Cari Post lain disini

Tuesday, June 14, 2011

Jamalliah 'gila' kumpul duit

JAMALLIAH bersama sebahagian koleksi wang kertas yang dikumpul sejak 2005.

Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my

RATU karate negara, Jamalliah Jamaludin bukanlah mata duitan tetapi dia memang pantang melihat duit kerana hobinya adalah mengumpul pelbagai wang kertas dari seluruh dunia.

Dapat memiliki koleksi wang negara luar memberi satu kepuasan buat gadis manis berusia 27 tahun ini, malah kerjayanya sebagai atlet kebangsaan yang sering merantau ke seluruh dunia memberi banyak peluang buat Jamalliah memenuhi tuntutan hobinya.

Bagi Jamalliah, semua koleksi wang yang dimiliki menyimpan kenangan tersendiri. Setiap kali melihat wang itu, ia akan menggamit kenangan pahit atau manis yang dilalui ketika berada di negara tersebut.

Katanya, minat untuk mengumpul wang kertas mula timbul selepas dia tertarik dengan corak yang ada pada setiap wang berkenaan kerana ia mewakili keunikan yang ada pada negara tersebut.

Kata anak perempuan tunggal daripada lima beradik ini lagi, koleksi paling menarik dalam albumnya adalah sekeping wang kertas lama Malaysia bernilai RM1 yang masih disimpan elok selepas tiga generasi.

Duit kertas tersebut

koleksi paling disayangi Jamalliah berbanding yang lain, kerana ia punya corak klasik di permukaannya.

"Saya sudah menyimpan duit kertas RM1 ini sejak tiga generasi. Selain mempunyai corak klasik yang menarik, duit kertas ini juga memiliki nilai sejarah yang sangat tinggi.

"Saya akan terus menyimpannya, selain menambah koleksi duit kertas dari negara-negara lain yang pernah dan akan saya kunjungi.

"Aktiviti begini sebenarnya memberikan satu kepuasan yang tidak dapat saya gambarkan.

"Sebenarnya semua duit ini mengingatkan saya kepada detik manis atau pahit yang pernah dilalui ketika beraksi di luar negara.

"Saya akan cuba menyimpan setiap wang kertas negara yang saya kunjungi tanpa mengira nilainya kerana ia juga merakamkan memori saya di negara itu,'' cerita Jamalliah lagi.

Jamalliah yang berasal dari Sungkai, Perak tetapi menetap di Kuala Lumpur mula mengumpul wang kertas sejak 2005 .

Dan kini, pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2007 itu memiliki lebih 500 wang dalam koleksinya.

"Wang kertas pertama saya adalah dari Indonesia. Kadang kala saya juga akan berkongsi dan bertukar wang dengan kawan-kawan dan saudara terdekat,'' ujarnya lagi.

Kata Jamalliah, jika mengumpul duit kertas merupakan hobi serta kegilaannya, aktiviti utama di masa lapang pula adalah mengajar karate kepada individu yang berminat, terutama kanak-kanak.

"Dengan cara ini, saya harap dapat membantu melahirkan lebih ramai bakat baru untuk mewakili negara di pentas antarabangsa suatu hari nanti.

"Saya memang cintakan sukan karate kerana itu, hampir kebanyakan masa saya dihabiskan untuk berlatih dan menajamkan kemahiran sedia ada,'' katanya.

Selain Jamalliah, adiknya, Shaharudin juga aktif dalam karate, malah merupakan atlet kebangsaan dan pernah memenangi pingat perak Sukan SEA.

Ketika ini, pertandingan terdekat yang bakal disertai oleh dua beradik ini adalah Kejohanan Karate Asia di China, bulan depan dan Sukan SEA Indonesia, November nanti.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute