Cari Post lain disini

Saturday, July 28, 2018

Matawang Persendirian Konsesi 'Constantinople Estate' atau Kukup

Nilai Matawang Persendirian Konsesi 'Constantinople Estate' atau Kukup

Pada kali ini mykoleksi amat tertarik untuk menulis berkaitan dengan matawang persendirian konsesi 'Constantinople Estate' atau Kukup, nampaknya belum ada yang menulis secara ilmiah untuk matawang ini. mykoleksi telah membuat sedikit olahan daripada hasil pembacaan dari pelbagai sumber supaya penyampaiannya mudah difahami. Sebelum kita pergi kepada maklumat berkaitan matawang persendirian tersebut, apa kata kita ketahui sejarah yang berkaitan dengan Kukup

Sejarah Ringkas Kukup
  1. Kukup atau Kukub adalah nama lama bagi daerah Pontian yang kita kenali sekarang ini.
  2. Kawasan pantai barat Johor dari Kukup hingga ke Benut adalah kawasan persinggahan dan perhentian termasuklah perompak/lanun yang berpengkalan di Selat Kukup, mereka singgah dan berhenti di  kuala Sungai Perhentian Besar (Sungai Pontian Besar) dan Sungai Perhentian Kecil (Sungai Pontian Kecil).
  3. Tanjung Puteri pula ditukar nama menjadi Johor Baharu pada 1 Januari 1866 dan telah dijadikan pusat pemerintahan Johor yang baru.
  4. Kawasan pantai barat Johor diletakkan di bawah jagaan Datuk Penggawa Barat Abdul Saad bin Ibrahim yang berpusat di Tanjung Kupang manakala bahagian Johor Timur pula di Mersing dan Kuala Sedili dijaga Datuk Penggawa Timur yang berpusat di Tanjung Surat.
Syed Muhammad bin Ahmad Alsagoff dan Tanah Kurnia/Konsesi Kukup
  1. Pada tahun 1878 Tuan Syed Muhammad bin Ahmad Alsagoff  (S.M. Alsagoff) atau dikenali sebagai Nong Chik merupakan seorang saudagar dan hartawan Arab dari Singapura telah memohon kepada Sultan Abu Bakar Johor (Maharaja Johor) untuk membuka satu kawasan pertanian. 
  2. Permohonan beliau telah mendapat perkenan oleh Sultan Abu Bakar dan boleh memilih kwasan yang diingini.
  3. Setelah beberapa lama mencari, akhirnya S.M Alsagoff  telah memilih Kukup pada masa itu cuma sebuah kampung nelayan yang didiami oleh orang-orang Melayu dari Melaka yang belum diteroka dan dibuka secara meluas.
  4. Beliau mengemukakan permohonannya kepada pentadbir pantai barat Johor iaitu Datuk Penggawa Barat Abdul Saad bin Ibrahim yang ketika itu berpusat di Tanjung Kupang.
  5. Kawasan Kukup yang dikurniakan oleh Sultan Abu Bakar ini meliputi kawasan-kawasan Sungai Permas, Sungai Pontian Kecil, Sungai Pontian Besar dan Sungai Jerqam Batu. yang dianggarkan berkeluasan 45,000 ekar.
  6. Tuan S.M Alsagoff telah meneroka dan membuka kawasan Kukup ini dengan membawa buruh-buruh dari Jawa dalam usahanya membuka ladang besar atau estet di Kukup dengan tanaman getah, sagu, kelapa, kopi, nenas dan nilam. Beliau menamakan estetnya itu ‘Constantinople Estate’.
  7. Selain dari mengusahakan ladangnya sendiri, Tuan S.M Alsagoff juga menyewakan tanah konsesi/kurniannya kepada pengusaha lain seperti Hevea Rubber Company dan Peneiro Planting Syndicaste dengan syarat syarikat-syarikat ini membayar cukai sebayak 2.5% dari hasil yang dikeluarkannya.
  8. Selain dari itu, beliau juga memberikan penempatan kepada buruh-buruhnya berupa kebun-kebun kecil secara sistem pajak dengan cukai 1/10 dari hasil yang didapatnya. Beliau juga memberikan hak membuka kebun kepada orang-orang perseorangan. Ramai orang-orang Jawa telah diberikan hak meneroka dan membuka kebun di kawasan tanah kurnia kepunyaan Tuan S.M Alsagoff ini.
Sejarah Ringkas dan Cara Pengunaan Matawang ‘Constantinople Estate’
  1. Matawang persendirian Kukup atau lebih dikenali sebagai matawang persendirian konsesi ‘Constantinople Estate’ mula dikeluarkan pada tahun 1878.
  2. Dalam tahun 1870-an satu kawasan konsesi di Kukup telah diserahkan oleh Kerajaan negeri Johor kepada Syed Muhammad Alagoff. 
  3. Kebenaran untuk matawang sendiri (S.M Alsagoff) adalah bertujuan untuk menampung kekurangan wang tempatan bagi tujuan membayar gaji dan upah kepada pekerja-pekerja di ladangnya. 
  4. Pengeluaran atau cetakan pertama matawang tersebuta ialah pada 1 Mei 1878 dan terus menerus digunakan di kawasan konsesi S.M Alsagoff hinggalah pada tahun 1917 apabila Kerajaan negeri Johor menarik balik konsesi ini dari keluarga Alsagoff.
  5. Matawang tersebut dicetak dengan jenis nilai muka/denominasi 25 sen, 50 sen,1 dolar dan 2 dolar.
  6. Nombor sirinya matawang tersebut akan dicap atau ditulis semasa iannya dikeluarkan. Begitu juga dengan tandatangan hanya diturunkan di atas apabila matawang ini diserahkan kepada pekerjanya. kesemua wang ini telah dicetak di Singapura oleh Pencetakan Al-Sa'aidi
Ciri-ciri dan Penerangan Tentang Matawang ‘Constantinople Estate’

Setiap matawang mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri begitu juga matawang 'Constantinople Estate, ada boleh rujuka penerangan dibawah:

2 Contoh Matawang 'Constantinople Estate'

[1] - Dengan Kebenaran Duli Yang Maha Mulia Maharaja Johor

[2] - Pembayaran Tunai Kepada Kuli-kuli yang membawa nota ini

[3] - 1 Mei 1878

[4] - Kukup

[5a] [5b] - Nombor siri matawang

[6a] & [6b] - 50 sen

[7a] - 50 sen (bahasa/tulisan Jawi)

[7b] - 50 sen (bahasa/tulisan Cina)

[7c] - 50 sen (bahasa/tulisan Inggeris)

[7d] - 50 sen (bahasa/tulisan Tamil)

[8] - tercap di mathoba'i Al Sa’aidi atau tercap di syarikat percetakan bahagia atau dicetak oleh Al Sa’aidi press

[9a] & [9b] - Satu ringgit

[10a] - Satu ringgit (bahasa/tulisan Jawi)

[10b] - Satu ringgit (bahasa/tulisan Cina)

[10c] - Satu ringgit (bahasa/tulisan Inggeris)

[10d] - Satu ringgit (bahasa/tulisan Tamil)

[11] -  Bulan sabit dan bintang 5

[12] - Tandatangan pengeluar matawang/S.M Alsagoff

[13] - Cop mohor/meterai rasmi S.M Alsagoff (Alsagoff & Company)

[14] - Tandatangan penerima/pekerja

Cop Mohor/Meterai Rasmi yang terdapat pada Matawang 'Constantinople Estate'

mykoleksi ada sedikit persoalan untuk huruf 'E' bagi ejaan 'Alsagoff' yang terdapat pada cop mohor/meterai rasmi yang terdapat pada matawang 'Constantinople Estate'. Adakah ini satu kesilapan atau sebaliknya? harap ada pihak yang dapat membantu mykoleksi supaya misteri ini dapat diselesaikan.

Maksud 'A', 'B', 'C' dan 'D' Belum Dapat Dipastikan

Ketika artikal ini ditulis, mykoleksi juga belum mendapat maklumat berkenaan maksud 'A', 'B', 'C' dan 'D' seperti masing-masing terdapat pada 1 'Dollar', 2 'Dollar', 50 'Cents' dan 25 'Cents'. Sekiranya anda ada maklumat, harap dapat juga berkongsi dengan mykoleksi.

Gambar lengkap matawang persendirian konsesi 'Constantinople Estate' atau Kukup yang pernah digunakan bermula pada tahun 1878 sehingga 1917, sesiapa yang ada kesemua koleksi matawang ini sudah pasti menjadi seorang yang bertuah. mykoleksi difahamkan yang matawang ini sangat susah untuk diperolehi/dimiliki pada masa sekarang.

Bahagian Hadapan Matawang Persendirian 1 Ringgit 'Constantinople Estate'

Tarikh dikeluarkan: 1 Mei 1878
Saiz:127mm x 106mm
Warna utama: hitam
Bahagian belakang: kosong (tiada cetakan)

Bahagian Hadapan Matawang Persendirian 2 Ringgit 'Constantinople Estate'

Tarikh dikeluarkan: 1 Mei 1878
Saiz: 134mm x 105mm
Warna utama: coklat
Bahagian belakang: kosong (tiada cetakan)

Bahagian Hadapan Matawang Persendirian 50 Sen 'Constantinople Estate'

Tarikh dikeluarkan: 1 Mei 1878 
Saiz: 134mm x 110mm
Warna utama: merah-coklat
Bahagian belakan: kosong (tiada cetakan)

Bahagian Hadapan Matawang Persendirian 25 Sen 'Constantinople Estate'

Tarikh dikeluarkan:1 Mei 1878
Saiz: 126mm x 113mm
Warna utama: hijau
Bahagian belakang: kosong (tiada cetakan)

mykoleksi berharap, maklumat yang dikongsikan pada kali ini memberikan manfaat kepada kita semua. Sekiranya ada maklumat yang dikongsikan disini kurang tepat, sila maklumkan kepada mykoleksi dengan segera supaya dapat diubah bagi mengelakkan kita terus hanyut kerana maklumat yang salah atau kurang tepat mesti diperbetulkan.

Yang suka berkongsi maklumat,
mykoleksi

Sumber rujukan:
  1. Johor dahulu dan sekarang, Persatuan Muzium Malaysia
  2. Wakil Turki Uthmaniyah Singapura: Syed Mohamed bin Ahmad Al-Sagoff
  3. Sejarah Daerah Pontian - Penghujung Benua Asia
  4. Standard Catalogue of Malaysia, Singapore & Brunei Coins & Paper Money, Edisi ke-22
  5. Numismatic Reference (1786 - 2016) Malaysia, Brunei & Singapore Banknotes & Coins. Edisi ke-8


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute