Cari Post lain disini

Thursday, October 30, 2014

Pengeluaran Duit Syiling Peringatan Bersempena dengan Ulang Tahun Taman Negara ke-75

Duit Syiling Peringatan Bersempena Sambutan 75 Tahun Taman Negara

Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan Ulang Tahun Taman Negara Ke-75. Taman Negara merupakan sebuah taman negara yang terkemuka di Malaysia dan juga destinasi ekopelancongan yang terkenal. Taman Negara juga merupakan salah satu hutan hujan tropika tertua di dunia dan terkenal sebagai habitat bagi kira-kira 150 spesies mamalia, 53 spesies ikan, 479 spesies burung dan lebih daripada 3,000 spesies tumbuh-tumbuhan. Duit syiling peringatan ini dilancarkan oleh YB Datuk Seri G.Palanivel, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 29 Oktober 2014 di Taman Negara.

Spesifikasi duit syiling peringatan ini adalah seperti yang berikut:

1. Duit Syiling Peringatan Emas (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam emas dengan ketulenan 99.99 dan berat setiap keping ialah 7.96 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM100 dan harga jualannya RM1,800 sekeping. Sebanyak 500 keping sahaja ditempa.

2. Duit Syiling Peringatan Perak Berwarna (pruf)

Duit syiling pruf ini diperbuat daripada logam perak dengan ketulenan 99.9 dan berat setiap keping ialah 31.10 gram. Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan harga jualannya RM200 sekeping. Sebanyak 2,000 keping sahaja ditempa.

3. Duit Syiling Peringatan Emas Nordic 

Nilai muka duit syiling emas nordic ini ialah RM1 dan harga jualannya RM10 sekeping. Sebanyak 25,000 keping sahaja ditempa.

Kesemua duit syiling peringatan ini juga boleh didapati dalam Set 3 dalam 1 dan Set 2 dalam 1. Set 3 dalam 1 mengandungi duit syiling pruf emas, perak berwarna dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM2,100 dan terdapat 750 set sahaja. Set 2 dalam 1 pula mengandungi duit syiling perak berwarna dan emas nordic pruf. Set ini akan dijual pada harga RM250 dan terdapat 750 set sahaja. Butiran terperinci berkenaan spesifikasi kesemua duit syiling peringatan ini terdapat dalam Lampiran I.

Spesifikasi Duit Syiling Peringatan

Reka Bentuk Duit Syiling

Berikut ialah keterangan mengenai reka bentuk duit syiling peringatan tersebut:

1. Bahagian Hadapan Duit Syiling

Pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini terdapat imej Pantera Tigris Jacksoni iaitu spesies harimau yang hanya ditemui di Taman Negara . Banjaran Tahan dan pokok Keruing Neram yang terdapat di sepanjang Sungai Tahan menjadi latar belakang duit syiling. Lavistonia Tahanensis, sejenis palma yang ditemui hanya di kawasan Banjaran Tahan, pula dipaparkan pada bahagian bawah kanan duit syiling. Perkataan “SAMBUTAN 75 TAHUN TAMAN NEGARA” tertera pada bahagian atas duit syiling dan tahun “1939-2014” yang menandakan ulang tahun yang ke-75 dipaparkan pada bahagian bawah duit syiling tersebut.

2. Bahagian Belakang Duit Syiling

Pada bahagian tengah duit syiling peringatan ini tertera peta Semenanjung Malaysia dengan garisan sempadan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang ditebalkan untuk menunjukkan kawasan Taman Negara. Bahagian yang berlorek menunjukkan lokasi sebenar Taman Negara. Perkataan “BANK NEGARA MALAYSIA” sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan duit syiling peringatan ini dipaparkan pada bahagian atas duit syiling manakala nilai muka duit syiling ini tertera pada bahagian bawah duit syiling tersebut.

Reka bentuk lengkap duit syiling peringatan ini adalah seperti yang ditunjukkan dalam Lampiran II.

Reka bentuk Lengkap Duit Syiling Peringatan

Lokasi Jualan

Duit syiling peringatan ini ditempa dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia dan akan mula dijual pada 28 November 2014 di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (MAG) dan pejabat wilayah di Pulau Pinang dan Johor Bahru serta cawangan di Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching.

Bank Negara Malaysia
29 Oktober 2014

Sumber asal: www.bnm.gov.my

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute