Cari Post lain disini

Monday, September 16, 2013

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Sempena Ulang Tahun Penubuhan Malaysia Ke-50

Dulu se"warna" saja tapi sekarang BNM dah keluarkan Syiling Peringatan berwarna pula......Tahniah BNM kerana berjaya keluar dari kebiasaan. 

Mungkin kos yang tinggi perlu ditanggung untuk sekeping syiling bewarna tetapi perubahan perlu dilakukan supaya Syiling Peringatan yang dikeluarkan oleh BNM setanding dan boleh menandingi negara lain didunia.........Teruskan BNM. 

Bagi my-koleksi, berapa yang perlu dibelanjakan oleh seorang "collector" untuk mendapatkan setiap Syiling Peringatan tidak menjadi masalah......janji koleksi berada dalam tangan. Disamping itu, BNM juga mesti menjaga kualiti Syiling Peringatan yang dikeluarkan termasuk kotak supaya wang yang dibelanjakan oleh seorang "collector" nanti betul-betul berbaloi. Rujuk disini


Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Penubuhan Malaysia Ke-50. Hari Malaysia kini disambut pada 16 September setiap tahun sebagai memperingati penubuhan persekutuan Malaysia yang terdiri daripada 11 buah negeri di  Tanah Melayu dan dua buah negeri di Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 750 keping ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling ini merupakan duit syiling berwarna yang pertama dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Pada bahagian hadapan duit syiling ini terdapat imej berwarna Jalur Gemilang. Duit syiling pruf yang berwarna ini diperbuat daripada logam Perak (Fine Silver) dengan ketulenan 999 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan dijual pada harga RM200 sekeping. Sebanyak 10,000 keping ditempa.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic

Nilai muka duit syiling emas Nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping ditempa.

Kesemua duit syiling ini juga boleh didapati dalam set 3 dalam 1, dan set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas, perak berwarna dan emas Nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,100 dan hanya terdapat 500 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak berwarna dan emas Nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM250 dan hanya terdapat 1,000 set sahaja. Butiran terperinci mengenai spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

i. Bahagian Hadapan

Duit syiling peringatan ini memaparkan imej Jalur Gemilang yang berwarna di bahagian tengahnya.  Perkataan “PERAYAAN HARI MALAYSIA” dan “50 Tahun” dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala perkataan “16 SEPTEMBER 1963-2013” dipaparkan di bahagian bawah duit syiling.

ii. Bahagian Belakang

Bahagian tengah duit syiling peringatan ini memaparkan imej Jata Negara dan peta Malaysia. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” iaitu pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan di bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling tertera di bahagian bawahnya.
Reka bentuk keseluruhan duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran II.

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 17 September 2013 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) di Sasana Kijang, Kuala Lumpur dan pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta  cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching. 

Lampiran I 

Spesifikasi Teknikal

* Jadual di atas my-koleksi ada buat pembetulan sikit, rasanya BNM ada "typo error" 
"Set 2 dalam 11" dan "Set 3 dalam 12".....kalau my-koleksi salah, harap dapat bagitau my-koleksi untuk betulkan semula. Anda boleh rujuk "highlight" kuning


Nota:
  1. Set 2 dalam 1 mengandungi duit syiling perak berwarna pruf dan emas Nordic pruf.
  2. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling emas pruf, perak berwarna pruf dan emas Nordic pruf.

Bank Negara Malaysia
16 September 2013

Sumber asal: www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute