Cari Post lain disini

Friday, April 6, 2018

Muzium Numismatik Maybank Kini Hanya Tinggal Nama

Tahukah anda Malayan Banking Berhad (Maybank) merupakan satu-satunya Bank Perdagangan di Malaysia yang mempunyai sebuah Muzium Numismatik sendiri bertujuan untuk mendidik orang ramai dalam mengenali sejarah matawang negara.

Sekiranya kita bandingkan dengan Muzium Numismatik Bank Negara, koleksi yang ada boleh dikatakan agak hebat juga kerana mempunyai himpunan matawang terbesar di Malaysia iaitu koleksi matawang yang pernah digunakan di Zaman Kesultanan Melayu Melaka, matawang semasa penjajahan Malaya oleh Portugis, Inggeris dan Jepun semasa ‘Perang Dunia ke-2 dan matawang negara-negara Asean. 

Muzium Numismatik Maybank terletak di Tingkat 1, Menara Maybank, alamat penuh boleh rujuk dibawah:

Muzium Numismatik Maybank
100 Jalan Tun Perak,
1st Floor, Menara Maybank,
50050 Kuala Lumpur.

Telephone: 03-230 8833 ext. 2420.

Lokasinya yang berhampiran dengan Pudu Sentral (Terminal Puduraya) di pusat bandar Kuala Lumpur dan kemudahan pengankutan awam seperti Putra LRT dan Star LRT memudahkan lagi orang ramai untuk berkunjung ke sana.

Bagi mereka yang meminati hobi Numismatik, Muzium Numismatik ini adalah tempat yang sangat sesuai untuk meningkatkan ilmu pengetahuan 

Secara ringkas koleksi Numismatik yang terdapat di dalam Muzium Numismatik Maybank:
  1. Meriam Miniture yang digunakan oleh orang asli sebagai matawang di Borneo, meriam yang sebenar biasanya digunakan/ditembak semasa majlis perkahwinan, kelahiran dan lawatan oleh VIP.
  2. Matawang Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511) diperbuat daripada emas, perak dan timah. Apabila ramai peniaga datang dari Timur Tengah, syiling Pasai diperkenalkan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.
  3. Semasa Kedatangan Portugis (1511-1641) menyaksikan pengenalan matawang dalam bentuk ‘gold catholico’, ‘silver malaquese’, ‘bastardos’, ‘soldos’ dan ‘dinheiros’ (malas nak terjemah satu persatu)
  4. Matawang Negeri-Negeri Tanah Melayu pula diperkenalkan dalam bentuk duit syiling emas yang disebut "mas kupang" yang digunakan semasa pemerintahan Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677). Di Kedah, matawang haiwan dalam bentuk ‘ayam jantan’ digunakan pada abad ke-16. Matawang berbentuk gajah dan buaya pula digunakan di Selangor dan Perak.
  5. Matawang Negeri-negeri Selat (1826-1939) telah digunakan oleh tiga Negeri iaitu Pulau Pinang, Singapura dan Melaka pada tahun 1826-1939. Kebanyakan matawang tersebut dikeluarkan semasa pemerintahan Queen Victoria, King Edward VII dan King George V.
  6. Matawang Asing yang dikeluarkan oleh Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand dan Phillipines juga turut dipamerkan.
  7. ‘Private Banknote’  yang digunakan di Melaka dan Pulau Pinang juga ada dipamerkan di Muzium Numismatik Maybank.
  8. Matawang Khas yang digunakan di Pusat Kawalan Kusta, Sungei Buloh diperkenalkan pada tahun 1935 kerana pada ketika itu dipercayai bahawa penggunaan matawang biasa boleh menyebabkan penyebaran penyakit Kusta kepada orang awam.
  9. Matawang Pertama Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikeluarkan  pada bulan Jun 1967 dengan denominasi $1, $5, $10, $50 dan $100.  Wang Kertas denominasi $1,000 pula telah dikeluarkan pada 2 September 1968. Pada tahun 1982-1984, reka bentuk baru matawang  $1, $5, $20, $500, $10, $50, $100 dan $1,000 dengan penekanan terhadap ciri-ciri Malaysia dan keselamatan diperkenalkan.
Itulah serba sedikit maklumat yang mykoleksi tahu tentang Muzium Numismatik Maybank, adakah anda pernah pergi melawat ke sana? 

Alhamdulillah, pada 5 April 2018 yang lepas mykoleksi telah berpeluang menjejakkan kaki buat pertama kali ke Muzium Numismatik Maybank. Sudah lama mykoleksi merancang untuk kesana untuk melihat sendiri koleksi yang dipamerkan.

Menara Maybank, Jalan Tun Perak

Setelah melangkah masuk ke dalam bangunan Menara Maybank, mykoleksi terus ke satu sudut di sebelah 'Starbucks' yang memberitahu mykoleksi kedudukan Muzium Numismatik. Senang saja cari, ingatkan susah sangat nak jumpa :D

Muzium Numismatik berada di Tingkat 1

Anda mesti dapat bayangkan yang betapa seronoknya seorang penggemar Numismatik dapat melawat Muzium Numismatik, maklumat waktu melawat dipamerkan di sebelah kanan Muzium. Walaupun kelihatan papan tersebut nampak 'oldskool' tetapi maklumatnya masih boleh dibaca dengan jelas.

Waktu Melawat Muzium

Muzium Numismatik Maybank dibuka untuk lawatan bermula pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari termasuklah hari Ahad dan hanya akan ditutup pada hari kelepasan AM

Muzium Numismatik Maybank di Rasmikan oleh Gabenor BNM ke-4

Menurut maklumat yang dipamerkan di sebelah kiri Muzium, Muzium ini telah dibuka secara rasminya pada 9 Januari 1988 oleh Gabenor BNM ke-4, YB Tan Sri Dato' Jaffar bin Hussein. Nampak tu, masih berkilat lagi seperti baru saja semalam dirasmikan.

Namun, apa yang mykoleksi tulis tadi hanyalah khayalan semata-mata kerana setibanya mykoleksi di hadapan pintu masuk Muzium Numismatik Maybank dan apabila ditolak pintu Muzium tersebut ianya berkunci.

Kegembiraan mykoleksi telah diragut dengan kejam, mykoleksi dapati pintu Muzium tersebut tertutup rapat dan kelihatan suasana usang dapat dilihat melalui celah-celah pintu seperti sudah lama ditinggalkan. 

Bahagian Hadapan Muzium Numismatik Maybank

Ternyata mykoleksi telah GAGAL untuk menjejakkan kaki masuk kedalam Muzium tersebut untuk menyaksikan sendiri khazanah yang tersimpan di dalam ruangan pameran. Sayang seribu kali sayang, dahulunya muzium tersebut menempah nama gemilang dalam arena Numismatik tetapi kini telah berubah menjadi stor untuk simpanan barang seperti papan tunjuk arah, kotak dan bahagian patung yang dipakaikan baju untuk jualan baju raya mungkin.

Beginilah Rupa Bahagia Dalam Muzium

mykoleksi memberanikan diri untuk mengambil gambar 'curi' untuk dikongsikan kepada anda semua yang mungkin memberi risiko kepada mykoleksi. Hasil pemerhatian mykoleksi masih terdapat lagi poster-poster dan rak-rak pameran yang masih setia menemani ruangan dalam Muzium tersebut.

Hasil maklumat yang mykoleksi dapat, Muzium Numismatik Maybank telah ditutup pada September 2012 bagi memberi ruang untuk proses pengubahsuaian. Namun, sehingga sekarang masih lagi tiada tanda-tanda untuk Muzium tersebut dibuka semula, sudah hampir 6 tahun berlalu.

Gambar Pada Bahagian Kiri Muzium

Dengan bantuan kamera telefon kecil mykoleksi, satu persatu gambar mykoleksi ambil untuk kenangan sehinggalah ke bahagian 'Menara Terrece', melalui ruang inilah mykoleksi dapat melihat dengan lebih jelas lagi ruang dalam Muzium.


Jelas kelihatan 'Buaya', 'Ayam' dan 'Kijang' masih tergantung kemas menanti pengunjung. mykoleksi rasa diorang pun rindu suasana dahulu. Anda boleh layan koleksi gambar yang mykoleksi telah sediakan.

Masih Kelihatan Dekorasi Muzium yang Menarik

Infomasi Pada Ruang Pameran Masih Teguh Menanti Pengunjung 

Suasana yang Menarik Perhatian Mykoleksi

Ruang Kosong yang Luas dan Berdebu

mykoleksi berharap ada pihak yang dekat dengan Muzium Numismatik Maybank dapat baca penulisan mykoleksi kali ini, sayang sekiranya Muzium Numismatik Maybank dibiarkan tanpa arah.

Marilah kita sama hidupkan kembali fungsi Muzium ini supaya gemilang seperti dahulu, sekiranya memerlukan bantuan mykoleksi atau peminat Numismatik yang lain sila maklumkan. 

Ruang 'Menara Terrace' mykoleksi lihat amat sesuai dijadikan ruang pameran dan jualan barangan Numismatik pada ujung minggu, bolehlah siapa-siapa yang berminat dengan idea mykoleksi ini dapat bertanya terus kepada pengurusan Menara Maybank.

SIAPA LAGI NAK MENGHIDUPKAN HOBI NUMISMATIK KALAU BUKAN PEMINAT NUMISMATIK ITU SENDIRI

Yang suka melawat Muzium Numismatik;
mykoleksi

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute