pihak BNM sudah pasti ada PEREKA dan juga seseorang disebalik tabir. Jasa dan pengorbanan yang mereka lakukan mestilah dihargai walaupun itulah kerja hakiki atau sekadar pertandingan.

Nota:
Nanti kalau mykoleksi rajin, mykoleksi akan kongsikan lagi pereka matawang Malaysia yang lain pula.

yang bukan pereka matawang,
mykoleksi

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute