Cari Post lain disini

Tuesday, May 21, 2019

Duit Syiling Peringatan Semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (2014) Dan Rancangan Malaysia Ke-10 (2015)

Rekabentuk Duit Syiling Peringatan Semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (2014)

Benarkah wujud duit syiling peringatan semperna jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (2014) dan Rancangan Malaysia ke-10 (2015)?

Sengaja pada kali ini mykoleksi memulakan penulisan artikel dengan persoalan, buat pertama kali juga mykoleksi melihat duit syiling "2014 Malaysia Ringgit Pulau Pinang" atau  duit syiling peringatan semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (2014) yang dimuat naik pada 23 November 2018 oleh seorang penguna "facebook" (nama dirahsiakan).

Sepanjang pengetahuan mykoleksi, duit syiling tersebut tidak pernah dikeluarkan untuk jualan kepada orang awam oleh Bank Negara Malaysia (BNM). mykoleksi mulakan penulisan dengan duit syiling peringatan semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (2014).

Perkongsian Seorang Pengguna "Facebook" Tentang Duit Syiling yang Dikatakan tidak Dikeluarkan  

Hasil pencarian mykoleksi, ada beberapa maklumat yang diperolehi tentang duit syiling peringatan ini. 
  1. Menurut sumber tidak rasmi, mykoleksi difahamkan yang Bank Negara Malaysia (BNM) ada mengeluarkan duit syiling tersebut pada tahun 2014 tetapi tidak dapat dipastikan kenapa ianya tidak dijual kepada orang awam.
  2. Kebiasaannya, duit syiling peringatan yang tidak dijual oleh BNM akan dilupuskan atau disimpan di tempat simpanan selamat, contohnya bilik kebal yang mempunyai ciri-ciri keselamatan tinggi (selalu nampak dalam filem macam tu).
  3. Nampaknya duit syiling yang mykoleksi beri nama sebagai "Duit Syiling Peringatan Sempena Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (2014)" tidak dilupuskan atau betul-betul disimpan ditempat yang selamat. Kenapa berkata demikian?
  4. Sekiranya kita merujuk kepada gambar, NGC telah melabelkan duit syiling tersebut sebagai '2014 MALAYSIA RINGGIT PULAU PINANG'.
  5. Duit syiling peringatan tersebut juga telah dihantar ke Numismatic Guaranty Corporation (NGC) untuk digred.
  6. Apa yang menjadi persoalannya sekarang, bagaimana duit syiling tersebut boleh terlepas keluar dan berada pada tangan individu yang identitinya belum dapat dikenal pasti. 
  7. Sumber rujukan manakah yang digunakan oleh NGC untuk maklumat berkaitan duit syiling tersebut? nanti jika ada kesempatan mykoleksi akan bertanya terus dengan pihak NGC. 
  8. Hasil penelitian mykoleksi (sebab ada bahagian yang terlindung), duit syiling peringatan tersebut diberi gred "PF65 ULTRA CAMEO", ini berkemungkinan duit syiling bernilai muka 1 Ringgit (emas nordic) tersebut diambil daripada set 3 dalam 1 atau set 2 dalam 1 kerana hanya di dalam set tersebut sahaja ada duit syiling emas nordic yang dikatakan peruf.
  9. Jika ianya diambil dari 'coincard' dan dihantar untuk NGC gred, berkemungkinan gred paling tinggi adalah MS68 kerana emas nordic bukan peruf (berdasarkan fahaman mykoleksi). Anda boleh rujuk gambar dibawah:
Pandangan Hadapan dan Belakang Duit Syiling Peringatan Semperna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (2014) Berserta Sedikit Maklumat Daripada NGC

Hasil Semakan di "website" NGC

Semakin hari semakin mencabar dunia hobi numismatik, ada saja individu yang akan mengunakan tiket hobi numismatik sebagai salah satu cara untuk mengaut keuntungan. mykoleksi juga turut mendapat maklumat yang duit syiling peringatan Rancangan Malaysia ke-10 (2015)/ 2015 10TH MALAYSIA PLAN sudah dihantar dan digred oleh NGC.

Duit Syiling Peringatan Rancangan Malaysia Ke-10 (2015)/2015 10TH MALAYSIA PLAN Turut Berada Dalam Senarai NGC
  1. Bertambah lagi persoalan dalam fikiran mykoleksi, bagaimana pula boleh ada juga duit syiling peringatan Rancangan Malaysia Ke-10 (2015) dalam senarai NGC dan telah digredkan sebagai MS66.
  2. Sepanjang pengetahuan mykoleksi, duit syiling peringatan RMK10 juga tidak dikeluarkan atau dijual kepada orang awam
  3. Tiada pula gambar duit syiling tersebut dikongsikan oleh mana-mana individu di facebook mereka, hasil carian melalui "Google" pun tiada.
Nampaknya sudah ada drama "Prison Break" versi numismatik pula, jalan ceritanya berkisar tentang dua (2) duit syiling peringatan berjaya "melepaskan diri" daripada tahanan bilik kebal BNM yang mempunyai sistem keselamatan hebat.

Kedua-dua duit syiling tersebut telah berjaya pergi ke "oversea" untuk belajar dan mendapat markah yang agak tinggi (PF65 dan MS66), nantikan kesudahan drama ini pada episod yang akan datang.

Bagi mendapatkan kepastian status kedua-dua duit syiling tersebut, mykoleksi turut merujuk buku katalog terkini yang dikeluarkan oleh Mr. K.N. Boon (Numismatic Reference 1786 - 2016 MALAYSIA BRUNEI & SINGAPORE Banknote & Coin, 8th Edition) dan Mr. Steven Tan (Standard Catalogue of MALAYSIA, SINGAPORE & BRUNEI COINS & PAPER MONEY, 22th Edition).
  1. Nampaknya tiada maklumat tentang Duit Syiling Peringatan Sempena Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (2014) dan Duit Syiling Peringatan RMK10 (2015).
  2. Jika anda berada di dunia hobi numismatik, sudah pasti anda kenal dengan kedua-dua penulis buku katalog tersebut. Buku tulisan mereka merupakan diantara buku rujukan utama numismatik yang mendapat kebenaran atau permit menulis atau cetak oleh BNM.
Maklumat Dalam Buku Katalog Mr. K. N. Boon (Numismatic Reference 1786 - 2016 MALAYSIA BRUNEI & SINGAPORE Banknote  Coin, 8th Edition) - BNM Permit No. BNM/08/04-2016

Dalam buku Mr. Steven Tan (Standard Catalogue of MALAYSIA, SINGAPORE & BRUNEI COINS & PAPER MONEY, 22th Edition) Juga Tiada Maklumat Berkenaan Kedua-dua Duit Syiling Peringatan Tersebut - BNM Permit No. BNM12/06-2016

mykoleksi ada terfikir beberapa teori yang mungkin menjadi penyumbang utama "terlepasnya" kedua-dua duit syiling peringatan tersebut,

1. Tidak amanah dalam menjalankan tugas
  • Mereka yang diamanahkan untuk menyimpan atau melupuskan kedua-dua duit syiling tersebut sepatutnya menjalankan tugas mereka dengan amanah.
  • Berkemungkinan kedua-dua syiling tersebut tidak disimpan atau dilupuskan seperti diarahkan tetapi 'hilang' untuk dijual kepada pembeli yang sedang menanti, sudah pasti pembeli tersebut adalah individu yang mereka kenali dan pernah berurusniaga.
  • Semua ini berlaku disebabkan oleh sikap tidak amanah dan tamakkan wang sahaja.
2. Simpan tetapi tidak direkod dengan betul
  • Berkemungkinan kedua-dua syiling tersebut disimpan tetapi tidak direkodkan dengan baik sebagai contoh ada 3 set duit syiling peringatan tetapi merekodkan hanya ada 2 set saja. 
  • Jadi, set yang tidak direkodkan akan dikeluarkan setelah beberapa lama berada dalam simpanan untuk dijual. 
3. Milik individu yang terlibat dalam penghasilan duit tersebut
  • Berkemungkinan pereka atau orang yang terlibat dalam penghasilan duit syiling tersebut ada menyimpan duit syiling hasil kerja mereka sebagai kenangan.
  • Mungkin juga duit syiling tersebut terlepas ketangan orang lain dengan cara tidak disengajakan sebagai contoh bekas simpan syiling tersebut tertinggal dikedai makan semasa berkongsi cerita tentang syiling tersebut. 
Pandangan atau pendapat mykoleksi: 
  1. Nampaknya, selepas ini BNM mesti lebih berhati-hati dengan keberanian 'tangan-tangan ghaib' yang ada didalam BNM sendiri. 
  2. Mustahil jika 'kerja' tersebut dilakukan oleh orang luar yang tidak memiliki akses yang sah kepada tempat simpanan kedua-dua duit syiling peringatan tersebut.
  3. Jika tindakan segera tidak diambil, sudah pasti akan ada lagi cerita duit syiling peringatan yang tidak dikeluarkan oleh BNM wujud dalam dunia hobi numismatik. Sudah pasti nama baik BNM sebagai bank pusat di Malaysia akan tercemar.
  4. Nasib baiklah ada individu berkongsi dan bertanyakan maklumat tentang kedua-dua duit syiling peringatan tersebut yang muncul di facebook. Jika tidak, mungkin sampai bila-bila mykoleksi tidak tahu kewujudannya (walaupun secara tidak sah)
  5. Kedua-dua syiling tersebut telah dihantar untuk digred, ini telah membuktikan ada individu yang memilikinya sebagai koleksi. Siapakah individu tersebut? mungkin NGC ada jawapannya ataupun kita boleh bertanya dengan orang pertama yang berkongsi gambar duit syiling tersebut di Facebook. 
  6. Setakat yang mykoleksi tahu, pihak BNM atau wakilnya tidak pernah menghantar duit syiling peringatan atau wang kertas untuk digred bagi melihat sendiri kualiti mata wang keluaran mereka. Jika benar BNM ada berbuat demikian, rasa kes ini sudah boleh ditutup tanpa sebarang persoalan lagi.
  7. Anda tidak boleh samakan duit syiling peringatan keluaran BNM dengan mata wang lama zaman kesultanan, sudah pasti mata wang lama zaman kesultanan agak susah untuk diperolehi dan tiada siapa yang ditugaskan atau mengambil initiatif untuk merekodnya ketika itu.
  8. Setiap pengeluaran duit syiling peringatan BNM sudah pasti akan direkod dan ada individu yang diberi tanggungjawab untuk menjalankan AMANAH tersebut. Mungkin boleh bertanya dengan individu tersebut?
  9. Sepatutnya mereka yang diberi tanggungjawab mesti menjalankan amanah yang diberi dengan sebaik mungkin dan tidak sesekali mengkhianatinya.
  10. Sekiranya sifat AMANAH sudah disemat didalam diri, sudah pasti mereka yang diberikan tugas tersebut akan menjalankannya dengan sehabis baik. Sudah pasti masalah duit syiling peringatan terlepas keluar daripada simpanan tidak akan berlaku.
Kerjasama semua pihak amat perlu dalam usaha untuk membendung perkara ini dari terus berlaku, mykoleksi hanya menjalankan sebahagian tanggungjawab saja. Anda juga boleh lakukannya juga:

1. Individu (diluar atau facebook)
  • Tidak membeli barangan atau item numismatik yang anda was-was atau tidak pasti sumbernya. Jika sumbernya datang daripada cara yang salah contohnya 'tangan-tangan ghaib', eloklah anda mengelak untuk membelinya kerana takut nanti anda pula akan ditimpa masalah.
2. Kelab/persatuan numismatik berdaftar
  • Boleh menjalankan tangungjawab sosial dengan mengeluarkan kenyataan yang menbantu para peminat numismatik khasnya sekiranya ada maklumat tentang sesuatu perkara 'panas' berkaitan hobi numismatik. 
  • mykoleksi yakin selain daripada mengadakan 'auction' pada setiap tahun, ada lagi aktiviti dan sumbangan yang lebih manfaat dapat dijalankan dalam usaha memperkasa dan memartabatkan hobi numismatik.
3. "Group/Page" numismatik Facebook
  • Cadangan mykoleksi, sila pantau aktiviti yang berlaku dalam "group/page" yang anda wujudkan. 
  • Jika ada "posting" jual beli yang mencurigakan atau perkongsian maklumat palsu/belum sahih yang tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan oleh "group/page" anda, tidakkan tegas boleh diambil.
  • Contoh tidakkan yang boleh diambil adalah dengan memberikan amaran segera atau "delete post" sekiranya apa yang dipaparkan boleh mendatangkan masalah kepada "group/page" yang anda uruskan.
4. Orang yang berpengaruh dalam hobi numismatik
  • Kita tahu ada orang berpengaruh dan berpangkat (Dato dan Pakar) dalam hobi numismatik, kebiasaannya mereka tidak banyak 'bunyi' bila ada isu berkaitan numismatik. 
  • Kenapa? sila gunakan pengaruh anda untuk membendung perkara ini daripada terus berleluasa.
Yang tidak berpengaruh atau berpangkat,
mykoleksi

No comments:



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Harga Spot Gold Terkini

GOLD - (current bid, $ change, low, high) Update every minute